Tuesday 27 November 2018

Ucapan Perbahasan Belanjawan Negeri Selangor Tahun 2019 Peringkat Dasar


Ucapan Perbahasan Belanjawan Negeri Selangor Tahun 2019 Peringkat Dasar oleh ADN Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong pada 27 November 2018 (Selasa) di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam:

Terima kasih kepada Tuan Speaker atas peluang yang diberikan kepada saya untuk turut serta dalam perbahasan Ucapan Belanjawan 2017 Negeri Selangor yang dibentangkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar.

Tuan Speaker, Saya mengucapkan syabas kepada YAB Dato’ Menteri Besar yang bersedia membelanjakan sejumlah RM2.56 billion pada tahun 2019 untuk merancakkan ekonomi, memberdayakan rakyat dan mensejahterakan negeri. Usaha YAB Dato’ Menteri Besar untuk meneruskan kecemerlangan dan melaksanakan tuntutan-tuntuan perubahan yang diingini oleh rakyat adalah baik dan memerlukan sokongan daripada rakyat Selangor.

Saya sedar YAB Dato’ Menteri Besar menghadapi cabaran yang besar untuk meningkatkan hasil negeri. Inilah sebabnya Belanjawan Selangor 2019 yang dibentangkan telah berkurang sebanyak RM560 juta berbanding dengan Belanjawan Selangor 2018. Walau bagaimanapun, saya melihat 5 strategi yang dirangka dalam Belanjawan Selangor 2019 akan memenuhi hasrat reformasi, mengambil kira keperluan realiti masyarakat dan mencapai cita-cita melonjakan negeri Selangor ini sebagai aktor serautau Asia Tenggara.

Tuan Speaker,

Seperti mana yang disebutkan oleh YAB Dato Menteri Besar dalam ucapan Belanjawan Selangor 2019 iaitu keyakinan rakyat Selangor terhadap pentadbiran Pakatan Harapan diterjemahkan kepada kemenangan 51 daripada 56 kerusi di Dewan Negeri Selangor. Sekarang tibalah masanya Pakatan Harapan merealisasikan hasrat untuk membawa pembaharuan dan reformasi dalam sistem politik di negara ini.

Pakatan Harapan telah berjanji untuk mengehadkan tempoh lantikan atau tempoh memegang jawatan-jawatan tertinggi di peringkat persekutuan dan juga negeri seperti jawatan perdana menteri, menteri besar dan ketua menteri. Perkara ini telah dinyatakan di dalam Janji 12 Manifesto Pakatan Harapan di peringkat kebangsaan iaitu “Mengehadkan Tempoh Perkhidmatan Perdana Menteri dan Menstrukturkan Semula Jabatan Perdana Menteri”. Janji ke-12 ini turut menggariskan bahawa jawatan menteri besar dan ketua menteri juga akan dihadkan kepada tempoh dua (2) penggal sahaja demi menerapkan amalan tadbir urus yang baik lagi telus.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semasa membentangkan usul mengenai Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas, 2016-2020 di Dewan Rakyat pada bulan yang lepas juga mengutarakan tempoh perkhidmatan jawatan perdana menteri, menteri besar dan ketua menteri dihadkan kepada dua penggal sebagai satu langkah yang perlu disegerakan. Perkembangan terbaru ialah Persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang telah mencipta sejarah sebagai negeri pertama meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2018 untuk mengehadkan tempoh jawatan ketua menteri kepada dua penggal pada 16 Nov 2018

Saya berharap Kerajaan Selangor akan turut memberi keutamaan terhadap hasrat untuk memperbaharui sistem politik dan sentiasa sebagai negeri yang unggul baik dari segi ekonomi, budaya, sosial mahupun dari segi politik.

Tuan Speaker,

Belanjawan 2018 yang dibentangkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar juga mengambil berat golongan OKU dan anak istimewa. Syabas kepada Kerajaan Negeri yang menubuhkan Majlis Tindakan OKU Selangor dan mewujudkan Program Kemahiran Mengendalikan Kanak-Kanak Berkeperluan Khas yang diberi nama Shadow Teachers – Guru Anak Istimewa Selangor.

OKU begitu dekat di hati saya. Ada yang dipanggil OKU, ada juga yang ibubapa menggelarnya ANIS iaitu singkatan ‘anak istimewa’. Saya ingin memaklumkan di dewan yang mulia ini bahawa terdapat berbagai jenis OKU. Ada yang mengalami masalah akal, ada yang mengalami kecacatan lain tetapi mempunyai akal yang normal atau hampir sempurna. Negeri Selangor sebuah negeri yang amat menekankan pendidikan agama Islam kepada umatnya dan di seluruh ceruk negeri terdapat Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Sekolah Agama Rakyat (SAR).

Saya ingin memberi tumpuan kepada anak istimewa atau OKU yang mukallaf, iaitu yang mampu membezakan baik buruk. Mereka boleh dipertanggungjawabkan kewajipan beragama dan mereka juga boleh dididik sedikit demi sedikit memahami agama Islam. OKU yang mukallaf ini wajib diberikan pendidikan agama. Oleh itu saya ingin mencadangkan supaya guru sekolah agama juga diberikan kemahiran dan latihan untuk mendidik anak-anak OKU ini seterusnya sekolah agama bolehlah memberi ruang kepada anak-anak OKU ini mendapat pendidikan agama mengikut kemampuan mereka. Tugas kerajaan untuk menyediakan pendidikan agama kepada anak-anak OKU adalah selaras dengan matlamat pendidikan ‘zero reject policy’.

OKU Terlantar ditafsirkan sebagai seseorang OKU yang memerlukan pergantungan sepenuhnya daripada penjaga. Mereka tidak mampu untuk hidup sendiri walau pun sekejap. Seorang OKU terlantar itu mungkin tidak mampu menghalau seekor semut pun dari menggigitnya. Salah seorang dari ibubapa ini terpaksa mengorbankan seluruh hidupnya demi menjaga anak OKU ini.

Jabatan Kebajikan Masyarakat ada menyediakan bantuan untuk penjagaan OKU terlantar ini sebanyak RM350 sebulan, namun terhad kepada pendapatan isi rumah di bawah RM3000. Ini bermakna masih ramai lagi yang tidak layak menerimanya kerana faktor pendapatan isi rumah.

Kerajaan negeri Selangor telah mewujudkan Skim Mesra Usia Emas yang memberi kemudahan khairat kematian kepada warga emas dan OKU. Saya ingin mencadangkan supaya satu skim untuk OKU Terlantar diwujudkan bagi memberi sumbangan kewangan khas kepada ibubapa atau penjaga tanpa mengira pendapatan isirumah.

Rasionalnya cadangan ini adalah perbelanjaan untuk menjaga OKU Terlantar sangat tinggi meliputi perubatan dan terapi, lampin pakai buang, susu atau makanan tambahan, juga alatan bantu. Kasih sayang ibubapa OKU ini tiada galang gantinya. Ibubapa OKU ini perlu dibantu dan diberikan semangat supaya tidak menyerah kalah.

Tuan Speaker,

Saya menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri memperuntukan RM1 juta untuk mengawal dan mencegah haiwan-haiwan seperti anjing liar dan kucing terbiar yang mengganggu kesejahteraan penduduk setempat. Saya ingin memaklumkan dewan yang mulia ini bahawa terdapat juga aduan yang diterima berkaitan dengan lembu dan kerbau berkeliaran terutamanya di luar bandar.

Saya pernah membangkit isu lembu dan kerbau berkeliaran di dewan yang mulia ini pada 1 April 2015 namun masalah tersebut masih berlarutan sehingga sekarang. Dengan ini saya ingin memaklumkan kepada dewan yang mulia ini sekali lagi iaitu kita jarang memberi perhatian kepada lembu dan kerbau berkeliaran yang menjadi satu kacau ganggu dan tidak mesra alam di jalan raya.

Saya mengambil contoh lembu berkeliaran di banyak kawasan di Hulu Selangor dari Antara Gapi hingga ke Kerling yang menyebabkan tahi lembu di atas jalan dan menimbulkan ketidakselesaan kepada penduduk dan pengguna jalan raya.

Cabaran yang dihadapi sekarang adalah samada Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau Selangor 1971 mempunyai peruntukan yang cukup untuk penguatkuasa mengambil tindakan bagi mengatasi masalah yang kononnya dikatakan kacau ganggu dan tidak mesra alam tersebut. Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau Selangor 1971 tidak pernah dikemaskini sejak Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau (Pindaan) 1978 diluluskan dan berkuatkuasa pada 1 haribulan Januari 1979. Ini bermaksud kita tidak pernah membuat pindaan terhadap Enakmen ini selama 39 tahun.

Enakmen sedia ada ini selain masih menggunakan bahasa Melayu lama dan kini tidak memenuhi keperluan semasa dalam pengawalan penternakan lembu dan kerbau di Negeri Selangor. Saya mengucapkan syabas kepada Majlis Daerah Hulu Selangor yang telah menetapkan kos tangkapan seekor lembu atau kerbau yang perlu dibayar oleh pemiliknya. Ini bermakna selain daripada kompuan, penternak juga perlu bayar kos tangkapan sekiranya mereka ingin menuntut lembu atau kerbau mereka.

Walau bagaimanapun, saya memohon supaya undang-undang ini dikaji semula dan dipinda untuk menepati keperluan semasa dalam pentadbiran dan pengawalan penternakan lembu dan kerbau di Negeri Selangor bagi memastikan ternakan lembu ditetapkan di lokasi yang bersesuaian dan menggunakan ternakan moden yang tidak mencemarkan.

Tuan Speaker,

Saya ingin merakamkan perhargaan kepada YAB Dato’ Menteri Besar yang menekankan dan menitik beratkan usaha-usaha pemeliharaan dan pemuliharaan warisan. Walaupun ucapan YAB Dato’ Menteri Besar tidak menyebut kawasan Kuala Kubu Bharu tetapi saya yakin Kerajaan Negeri tidak akan mengenepikan Kuala Kubu Bharu sebagai tapak warisan yang perlu dipromosikan.

Bandar Kuala Kubu Bharu adalah salah satu tapak yang bersesuaian dikenalpasti oleh Kerajaan Negeri untuk diangkat sebagai tapak warisan kebangsaan dan dunia seperti Permatang Kuartza dan Bukit Melawati. Saya difahamkan pihak Kerajaan Negeri sedang membuat kajian tapak dan akan mengambil masa selama 3 tahun untuk menyediakan semua dokumen yang diperlukan oleh pihak UNESCO. Saya mendoakan kajian tapak Bandar Kuala Kubu Bharu dijalankan mengikut jadual dan akhirnya Bandar Kuala Kubu Bharu berjaya diiktirafkan sebangai tapak warisan kebangsaan dan dunia.

Tuan Speaker,

Saya berucap terima kasih kepada YAB Dato’ Menteri besar yang memperkasakan Dewan Negeri Selangor. Fungsi Dewan Negeri Selangor sebagai badan perundangan perlu ditegaskan supaya dapat memainkan peranan semak dan imbang (check and balance) ke atas badan eksekutif. Terdapat satu perkara lagi yang boleh dipertimbangkan mungkin untuk belanjawan tahun 2020 ialah menyediakan bilik pejabat untuk setiap Ahli Dewan Negeri dengan membina satu bangunan baru di kawasan bangunan Dewan Negeri Selangor ini. Ini akan memudahkan Ahli Dewan Negeri melaksanakan tugas selain daripada berjumpa dengan pengundi di kawasan masing-masing.

Saya difahamkan satu usul pernah dibawa oleh Yang Berhormat Sekinchan dan telah diluluskan di dewan yang mulia ini pada 8 tahun yang dulu. Saya berharap apa yang dibawa dalam usul dan apa yang diluluskan itu boleh dilaksanakan.

Tuan Speaker, saya mengakhiri ucapan dengan menyokong Belanjawan Selangor 2019. Sekian, terima kasih.

Monday 5 November 2018

旅神来我的选区新古毛!








昨天旅神来我的选区新古毛! 10位中国的旅游博客在雪州旅游局的带领下来体验新古毛州选区的旅游景点和美食。我和我的团队尽力招待,希望藉此让世界认识新古毛,也让新古毛走向世界!

Bersama penulis blog pelancongan dari negara China buat lawatan di DUN Kuala Kubu Bharu. Terima kasih kepada Tourism Selangor yang menganjurkan "Air Asia My Selangor Story 2018"!