Wednesday 4 November 2015

Ucapan Perbahasan Belanjawan Kerajaan Negeri Selangor Tahun 2016 Peringkat Dasar oleh ADN Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong


Ucapan Perbahasan Belanjawan Kerajaan Negeri Selangor Tahun 2016 Peringkat Dasar oleh ADN Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong pada 3 November 2015 (Selasa) di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam:

Terima kasih kepada Puan Speaker kerana memberi peluang kepada saya untuk turut serta dalam perbahasan Ucapan Belanjawan Selangor 2016 yang dibentangkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar.

Puan Speaker, saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Dato’ Menteri Besar yang bersedia membelanjakan sejumlah RM2.88 billion pada tahun 2016 untuk melaksanakan semua rancangan pembangunan kerajaan. Nisbah perbelanjaan mengurus berbanding pembangunan pada 50:50 merupakan satu rekod baru lagi memandangkan paras ideal ialah 60 untuk mengurus dan 40 untuk pembangunan.

Saya amat kagum dengan Belanjawan Negeri Selangor pada tahun ini yang bertemakan “Membangun Smart Selangor Yang Peduli”. Rakyat Selangor telah memberikan komen-komen positif terhadap belanjawan ini dan menyambut baik usaha untuk membangunkan Selangor sebagai Smart State bertaraf dunia.

Saya menyahut baik cadangan pemasangan 2,500 hotspot Wifi Smart Selangor menjelang Disember 2015. Saya berharap usaha pemasangan Wifi Smart Selangor akan diteruskan lagi pada tahun yang akan datang. Kerajaan Selangor perlu memasang banyak hotspot memandangkan permintaaan Wifi percuma adalah tinggi.

Kerajaan Singapura telah memasang 10,000 hotspot dan akan memasang lagi 10,000 hotspot pada tahun 2016 bagi mencapai jumlah 20,000 hotspot. Populasi penduduk Selangor agak sama dengan jumlah penduduk Singapura maka jumlah hotspot Wifi Smart Selangor tidak boleh jauh sangat ketinggalan dengan jumlah hotspot Wireless@SG.

Selain daripada penambahan hotspot, Kerajaan Selangor juga perlu memilih operator yang betul-betul layak dan boleh menjamin Wifi Smart Selangor sentiasa berfungsi dengan baik demi menjaga imej Smart Selangor.

Saya juga menyeru Kerajaan Pusat yang akan membelanjakan RM1.2 billion untuk tambah baik infrastruktur telekomunikasi pada tahun 2016 itu melibatkan semua kawasan di Selangor supaya kelajuan Wifi Smart Selangor boleh mencapai 30 Mbps.

Puan Speaker, kejayaan Kerajaan Selangor memiliki semula industri perkhidmatan air adalah satu kejayaan yang harus dipuji. Air Selangor Sdn Bhd dengan rasminya mengambil alih pengurusan operasi SYABAS dan Puncak Niaga Sdn Bhd mulai 15 Oktober 2015 adalah berita yang amat baik bagi rakyat Selangor.   

Saya pernah mengemukakan pertanyaan bertulis kepada Dewan yang mulia ini pada tahun 2013 mengenai paip perhubungan bekalan air yang usianya sudah lebih daripada 40 tahun di mana SYABAS mengawal tekanan air supaya ia tidak mudah pecah. Tindakan sedemikian telah menyebabkan penduduk tidak dapat menikmati bekalan air yang mencukupi untuk kegunaan biasa.

Jawapan yang diberikan kepada saya pada masa itu ialah SYABAS telah dipertanggungjawabkan untuk membuat meneliti semula sistem agihan termasuk paip perhubungan yang berusia lebih 40 tahun. Cadangan penukaran paip perhubungan berusia lebih 40 tahun memang telah ada di dalam cadangan kerja-kerja pembangunan yang akan dilaksanakan oleh SYABAS menggunakan peruntukan CAPEX.

Akan tetapi jawapan daripada Dewan yang mulia ini tidak digunapakai di peringkat daerah. Pihak SYABAS peringkat daerah pula mengatakan mereka tidak akan tukar paip perhubungan bekalan air kerana penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Selangor belum dimuktamadkan.

Perkara ini bertambah serious lagi apabila kes paip pecah sering berlaku di kawasan Kuala Kubu Bharu pada tahun ini. Ini telah menyebabkan penduduk selalu menghadapi ganguan bekalan air dan ini menyusahkan kehidupan biasa.

Sekarang penstrukturan semula industri perkhidmatan air telah dimuktamadkan maka saya amat berharap Kerajaan Negeri Selangor boleh menyediakan dasar bagi memastikan paip-paip perhubungan yang mudah pecah akan ditukar dengan cepat bagi menunjukkan kesungguhannya kita menuju ke Smart Selangor yang peduli.

Puan Speaker, cadangan Kerajaan Negeri mengenai Skim DanaSel dengan jumlah peruntukan sebanyak RM10 juta bagi tahun 2016 bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah melalui kaedah Sewa-dan-Milik memang akan menerima sambutan yang baik.

Saya menyeru Kerajaan Negeri memberi perhatian kepada bekas pekerja ladang yang tidak berkemampuan membeli rumah. Baru-baru ini, kawasan DUN Kuala Kubu Bharu dan DUN Permatang terdapat 84 bekas pekerja ladang dari Ladang Bukit Tagar, Ladang Minyak, Ladang Sg Tinggi dan lain-lain mengadu bahawa pemilik ladang yang baru tidak akan membenarkan mereka tinggal di rumah pekerja ladang tidak lama lagi.

Bekas pekerja ladang amat risau kerana mereka tidak mempunyai rumah di luar ladang. Usia mereka juga melebihi 55 tahun selepas bekerja di ladang berpuluh-puluh tahun. Saya berharap Kerajaan Negeri boleh mewujudkan satu dasar bagi membantu bekas pekerja ladang yang tidak berkemampuan mendapat tempat tinggal.

Puan Speaker, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada YAB Dato’ Menteri Besar yang bercadang menaiktaraf kemudahan sukan paragliding di Bukit Batu Pahat, Kuala Kubu Bharu sebagai persiapan Sukan SEA 2017 serta menarik pelancong sukan tersebut. Bukit Batu Pahat di Kuala Kubu Bharu yang mempunyai ketinggian kira-kira 427 meter (1,400 kaki) dari permukaan laut akan memberi pengalaman menarik bagi peminat sukan paragliding.

Malah tidak jauh dari bukit berkenaan, Taman Millenium yang mempunyai fasiliti mini stadium bersama padang terbuka di samping tasik berhampiran membuatkan peminat sukan paragliding tenang ketika mendarat. Saya bertemu dengan jaguh-jaguh dunia paragliding pada bulan Mei yang lalu. Mereka memuji Bukit Batu Pahat kerana ia adalah tempat yang paling sesuai untuk sukan udara ini. Budi bicara dan jasa baik YAB Dato Menteri Besar untuk membangunkan Bukit Batu Pahat akan sentiasa dikenang.


Puan Speaker,  Kuala Kubu Bharu mengakhiri ucapan dengan menyokong Belanjawan 2016 yang telah dibentangkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor. Sekian. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment