Wednesday 5 September 2018

Ucapan Ahli Dewan Negeri Selangor Kawasan Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong di Dewan Negeri Selangor pada hari 4hb Sep 2018


Ucapan Ahli Dewan Negeri Selangor Kawasan Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong semasa membahas Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih Serta Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan DYMM Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada hari Selasa, 4hb Sep 2018:

Terima kasih Tuan Timbalan Speaker.

DYMM Sultan Selangor telah merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Pertama bagi memulakan Dewan Negeri Selangor ke-14 selepas Malaysia menyaksikan peralihan kuasa di peringkat Kerajaan Perseketuan buat kali pertamanya dalam 61 tahun.  Akhirnya Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan berjaya disatukan di bawah satu gabungan kepartian yang baru buat kali pertamanya sejak Merdeka pada tahun 1957.

Tahniah diucapkan kepada YAB Perdana Menteri baru dan yang paling tua di dunia, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad dan barisan Kabinet beliau. Tahniah juga diucapkan kepada Dato’ Menteri Besar baru YAB Tuan Amirudin Shari.

Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada rakyat Kuala Kubu Bharu dan Selangor atas keyakinan mereka terhadap Pakatan Harapan. Saya yang mewakili Pakatan Harapan telah memenangi kerusi Kuala Kubu Bharu dengan majoriti 7134 undi berbanding dengan majoriti saya pada PRU ke-13 yang hanya 1702 undi.  Begitu juga kecemerlangan Pakatan Harapan di Selangor dengan memenangi 51 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Negeri Selangor.

Takziah kepada keluarga ketiga-tiga ADUN yang meninggal dunia selepas PRU ke-14. Saya yakin Pakatan Harapan akan menang Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Balakong dan Seri Setia pada 8 September 2018 dan kekal memiliki 51 kerusi di dewan yang mulia ini.

Tuan Timbalan Speaker, tahniah atas pelantikan sebagai Tuan Timbalan Speaker untuk penggal ini. Saya yakin Tuan Speaker dan Tuan Timbalan Speaker akan terus mempertingkatkan martabat dan memelihara kewibawaan dewan yang mulia ini.

ADUN Wanita dalam dewan yang mulia ini adalah 12 orang berbanding dengan 16 orang pada penggal yang lepas. Walaupun ADUN wanita tidak seramai pada penggal yang lepas maka saya yakin isu-isu wanita akan mendapat perhatian sepenuhnya di dewan yang mulia ini. Ahli-Ahli Yang Berhormat lelaki pasti tidak akan membiarkan ADUN wanita sahaja bercakap dan berjuang untuk wanita.

Tahniah juga kepada Kerajaan Negeri telah melantik penyelia Pusat Wanita Berdaya bagi setiap DUN yang mula bertugas pada 1 September 2018. Semoga Pusat Wanita Berdaya akan melahirkan wanita yang berdaya, berilmu dan berkemahiran dalam masyarakat.

Tuan Timbalan Speaker, banyak sekolah telah berani menjemput wakil rakyat Pakatan Harapan ke sekolah mereka setelah Pakatan Harapan memerintah Putrajaya. Ini sangat berbeza dengan penggal yang lepas yang mana guru-guru takut mendekati wakil rakyat yang menyokong Kerajaan Selangor. Saya kongsikan pengalaman saya pada penggal yang lepas di mana saya dijemput oleh PIBG sekolah untuk program mereka dan akhirnya guru besar sekolah tersebut dipindah ke sekolah lain dalam 24 jam atau diberi amaran oleh pihak Pejabat Pendidikan Daerah. Ini telah menyebabkan sekolah di kawasan DUN saya menjemput wakil rakyat daripada Barisan Nasional seperti Yang Berhormat Ulu Bernam menghadiri program mereka.

Saya dijemput oleh sekolah-sekolah ke aktiviti mereka sekarang tetapi saya melihat perlunya ada keadilan di mana seorang wakil rakyat boleh memasuki premis sekolah dan bertemu dengan guru-guru atau murid-murid tanpa mengira latar belakang politiknya. Sama-samalah kita berganding bahu mementingkan pendidikan demi masa depan negara.

Saya amat berharap agar diwujudkan dasar terbuka kepada semua wakil rakyat sama ada daripada Kerajaan atau pihak pembangkang melawat ke sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia. Kerajaan Selangor juga memberikan peruntukan kepada ADUN Pembangkang Selangor sebanyak RM200,000 setahun. Ini bermaksud mereka boleh menggunakan peruntukan tersebut untuk memberi sumbangan kepada kegiatan kokurikulum atau program sekolah juga. Janganlah macam tahun sebelum ini yang mana ADUN Pembangkang tidak mahu menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri Selangor.

Saya berharap Kerajaan Selangor sekiranya menganjurkan apa-apa program pendidikan di sekolah, institusi pendidikan atau Universiti Selangor juga menjemput ADUN Pembangkang untuk menghadiri bagi menunjukkan dasar keterbukaan Kerajaan Selangor.

Tuan Timbalan Speaker, Titah Ucapan DYMM Sultan Selangor juga menyebut alam sekitar sering kali dikompromi bagi memberi laluan kepada pembangunan yang telah dirancang. Saya ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini mengenai Projek Talian Penghantaran 500kV daripada PMU Tapah ke PMU Bentong South di Daerah Hulu Selangor. Projek ini melibatkan Hutan Simpanan Kekal seluas 65 Hektar. Keindahan hutan, air terjun dan sungai pasti akan terjejas walaupun pihak TNB berjanji akan melaksanakan langkah-langkah mitigasi semasa projek pembinaan menara yang merentasi hutan dan sungai.

Dengan ini, saya berharap Kerajaan Selangor kekalkan ketegasan yang tidak berkompromi dengan isu alam sekitar iaitu mengambil tindakan termasuk stop work order terhadap pihak TNB sekiranya terdapat pencemaran sungai, bencana alam berlaku akibat daripada projek ini.

Projek ini juga akan menjejaskan Santuari Ikan Kelah Sg Chilling yang dikelolakan oleh Jabatan Perikanan Selangor sejak tahun 2006. Pembiakan ikan kelah adalah sukar dan memerlukan kos yang tinggi. Saya mencadangkan Kerajaan Selangor memberikan syarat tambahan kepada pihak TNB untuk menanggung segala kerja-kerja pemulihan Santuari Ikan Kelah Sg Chilling sekiranya pembiakan ikan kelah terganggu akibat projek ini.

Tuan Timbalan Speaker, saya ingin membangkitkan isu sampah dari luar negara yang juga dikenali sebagai sampah asing. Saya mendapati kawasan DUN saya walaupun jauh daripada laut dan pantai juga bertimbun dengan sampah dari luar negara. Sampah tersebut bukan disimpan dalam gudang tetapi di tapak yang terbuka. Nasib baik Majlis Daerah Hulu Selangor telah mengambil tindakan dan akan membuat operasi bersepadu terhadap penyimpanan sampah sedemikian.

Negara China telah melarang 24 jenis sampah dari luar negara memasuki negara mereka mulai 1 Januari tahun ini. Ini telah menyebabkan pekilang-pekilang negara China mencari negara lain seperti Malaysia memproses sampah sedemikian atas nama kilang kitar semula. Negara China telah berhenti menerima sampah dari negara maju bagi mengurangkan pencemaran terhadap alam sekitar. Saya tidak faham kenapa Malaysia pula mengeluarkan lesen import (AP) untuk mengimport sampah tersebut.

Saya merayu kepada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) yang telah mengeluarkan lebih daripada 18,000 AP untuk sampah sedemikian sejak tahun 2015 berhenti mengeluarkan AP dengan serta-merta dan dikaji semula dengan teliti dan secara holistik. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang telah memutuskan untuk menghentikan pemberian lesen import AP sisa plastik sahaja bagi tempoh tiga bulan mulai 24 Julai 2018 adalah kurang berkesan bagi menghalang semua jenis sampah asing memasuki Malaysia.

Sekiranya JPSPN tidak berhasrat berbuat demikian maka Kerajaan Selangor patut berhenti mengeluarkan lesen untuk kilang-kilang memproses sampah daripada luar negara. Selangor adalah negeri termaju di Malaysia, kita tidak memerlukan industri memproses sampah asing bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi kita. Kesihatan rakyat Selangor perlu diberikan keutamaan supaya tidak wujudnya ramai pesakit akibat terdedah kepada pencemaran.

Sekian, saya menjunjung kasih titah ucapan DYMM Sultan Selangor.