Tuesday 25 November 2014

Ucapan Perbahasan Belanjawan Kerajaan Negeri Selangor Tahun 2015 Peringkat Dasar oleh ADN Kuala Kubu Bharu


Ucapan Perbahasan Belanjawan Kerajaan Negeri Selangor Tahun 2015 Peringkat Dasar oleh ADN Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong pada 25 November 2014 (Selasa) di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam:

Terima kasih kepada Puan Speaker kerana memberi peluang kepada saya untuk turut serta dalam perbahasan Ucapan Belanjawan Selangor 2015 yang dibentangkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar.

Puan Speaker, saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Dato’ Menteri Besar yang bersedia membelanjakan sejumlah RM2,422,500,000 pada tahun 2015 untuk melaksanakan semua rancangan pembangunan kerajaan. Nisbah perbelanjaan mengurus berbanding pembangunan pada 53.19: 46.81 adalah jauh lebih baik daripada paras ideal iaitu 60:40.

Saya bersetuju dengan Kerajaan Negeri yang akan membelanjakan RM600 juta untuk melaksanakan kerja-kerja MARRIS pada tahun 2015. Mengikut Penyata Kewangan Negeri Selangor 2013, Kumpulan Wang Amanah Penyenggaraan Jalan Negeri (MARRIS) setakat 31 Disember 2013 telah meningkat ke RM822,091,294.92 berbanding dengan RM631,272,780.63 pada tahun 2012. Wang tersebut dijangka terus meningkat pada tahun ini.

Ini adalah kerana Dato’ Menteri Besar telah memaklumkan Dewan yang mulia ini semasa menjawab pertanyaan mulut Ahli Dewan Negeri semalam iaitu pada 24 Disember 2014 bahawa wang MARRIS masih belum digunakan dengan sepenuhnya. Jawapan ini bermakna penyaluran peruntukan kepada agensi-agensi pelaksana iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pejabat Daerah untuk melaksanakan projek MARRIS adalah kurang daripada penerimaan iaitu RM564.64 juta pada tahun ini.

Saya menyahut baik cadangan Dato’ Menteri Besar bahawa semua wang MARRIS yang diterima akan disalurkan kepada agensi-agensi pelaksana pada tahun 2015. Dengan ini, saya mengemukakan 2 isu yang perlu diberikan perhatian semasa pelaksanaan projek MARRIS.

Pertama, Masa yang diambil bagi memproses projek MARRIS adalah terlalu lama. Saya mengambil contoh apa yang berlaku pada tahun ini. Salah satu agensi pelaksana iaitu PBT dikehendaki mengemukakan senarai kerja MARRIS kepada Kerajaan Negeri sebelum 21 Februari 2014.

Jawapan pertanyaan bertulis saya di Dewan yang mulia ini pada bulan Jun 2014 ialah hanya 6 PBT telah mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Sebut Harga atau Lembaga Tender bagi menentukan kontraktor-kontraktor untuk melaksanakan kerja-kerja MARRIS setakat 31 Mei 2014. 3 PBT mengadakan mesyuarat tersebut pada bulan Jun 2014. 2 PBT bermesyurat pada bulan Julai dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) adalah PBT yang terakhir mengadakan mesyuarat iaitu pada bulan Ogos 2014.   

Walaupun kontraktor yang dilantik dalam mesyuarat tersebut diberikan masa di antara 1 hingga 2 bulan untuk menyiapkan kerja, tetapi amalan biasa ialah kebanyakan kerja akan siap lebih daripada 2 bulan kerana masalah cuaca dan pihak kontraktor kekurangan tenaga kerja. Ini bermakna jalan yang rosak terpaksa menunggu selama 5 hingga 10 bulan untuk diturap semula.

Puan speaker, bayangkan betapa marahnya pengguna jalanraya jika dia perlu menggunakan jalan yang rosak tersebut tiap-tiap hari.  Oleh itu, saya amat berharap kerja-kerja MARRIS boleh dilaksanakan dengan segera tetapi kualiti tidak dikompromikan pada tahun 2015 demi menjaga imej Pakatan Rakyat. 

Bagi membolehkan kerja dilaksanakan dengan segera, Kerajaan Negeri perlu mempertimbangkan satu kaedah lagi iaitu outright grant digunapakai selain daripada kaedah direct grant untuk PBT dan secara jurnal peruntukan kepada agensi-agensi pelaksana yang lain untuk membolehkan kerja-kerja MARRIS dilaksanakan dengan segera.

Outright grant tidak digunapakai sebagai kaedah penyaluran peruntukan sejak tahun 2010 dengan alasan untuk mengelak agensi pelaksana melaksanakan kerja-kerja di luar skop yang dibenarkan. Ini boleh diatasi sekiranya terdapat kaedah kawalan yang rapi bagi memastikan peruntukan MARRIS digunakan mengikut Garis Panduan Tatacara Pengurusan Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri.

Keupayaan agensi pelaksana ditingkatkan dengan menghatar jurutera-jutera ke kursus adalah satu langkah yang baik dan bijaksana. Pemahaman skop kerja MARRIS oleh Kerajaan Negeri dan agensi pelaksana adalah penting. Saya sering mendengar rintihan pegawai kerajaan bahawa kerja MARRIS adalah terhad kepada sesuatu penyengaraan sahaja dan banyak batasan. Akan tetapi apabila saya membaca Garis Panduan Tatacara Pengurusan Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri, saya dapati kerja MARRIS juga termasuk kerja-kerja pemotongan rumput/lanskap, penyenggaraan pembetung dan jambatan, pembersihan longkang tepi jalan, penyenggaraan cerun, terowong, jejantas, lampu jalan, lampu isyarat, dan sebagainya.

Garis Panduan Tatacara Pengurusan Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri telah menyenaraikan 4 kategori dan sebanyak 29 contoh kerja yang boleh dilaksanakan. Ucapan Belanjawan Dato’ Menteri Besar para 108 juga menyebut beberapa kerja boleh dilaksanakan dalam peruntukan MARRIS. Saya mengulangi teks ucapan Dato’ Menteri Besar para 108 supaya kita lebih memahami skop kerja MARRIS:

108. Untuk tempoh 3 bulan ini, dari Oktober sehingga Disember 2014, perbelanjaan peruntukan MARRIS dioptimakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan termasuk penurapan semula jalan, pembaikan dan pembersihan longkang, kerja-kerja pemotongan rumput/lanskap dan menyelenggara pokok-pokok di bahu jalan.

Dengan adanya pemahaman skop kerja MARRIS, saya yakin Kerajaan Negeri boleh mengoptimakan penggunaan wang MARRIS dan jalan yang masih baik tidak akan diturap semula semata-mata untuk menghabiskan peruntukan MARRIS sahaja. Sebaliknya, pengoptimaan ini akan mengurangkan beban PBT yang menghadapi kekangan kewangan untuk melaksanakan sesuatu kerja penyenggaraan selain daripada penurapan semula jalan.

Isu yang kedua ialah kaedah penyaluran melalui bilangan DUN dalam PBT.  Kaedah yang digunapakai sekarang telah menyebabkan Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) yang hanya mempunyai 2 kawasan DUN dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) yang mempunyai 3 kawasan DUN menerima peruntukan MARRIS yang amat kurang berbanding dengan Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang mempunyai 7 kawasan DUN, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang mempunyai 6 kawasan DUN.

Oleh kerana taburan panjang jalan di setiap PBT tidak diambil kira maka terdapat PBT yang mempunyai lebih sedikit jalan dari segi ukuran panjang jalan tetapi menerima peruntukan yang banyak hanya kerana ianya mengandungi bilangan DUN yang banyak.

Ini bukan sahaja berlaku di peringkat PBT tetapi juga berlaku di peringkat DUN dalam PBT yang sama. Saya mengambil contoh taburan panjang jalan di MDHS yang mana jalan di DUN Batang Kali adalah 4 kali ganda panjang daripada DUN Ulu Bernam. Dengan ini adalah tidak wajar jika ianya diberi peruntukan MARRIS yang sama nilai. Faktor panjang jalan perlu diambil kira semasa menyalurkan peruntukan MARRIS demi memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Puan Speaker, rizab MARRIS dalam Kumpulan Wang Amanah Penyenggaraan Jalan Negeri yang lebih 800 juta itu patut digunakan untuk kerja-kerja penyenggaraan cerun sekiranya dibenarkan seperti Garis Panduan Tatacara Pengurusan Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri bagi menyediakan taraf kehidupan yang berkualiti di Selangor.

Penyenggaraan cerun adalah sangat penting kerana bencana tanah runtuh telah membawa kerugian yang signifikan kepada negara. Kematian dan kemusnahan harta benda telah berlaku akibat bencana tanah runtuh seperti apa yang berlaku di Cameron Highlands baru-baru ini.

Setakat ini, maklumat mengenai cerun yang kritikal dan berisiko bencana masih lagi tidak lengkap. Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri sedang melaksanakan Projek Penghasilan Peta Bahaya dan Risiko Cerun yang mana kawasan kajiannya juga termasuk Selangor. Keluasan kajian adalah 1550 km persegi yang mana termasuk kawasan Cheras Selatan dan Kajang ke Bangi seluas 300 km persegi, Rawang ke Batang Kali seluas 150 km persegi dan Gombak ke Selayang seluas 200 km persegi. Projek ini dijangka siap pada tahun 2016.

Puan Speaker, sementara menunggu hasil kajian projek tersebut, Kerajaan Negeri juga perlu memastikan kerja-kerja memantau, menyenggara dan menstabilkan cerun di Selangor dijalankan oleh PBT. Satu perkara yang membanggakan kita ialah Unit Cerun Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah ditubuhkan pada 3 Disember 2009 dan MPAJ merupakan PBT yang pertama menubuhkan Unit Cerun di Malaysia.

Walau bagaimanapun perkongsian kepakaran tidak ada di peringkat PBT. Ini jelas kelihatan apabila kejadian berlaku di Apartmen Teratai, Bukit Beruntung yang mana penduduk-penduduk terpaksa berpindah keluar selama 8 hari untuk kerja-kerja kestabilan cerun.

MPAJ mempunyai 349 lokasi cerun dalam senarai pemantauan mereka dan saya percaya MPKj, MPS dan MDHS juga mempunyai beratus-ratus cerun samada di tanah milik kerajaan atau tanah milik individu. Adakah MDHS mampu menubuhkan Unit Cerun seperti MPAJ? Jika tidak, maka kita perlu memikirkan sesuatu langkah dan bukannya semata-mata bergntung kepada Cawangan Kejuruteraan Cerun, JKR Malaysia. Kerajaan Negeri mungkin boleh membantu melalui penubuhan task force atau sebagainya.

Sudah tiba masanya Kerajaan Negeri mengambil inisiatif untuk menubuhkan Jabatan Cerun di peringkat negeri bagi perkongsian kepakaran dan latihan kepada stake-holders melalui program kursus, seminar, latihan hands-on, bengkel dan sebagainya selain daripada memantau cerun-cerun di Selangor. Dengan adanya inisiatif sedemikian maka kejadian Apartmen Teratai tidak akan berulang lagi.

Puan Speaker, saya kagum dengan kesungguhan Dato’ Menteri Besar bahawa pentadbiran beliau akan mengusahakan pelbagai cara untuk menambahbaik dan memupuk persefahaman kaum dan toleransi antara agama di Selangor. Tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat Selangor merupakan sebuah masyarakat majmuk. Ia terdiri dari kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain yang memiliki bahasa, budaya dan agama yang berbeza.

Kita harus memastikan golongan minoriti di negeri ini mendapat pembelaan sewajarnya. Masyarakat Punjabi Sikh adalah golongan minoriti tetapi telah memainkan peranan yang penting dalam pembangunan dan kemajuan negeri Selangor.

Bahasa Punjabi digunakan oleh keturunan Punjabi untuk memahami dan mengamalkan kebudayaan dan agama mereka malangnya tidak diajar sebagai Pupils’ Own Language (POL) di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah. Bagi mengatasi masalah pembelajaran bahasa Punjabi yang dihadapi, Khalsa Diwan Malaysia telah menubuhkan Pusat Pendidikan Punjabi di seluruh negara.

Pusat Pendidikan Punjabi di Negeri Selangor telah meningkat kepada 9 buah dan yang ke 9 itu terletak di Kawasan Kuala Kubu Bharu. Jumlah murid yang membelajari bahasa Punjabi di Selangor adalah 900 orang. Mereka pernah memohon peruntukan bantuan pendidikan seperti mana Kerajaan Negeri memperuntukan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) bagi meringankan beban kewangan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Punjabi.

Galakan dan sokongan oleh Kerajaan Negeri terhadap proses pembelajaran bahasa Punjabi di pusat-pusat pendidikan Punjabi amat diperlukan. Dengan ini, saya meminta Kerajaan Negeri menetapkan satu jumlah peruntukan tahunan yang munasabah kepada Punjabi Education Trust Selangor Darul Ehsan (PETS) yang mengendalikan pusat-pusat pendidikan Punjabi di Selangor.

Puan Speaker,  Kuala Kubu Bharu mengakhiri ucapan dengan menyokong Belanjawan 2015 yang bertemakan Pembangunan Berkualiti, Rakyat dipeduli yang telah dibentangkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor. Sekian. Terima kasih.

Thursday 20 November 2014

Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan Kuala Kubu Bharu

















Merasmikan Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan Kuala Kubu Bharu. Harap pelajar terus berusaha ke arah kecemerlangan.

Lawatan ke tapak pasar malam baru di Kerling









Saya bersama Elyn Law, pegawai-pegawai MDHS, penghulu mukim dan JKKK Kg Tradisi meninjau tapak pasar malam baru di Kerling.

Penjaja tanpa lesen telah berniaga di kawasan terlalu dekat dengan Jalan Persekutuan Tg Malim ke Rawang sejak awal tahun ini, maka saya menggunakan peruntukan saya untuk meratakan kawasan depan balairaya Kerling supaya penjaja boleh pindah masuk dan berniaga di situ.

Sekiranya kawasan depan balairaya mendapat kelulusan MDHS maka ia adalah pasar malam yang pertama di DUN Kuala Kubu Bharu yang beroperasi tiap-tiap hari Isnin. Pasar Malam di Pekan KKB dan Pekan Rasa hanya beroperasi 2 kali sebulan.

Tuesday 18 November 2014

巴冬加里福泉庙文化活动中心






昨天雪州行政议员欧阳捍华将庙地宪报书交给巴冬加里福泉庙,较后为福泉庙文化活动中心主持开幕。

福泉庙的文化活动中心是我在新古毛选区内重视人文发展方面的一个进展。当我发现巴冬加里新村有位非常热爱华族舞蹈的艺术者Catherine Loh时,我亲自拜访她。之后,我的团队跟福泉庙接洽,以将该庙废置的一间房子重新启用,成为文化活动中心。

这文化活动中心设有舞蹈员练舞时需要的大镜子以及地板也符合练舞的规格。现在卢老师可以在该文化活动中心教舞蹈了,栽培出乌雪首支能在全国演出的华族舞蹈队伍。

YB Exco Ean Yong Hian Wah melawat Persatuan Penganut Dewa Sheng Ti Batang Kali semalam.


Sunday 16 November 2014

Saturday 15 November 2014

Terjah & Musnah Nyamuk Aedes Negeri Selangor 2014


Program Gotong Royong Mega Terjah & Musnah Nyamuk Aedes Negeri Selangor 2014 Di Kawasan Perniagaan Bukit Sentosa, Rawang Pagi Tadi.

与地球共息环保意识讲座















慈濟与巴冬加里民友路村委会主办的与地球共息环保意识讲座。


Coexist With Mother Earth, an environmental awareness talk organised by Tzu Chi and JKKK Kg Menyuruk, Batang Kali at Kg Menyuruk yesterday.