Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong
mengambil bahagian dalam perbahasan dalam peringkat jawatankuasa perbekalan kerajaan Selangor 2016 mengenai Lembaga Urus
Air Selangor pada 5 November 2015. Teks ucapan adalah seperti berikut:
Puan
Pengerusi, saya rujuk kepada mukasurat 50 butiran 505000 Pentadbiran dan
Kewangan, kod objek 42000 Pemberian Dalam Negeri. Saya ingin menyentuh Lembaga
Urus Air Selangor (LUAS) yang diperuntukan RM 4.1 juta pada tahun 2016.
Kerajaan
Negeri mengurangkan peruntukan sebanyak RM 600,000 kepada LUAS berbanding
dengan tahun 2015. Saya tidak pasti pengurangan tersebut mempunyai kaitan
dengan hasil langsung LUAS yang semakin bertambah atau tidak. Laporan Ketua Audit Negara mengenai penyata
kewangan LUAS yang berakhir pada 31 Disember 2014 menunjukkan bahawa caj
abstraksi air sebagai hasil langsung yang utama bagi LUAS adalah RM5.58 juta
pada tahun 2013 dan meningkat lebih daripada RM8 juta ke RM13.87 juta pada
tahun 2014.
Puan
Pengerusi, saya jangka caj abstraksi air akan meningkat lagi memandangkan semua
pengusaha akuakultur air tawar telah dimaklumkan bahawa mereka akan dikenakan
caj abstraksi air dengan kadar 5 sen bagi setiap meter padu.
Kumpulan
Pengusaha Akuakultur Air Tawar Daerah Hulu Selangor membantah caj tersebut
kerana kebanyakan pengusaha akuakultur terutamanya bumiputra yang menternak
ikan air tawar dengan keluasan kurang daripada 8 hektar tidak mampu membayar
beratus ribu setahun untuk caj tersebut.
Saya
mengambil contoh pengusaha yang mempunyai kolam ikan seluas 8 hektar. Berdasarkan
pengiraan 5 sen setiap meter padu dan pengusaha menukar air setiap minggu maka
caj abstraksi air adalah RM240,000 setahun.
Caj
sebegini tidak dilaksanakan di negeri-negeri lain. Sekiranya ia dilaksanakan di
Selangor maka pengusaha ikan air tawar secara kecil-kecilan tidak dapat menjual
ikan mereka dengan harga pasaran yang sedia ada. Dalam keadaan yang sedemikian
maka pengusaha kecil akan berhenti menternak ikan air tawar di mana akan
menyebabkan pengurangan ikan di pasaran dan seterusnya harga ikan air tawar
naik. Pada akhirnya ia lebih membebankan rakyat Selangor yang sedang menghadapi
kenaikan harga barang ekoran GST dilaksanakan.
Saya
harap Kerajaan Negeri mengambil langkah yang sewajarnya supaya ia tidak membebankan
pengusaha dan juga pengguna.
Sekian
sahaja. Terima kasih.
No comments:
Post a Comment