Sunday 28 July 2013

Para Pelabur Yakin Kepada Kerajaan Selangor!



Para Pelabur Yakin Kepada Kerajaan Selangor!

Walaupun masih tidak banyak pembangunan di kawasan industri Zurah Rasa tapi lot-lot industri telah habis dijual. Inilah jawapan diperolehi oleh YB Puan Lee Kee Hiong di Dewan Negeri Selangor.

Pertanyaan dan jawapan sepenuhnya adalah seperti berikut:-

Pertanyaan bertulis daripada YB Puan Lee Kee Hiong (Kuala Kubu Bharu): Apakah langkah-langkah Kerajaan Negeri untuk memperkenalkan kawasan industri Zurah Rasa kepada pelabur asing?

Jawapan: Antara langkah-langkah yang telah diambil untuk memperkenalkan kawasan industri Zurah Rasa kepada pelabur asing adalah seperti berikut:-
a) Penyertaan pelbagai program promosi dan kempen jualan hartanah PKNS yang diadakan sepanjang tahun mengikut tarikh-tarikh yang ditetapkan.
b) Pengiklanan dalam laman web ‘Yellow pages’, akhbar ‘The Edge’ dan akhbar Sin Chew Jit Poh.
c) Mengedarkan ‘Flyer’ kepada Malaysia Iron & Steel Industri Federation, MIDA, SSIC dan SIRIM.
d) Bekerjasama dengan pihak SSIC bagi mempromosikan kawasan industri Zurah kepada pelabur yang berminat.
e) Kawasan ini juga turut dipromosikan sewaktu lawatan-lawatan teknikal pelaburan ke luar Negara yang dianjurkan oleh MIDA dan SSIC.

Walaupun secara dasarnya masih tidak banyak pembangunan yang dilakukan di kawasan industri Zurah, namun lot-lot industri yang sedia ada telah habis dijual.

Sin Chew Daily, 28 Jul 2013




Credit: Sin Chew Daily, 28 Jul 2013

Saturday 27 July 2013

Perasmian Pusat Khidmat ADUN KKB oleh YB Puan Speaker Hannah Yeoh


























Perasmian Pusat Khidmat saya oleh YB Puan Speaker Hannah Yeoh.
我的服务中心由雪州议长杨巧双开幕。

Wednesday 24 July 2013

Rakyat Hulu Selangor Tidak Didahulukan!


Kerja-kerja menaiktaraf Jalan Persekutuan FR01 dari Tanjung Malim ke Rawang TIDAK diluluskan oleh Kerajaan Barisan Nasional. Pertanyaan bertulis daripada Y.B. Puan Lee Kee Hiong (Kuala Kubu Bharu) di Dewan Negeri Selangor mengenai Jabatan Kerja Raya Selangor adalah seperti berikut:

(a) Apakah cadangan JKR Selangor untuk membantu menjamin keselamatan pengguna jalan raya dari Pekan Rasa keluar ke Jalan Persekutuan 1 Tanjung Malim – Rawang?

Jawapan: Pihak JKR sedang membuat kajian dan akan membuat rekabentuk terperinci dan ianya dijangka akan dilaksanakan pada tahun hadapan.

(b) Apakah cadangan JKR Selangor untuk membantu menyelesaikan kesesakan Jalan Persekutuan 1 Tanjung Malim – Rawang ke Genting Highland?

Jawapan: Pihak JKR telah memohon peruntukan dari pihak Agensi Pusat untuk melaksanakan kerja-kerja menaiktaraf Jalan Persekutuan FR01 dari Tanjung Malim ke Rawang di dalam Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10). Walau bagaimana pun permohonan tersebut telah tidak diluluskan. Pihak JKR akan terus berusaha untuk mendapatkan peruntukan tersebut dari pihak Agensi Pusat sama ada melalui kelulusan khas ataupun di dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11)


Sunday 14 July 2013

Sdr Teoh Beng Hock, we remember you.







Sdr Teoh Beng Hock, we remember you. 14 July 2013 @ Nirvana Memorial Park, Semenyih on the 4th anniversary of the death of Sdr Teoh Beng Hock.

Tuesday 9 July 2013

Apakah status terkini projek perumahan terbengkalai di Lembah Beringin?

PERTANYAAN-PERTANYAAN MULUT DARIPADA YB PUAN LEE KEE HIONG (KUALA KUBU BHARU) DI DEWAN NEGERI SELANGOR:

Lembah Beringin

Apakah status terkini projek perumahan terbengkalai di Lembah Beringin?

Jawapan daripada YB EXCO Ir. Iskandar Bin Abdul Samad: Untuk makluman Y.Berhormat, projek perumahan terbengkalai di Lembah Beringin telah dimajukan oleh Lembah Beringin Sdn Bhd dan telah dikategorikan sebagai projek terbengkalai oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 31 Disember 2001. Lembah Beringin Sdn Bhd telah dikenakan perintah penggulungan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 Mac 2006 dan melantik Ferrier Hodgson MH Sdn Bhd sebagai pelikuidasi bagi mentadbir syarikat ini pada 11 November 2005.

Berikut adalah status kemajuan kerja di tapak ketika projek diketegorikan sebagai projek terbengkalai seperti berikut:

Jenis Rumah
Harga Rumah (RM)
Tarikh SPJB
Peratus Kemajuan
RTDT (Flora)
181,805.00
18/06/1996
65%
RTDT (Heart)
106,332.00
20/08/1996
40%
RTDT (Iris)
109,488.00
05/12/1996
65%
RTDT (Jasmine)
111,888.00
24/03/1997
40%

Berdasarkan status terkini, pelikuidasi melalui surat bertarikh 17 Mei 2013 memaklumkan projek ini telah dijual kepada beberapa syarikat terlibat seperti Alam Casana Sdn Bhd, Farcoll Estate Sdn Bhd, Kasona Estate Sdn Bhd, Lintari Sdn Bhd, Nusa Merlin Sdn Bhd, Pancaran Lagenda Sdn Bhd, Purnari Sdn Bhd dan Woodside Land Sdn Bhd. dalam menyelesaikan projek perumahan terbengkalai.

Walaubagaimanapun, syarikat yang terlibat dalam proses merangka rancangan pemulihan projek secara menyeluruh untuk dibincang dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai (JPPT) yang dipengerusikan oleh saya sendiri.

Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri akan sentiasa memastikan kepentingan dan hak pembeli terlibat tidak terjejas melalui pembelian tanah ini oleh syarikat berkenaan dengan adanya kerjasama dan penglibatan Pejabat Tanah dan Galian Selangor berhubung proses pindahmilik sehingga pengeluaran hak individu terlibat.


Monday 8 July 2013

Dedikasi kakitangan awam Kerajaan Negeri Selangor dihargai: ADUN Kuala Kubu Bharu


SHAH ALAM, 8 JULAI: Kejayaan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor mencerminkan dokongan dan kerjasama erat pelbagai pihak terutamanya kakitangan awam yang bertungkus-lumus melaksanakan tanggungjawab menjayakan aspirasi kerajaan negeri.

Justeru bagi meneruskan kecemerlangan itu, kerajaan negeri perlu segera melaksanakan semua dasar dan janji yang ditaburkan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

Ketika berucap menjunjung kasih titah Sultan Selangor minggu lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong berkata, kelewatan mengotakan janji hanya akan menjejaskan kredibiliti kerajaan negeri.

“Kemenangan besar PR ketika PRU-13 di Selangor adalah hasil usaha gigih semua pihak untuk meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan negeri melaksanakan dasar yang diamanahkan. Usaha gigih mereka tidak akan sia-sia sekiranya kerajaan negeri dapat menunaikan pelbagai janji pada PRU ke 13.

“Kerajaan Negeri Selangor mengamalkan tadbir urus yang baik, berintegriti dan akauntabiliti sejak 2008. Amalan itu mendapat sambutan baik rakyat Selangor dan mereka yakin amalan itu akan diteruskan.

“Itu antara sebabnya PR menang 44 kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor berbanding hanya 36 kerusi dimenangi pada PRU 2008 lalu,” ujar beliau.

Selain itu, Kee Hiong turut mengimbau kembali pengorbanan seorang kakitangan kerajaan negeri yang berdedikasi dan berprinsip mendiang Teoh Beng Hock yang  ditemui mati pada15 Julai 2009 lalu ketika proses membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Hingga hari ini, kematian beliau masih belum mendapat jawapan konkrit kerajaan BN,” katanya.-Roketkini.com


http://roketkini.com/2013/07/08/dedikasi-kakitangan-awam-kerajaan-negeri-selangor-dihargai-lee-kee-hiong/

Masalah Pencemaran Kilang


PERTANYAAN-PERTANYAAN MULUT DARIPADA YB PUAN LEE KEE HIONG (KUALA KUBU BAHARU) DI DEWAN NEGERI SELANGOR:

Masalah Pencemaran Kilang

Apakah sistem pemantauan Jabatan Alam Sekitar bagi mengatasi masalah pencemaran kilang-kilang di Hulu Selangor memandangkan JAS tidak mempunyai cawangan di daerah Hulu Selangor?

Jawapan daripada YB EXCO Puan Elizabeth Wong: Penyelesaian masalah/ isu-isu pencemaran dan penguatkuasaan ke atas punca-punca pencemaran yang tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di kawasan Daerah Hulu Selangor dilaksanakan oleh Cawangan Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor yang berpejabat di Taman Perindustrian Batu Caves.

Cawangan ini bertanggungjawab untuk memantau isu-isu pencemaran yang berada di bawah bidangkuasa Jabatan Alam Sekitar di Daerah Gombak dan Daerah Hulu Selangor.


Selain dari itu, Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor di Shah Alam juga akan memantau dan menjalankan penguatkuasaan ke atas premis-premis yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar iaitu kilang kelapa sawit, kilang getah asli mentah dan premis kemudahan pengolahan serta pemerolehan kembali buangan terjadual.

Meminta kerajaan Selangor di bawah semangat ‘Go Rural’ untuk merangkakan lebih banyak rancangan pembangunan


1.    Puan Speaker, Kuala Kubu Bharu mohon turut serta dalam perbahasan usul yang dibawa oleh Yang Berhormat Kampung Tunku, di mana usul adalah seperti yang berikut:

“Bahawa Dewan yang mulia ini meminta kerajaan Selangor di bawah semangat ‘Go Rural’ untuk merangkakan lebih banyak rancangan pembangunan berjangka pendek untuk memastikan pembangunan infrastruktur dan ekonomi di kawasan luar bandar terbela.”

Kawasan luar bandar di Selangor jauh lebih mundur dari segi pembangunan infrastruktur dan ekonomi berbanding kawasan bandar yang pesat penduduknya. Sebagai contoh kawasan luar bandar iaitu daerah Hulu Selangor yang berkeluasan 174,047 hektar iaitu sebesar negeri Melaka yang mempunyai taburan penduduk pada tahun 2010 seramai 194,387 orang dan 64,619 orang adalah dari golongan belia perlu dibangunkan untuk memastikan penduduk disini mendapat pembelaan sewajarnya.

2.    Puan Speaker, ciri-ciri luar bandar Hulu Selangor yang santai, kaya dengan kawasan rekreasi air terjun dan kolam air panas serta dikelilingi dengan tumbuhan semula jadi merupakan antara tarikan para pesara dan orang ramai untuk membeli rumah dan menetap di sini. Dengan ini, Hulu Selangor dibawah semangat “Go Rural” perlu dirangka lebih banyak rancangan pembangunan jangka pendek seperti menaik taraf infrastruktur pasar-pasar lama, dewan-dewan orang ramai serta gelanggang permainan contohnya gelanggang bola keranjang di Serendah yang telah usang. Kuala Kubu Bharu yang terletak ditengah Daerah Hulu Selangor memohon agensi-agensi kerajaan persekutuan dan swasta seperti Jabatan Alam Sekitar, SSM dan TNB “go rural”  untuk membuka pejabat dan kaunter perkhidmatan di sini bagi memudahkan orang ramai berurusan dengan mereka didalam satu kawasan. Untuk maklumat, ramai orang merunggut kerana terpaksa pergi ke Shah Alam untuk urusan pendaftaran perniagaan atau syarikat dan pergi ke Rawang untuk perkhidmatan bekalan elektrik terutama yang memerlukan kehadiran pelanggan. Begitu juga dengan Jabatan Alam Sekitar, yang cawangan yang terdekatnya terletak di daerah Gombak. Tidak ada pun cawangan di Hulu Selangor.

3.    Puan Speaker, Hulu Selangor merupakan pusat pelancongan dan rekreasi air terjun dan air panas yang terbesar di Selangor. Kuala Kubu Bharu mendapati tempat rekreasi ini tidak mendapat sambutan yang menggalakkan kerana infrastukturnya yang daif. Jesteru itu, infrastuktur seperti membina jalan masuk bertar serta kemudahan lampu dan tandas yang bersih, kutipan sampah yang kerapkali dapat meningkatkan daya tarikan dan menggalakkan pelancong berkunjung.

4.    Oleh kerana Hulu Selangor juga merupakan pusat penanaman sayur utama di Selangor. Dengan ini gerai-gerai perniagaan sayur dan tanaman boleh diwujudkan di kawasan rekreasi dan pusat pelancongan di Hulu Selangor.

5.    Puan Speaker, segala pembangunan untuk menambah baik ekonomi setempat yang dibawa haruslah bersifat lestari tanpa kompromi ke atas kualiti kehidupan generasi masa depan mahupun alam sekitar. 

6.    Kehidupan berkualiti juga dititikberatkan ke atas golongan luar bandar yang kurang bernasib baik seperti ibu-ibu tunggal yang membanting kudrat harian untuk membesarkan anak-anak dan penduduk luar bandar yang menganggur. Projek ekonomi kecil-kecilan perlu direncanakan dalam usaha untuk membantu meningkatkan pendapatan bulanan golongan ini. Prinsip yang Kuala Kubu Bharu pegang ialah memberi pancing dan mengajar mereka mengail lebih baik dari memberi mereka ikan setiap hari.

7.     Kuala Kubu Bharu amat prihatin dan menitikberatkan pembentukan persekitaran sosial di mana anak-anak kita akan membesar dan meneruskan kehidupan mereka. Justeru itu membangunkan komuniti yang makmur dan selamat buat semua warga, tak kira muda atau tua, lelaki atau wanita, merupakan di antara prioriti Kuala Kubu Bharu.

8.    Komuniti yang sihat melibatkan penambahan tapak rekreasi, taman  mini hijau untuk santai atau beriadah, lorong basikal dan pejalan kaki merupakan wawasan Kuala Kubu Bharu. Begitu juga tempat anak-anak muda beriadah dan bersukan lasak seperti mendaki gunung bersekali dengan persekitaran yang sihat di luar bandar. Dengan ini akan menjadikan kawasan luar bandar lebih aman, menarik, sihat dan sejuk buat penghuni dan pengunjung.

9.    Disebabkan kedudukan luar bandar di Hulu Selangor yang rendah, di mana kedapatan air bawah tanah dalam kadar satu meter dari muka bumi, bersekali dengan sistem perparitan yang tidak teratur, Kuala Kubu Bharu dan Batang Kali kerapkali berhadapan dengan banjir sewaktu musim tengkujuh.

10.                   Justeru itu, menaiktaraf infrastruktur perparitan dan kawasan tadahan banjir perlu dipercepatkan untuk menyelesaikan masalah banjir di kawasan luar bandar seperti di Hulu Selangor secara komprehensif dan bukan secara tempelan seperti sekarang ini.



11.                   Sekian, saya menyokong usul yang dibawa oleh Yang Berhormat Kampung Tunku.

Sunday 7 July 2013

Pertandingan Fotografi "Pemandangan DUN Kuala Kubu Bharu"


《新古毛风貌》摄影比赛

Pertandingan Fotografi "Pemandangan DUN Kuala Kubu Bharu" anjuran Pusat Khidmat ADUN KKB dengan kerjasama Photo-Art Institution.

Objektif: Memberi peluang rakyat Malaysia memahami sejarah perkembangan kawasan DUN Kuala Kubu Bharu dengan fotografi.

Hadiah: Johan RM2,000; Naib Johan RM1,500; Ketiga RM1,000; Saguhati RM200 (20 buah)

Tarikh tutup 30 Ogos, 2013.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 012-286 7877 (CL Lew) / 017-257 1398 (Tenry Chang)

Thursday 4 July 2013

Bandar KKB - Warisan Bandar Taman


Bandar Kuala Kubu Bharu
Warisan Bandar Taman

Bandar Kuala Kubu Baharu sebagai “Warisan Bandar Taman”


PERTANYAAN-PERTANYAAN MULUT DARIPADA YB PUAN LEE KEE HIONG (KUALA KUBU BAHARU) DI DEWAN NEGERI SELANGOR:

Pelancongan di Hulu Selangor

a) Apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk membangunkan sektor pelancongan di Hulu Selangor dan DUN Kuala Kubu Baharu?

Jawapan daripada YB EXCO Puan Elizabeth Wong: Beberapa perancangan telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri khususnya melalui UPEN dan Tourism Selangor Sdn.Bhd. ( TSSB ). Melalui UPEN Selangor, Kerajaan Negeri telah membuat perancangan khas bagi pelancongan warisan dan eko-tourism melalui RKK Kuala Kubu Baharu yang digazet pada tahun 2010. Perancangan tersebut adalah untuk menjadikan kawasan di bandar Kuala Kubu Baharu sebagai “Warisan Bandar Taman”.

b)  Nyatakan peruntukan Kerajaan Negeri yang disalurkan untuk menaik taraf dan juga membaiki tapak-tapak pelancongan di Kerling dan Kuala Kubu Baharu pada tahun ini?

Jawapan daripada YB EXCO Puan Elizabeth Wong: Bagi tahun 2013, Kerajaan Negeri tidak menerima permohonan daripada Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) untuk menaiktaraf dan membaiki kawasan tapak pelancongan di Kerling dan Kuala Kubu Baharu, dan Kerajaan Negeri sedia mempertimbangkan kalau ada. Walaubagaimanapun, Kerajaan Negeri melalui pihak UPEN telahpun menyalurkan peruntukan bagi kawasan rekreasi Sungai Kedondong (Batang Kali) iaitu membaikpulih gazebo dan juga tapak perkhemahan. Peruntukan yang disalurkan melalui Majlis Daerah Hulu Selangor adalah berjumlah RM50,000.00.

Pusat Dialisis Rakyat


Pertanyaan-pertanyaan Mulut Daripada YB Puan Lee Kee Hiong (Kuala Kubu Bharu):

Pusat Dialisis Rakyat

(a)    Senaraikan Pusat Dialisis Rakyat (PDR) yang telah diwujudkan oleh Kerajaan Negeri sejak 2008

Jawapan daripada YB EXCO Puan Dr Daroyah Bt Alwi: Setakat ini Kerajaan Negeri Selangor telah memiliki 5 PDR. Sejumlah 3 daripadanya telah beroperasi sepenuhnya, 1 baru memulakan perkhidmatan dan 1 lagi masih menunggu kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

(b) Nyatakan jumlah pesakit yang telah mendapat manfaat melalui PDR

Jawapan daripada YB EXCO Puan Dr Daroyah Bt Alwi: Sehingga kini seramai 73 orang telah menikmati kemudahan yang disediakan ini. Pecahannya adalah seperti berikut, 27 orang menerima perkidmatan di PDR Ampang, dan 2 orang di PDR Lembah Keramat, 18 orang di PDR Taman Medan dan 26 orang di PDR Sementa.

(c) Adakah Kerajaan Negeri bercadang mewujudkan PDR di DUN Kuala Kubu Bharu? Jika tidak, nyatakan sebab.

Jawapan daripada YB EXCO Puan Dr Daroyah Bt Alwi: Kerajaan Negeri Selangor berhasrat untuk mewujudkan PDR di setiap kawasan Dewan Negeri Selangor. Namum, ia bergantung kepada kelulusan daripada KKM. Untuk makluman, PDR yang terletak di Lembah Keramat (DUN Hulu Kelang) baru sahaja memulakan operasinya sementara di Jalan Kebun (DUN Sri Muda) masih menunggu kelulusan KKM setelah kerja-kerja ubahsuai dibuat mengikut keperluan lebih 2 tahun yang lalu.



Tuesday 2 July 2013

Ucapan Ahli Dewan Negeri Selangor Kawasan Kuala Kubu Bharu, semasa membahas Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih Serta Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan DYMM Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor



Ucapan Ahli Dewan Negeri Selangor Kawasan Kuala Kubu Bharu, semasa membahas Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih Serta Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan DYMM Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada hari Selasa, 2hb Julai 2013:

Terima kasih Puan Speaker. Yang Berhormat-Yang Berhormat, pegawai-pegawai kerajaan, salam sejahtera.

Kuala Kubu Bharu mohon turut serta dalam perbahasan menjunjung kasih ke atas Titah Ucapan DYMM Sultan Selangor.

Selaras dengan titah ucapan DYMM Sultan Selangor yang menekankan kepentingan dasar prinsip tadbir urus yang baik (good governance) dalam semua pelaksanaan tugas dan proses membuat keputusan bagi negeri Selangor.

Kerajaan negeri Selangor telah mengamalkan tadbir urus yang baik, integriti dan akauntabiliti sejak 2008. Amalan ini telah mendapat sambutan yang baik di kalangan rakyat negeri Selangor dan mereka yakin amalan ini akan diteruskan lagi. Itulah antara sebabnya Pakatan Rakyat menang 44 kerusi Dewan Negeri Selangor berbanding dengan 36 kerusi Dewan Negeri Selangor pada tahun 2008.

Puan Speaker, kemenangan besar Pakatan Rakyat semasa PRU ke13 di negeri Selangor adalah hasil usaha gigih semua pihak untuk meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan negeri melaksanakan dasar yang telah diamanahkan. Usaha gigih mereka tidak akan sia-sia sekiranya kerajaan negeri dapat menunaikan segala janji-janji PRU ke 13.

Kuala Kubu Bharu yakin Kerajaan Negeri akan menunaikan janji-janji PRU ke 13. Akan tetapi, masa itu emas. Kerajaan negeri perlu melaksanakan janji-janji tersebut secepat mungkin untuk memberikan manfaat yang berbaloi kepada rakyat Selangor. Orang ramai mula menanya bilakah program-program yang ditawarkan di dalam manifesto Pakatan Rakyat  Selangor yang bertemakan “meneruskan kecemerlangan” untuk kebajikan golongan rakyat yang memerlukan pembelaan dan bantuan dilaksanakan. Kelewatan pelaksanaan janji-janji tersebut akan menjejaskan kredibiliti kerajaan negeri.

Puan Speaker, kemenangan kerajaan PR dalam PRU 13 bukan sahaja mencerminkan kejayaan kerajaan negeri dalam melaksanakan janji-janjinya, ia juga mencerminkan dedikasi semua pihak yang terlibat, antaranya:

i.     Kakitangan kerajaan negeri Selangor yang turut bertungkus lumus bekerjasama dengan pihak kerajaan dan ADN-ADN di pelbagai kawasan untuk sama-sama membina sebuah kerajaan negeri baru yang bersih, jujur dan berdaya saing;
ii.   Ahli-ahli majlis PBT yang sudi berkhidmat dan berkorban masa demi kebajikan dan hak rakyat Selangor;
iii. Pihak NGOs yang menyambut baik seruan kerajaan negeri Selangor dan memberikan nasihat serta sumbangan mereka samada dalam segi perundingan, penyertaan dalam jawatankuasa-jawatankuasa berkenaan dan sebagainya.

Di samping meraikan kemenangan penggal kedua kerajaan PR di Selangor, jangan pula kita lupakan pengorbanan seorang kakitangan kerajaan negeri berdedikasi yang malangnya tidak lagi bersama kita hari ini.

Pada bulan Julai ini Sdr Teoh Beng Hock telah meninggalkan kita dengan penuh tandatanya. Sdr Beng Hock yang merupakan pembantu khas EXCO negeri Selangor telah dijumpai mati pada 15hb Julai 2009 di ibu pejabat SPRM Selangor setelah hadir ke pejabat berkenaan membantu proses siasatan SPRM. Hingga ke hari ini, kematian beliau masih belum mendapat jawapan konkrit oleh kerajaan BN, sebaliknya beliau telah difitnah sebagai "membunuh diri".

Kita tahu, Sdr Beng Hock tidak membunuh diri, sebaliknya beliau telah dianiayai dan dibunuh dengan kejam sekali oleh pembunuh yang sampai sekarang masih belum diberkas dan dihukum. Kematiannya adalah disebabkan oleh penganiayaan politik kerajaan BN yang telah mempergunakan jentera kerajaan demi kepentingan politik mereka iaitu dalam cubaan menjatuhkan kerajaan Selangor PR pada masa itu.

Tahun ini adalah ulang tahun ke-4 kematian Sdr Beng Hock. Seperti tahun-tahun yang lepas, satu upacara peringatan telah dirancang oleh DAP pada 14hb Julai jam 8.30 pagi di Taman Peringatan Nirvana di Semenyih. Mari kita sama-sama menghadiri upacara berkenaan – Ahli-ahli Yang Berhormat di Dewan ini dan warga Malaysia yang prihatin dijemput untuk menunjukkan sokongan kepada keluarga mendiang Sdr Beng Hock, serta sebagai isyarat kuat kepada orang-orang yang telah menyebabkan kematian Sdr Beng Hock, bahawa kita tidak akan melupakan peristiwa ini dan kita tidak akan mengizinkan kerajaan BN terlepas dari tanggungjawab mereka yang mengakibatkan kematian sia-sia seorang pemuda yang bernama Teoh Beng Hock!

Puan Speaker,

Titah DYMM Sultan Selangor juga menyentuh dengan pembangunan berkembang ke daerah-daerah luar bandar supaya anak-anak muda tidak perlu lagi mencari pekerjaan di bandar. 

Kebanyakan anak-anak muda meninggalkan kampong mereka dan berhijrah ke bandar kerana kekurangan peluang pekerjaan di kawasan luar bandar. Kuala Kubu Bharu amat berharap program pembangunan desa telah menjadi tumpuan kerajaan negeri pada penggal kali ini bukan sahaja akan meningkatkan pendapatan per kapita penduduk kampong seperti mana dijelaskan oleh YAB Menteri Besar semalam, ia juga akan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan bagi anak-anak muda di kawasan luar bandar.

Puan Speaker, kawasan luar bandar juga terdapat banyak destinasi pelancongan yang berdaya saing yang masih lagi perlu dinaik taraf infrastukturnya dan dibangunkan. Sebagai contoh pusat pelancongan dan rekreasi yang terdapat di Hulu Selangor antaranya ialah:-

1.    Sg Inki, Kalumpang
2.    Air Terjun Semangkuk
3.    Santuari Ikan Kelah, Sg Chiling
4.    Rumah Rehat Gap
5.    Rest House Seri Berkat, Bkt Fraser
6.    Kawasan Rekreasi Sg Kedondong, Batang Kali
7.    Air Terjun Sg Sendat, Ulu Yam
8.    Taman Milenium, Kuala Kubu Baru
9.    Rest House KKB
10.Hutan Lipur Pelajaran, Sg Kedondong
11.Kolam Air Panas Hulu Tamu, Batang Kali
12.Air Terjun Serendah
13.Kolam Air Panas Kerling, Kerling
14.Tapak Sukan Lasak, Kalumpang

Malah banyak lagi pusat-pusat pelancongan dan rekreasi yang boleh diterokai di daerah Hulu Selangor dan ianya boleh memberi peluang kepada anak-anak muda mendapatkan pekerjaan dan membuka peluang-peluang perniagaan serta menaikkan ekonomi penduduk disini.

Taburan penduduk Hulu Selangor sehingga 2010 ialah 194,387 orang dimana 64,619 orang adalah dari golongan belia. Dengan terlaksana program pembangunan desa, saya yakin dan percaya anak-anak muda akan dibela dan peluang pekerjaan akan lebih terjamin dengan aktiviti-aktiviti rekreasi dan perlancongan.

Antara program pembangunan desa yang boleh dibuat adalah semua tempat-tempat rekreasi perlancongan perlu dibekalkan dengan kemudahan asas seperti jalan masuk bertar, lampu, tandas, surau dan tempat persalinan serta gerai perniagaan yang sesuai agar pengguna lebih selesa dan selamat. Hari ini di dalam surat khabar Sinar Harian di ruangan Hulu Selangor muka surat 44, yang bertajuk “Kolam Air Panas Terpinggir” yang terletak di belakang Maktab Polis Kuala Kubu Bharu, Taman Sinar Harapan perlu diambil tindakan sewajarnya dan diberi kemudahan asas dan jalan masuk untuk mudah dikunjungi oleh orang ramai.

Akhir sekali, Kuala Kubu Bharu ingin menarik perhatian pihak kerajaan negeri  agar lebih banyak peruntukan di salurkan kepada Hulu Selangor untuk pembangunan desa dan Kuala Kubu Bharu menawarkan diri sedia membantu kerana Kuala Kubu Bharu terletak di dalam daerah Hulu Selangor bagi menjayakan program ini. Kuala Kubu Bharu berharap pihak kerajaan negeri akan mengambil berat penawaran ini demi kesejahteraan hidup penduduk serta membuka peluang pekerjaan dan perniagaan di Selangor.

Sekian, Kuala Kubu Bharu menyokong titah ucapan DYMM Sultan Selangor