Friday 29 November 2013

Terbitan Pelancongan Negeri Selangor


Soalan saya mengenai terbitan pelancongan di Dewan Negeri Selangor telah dijawab oleh YB Puan Elizabeth Wong seperti berikut:

Terbitan pelancongan yang dihasilkan oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2012 dan 2013 adalah peta pelancongan, Selangor Breakaway, penerbitan iklan di majalah dan surat khabar.

Selain daripada cetakan fizikal, Tourism Selangor juga menerbit bahan promosi melalui media sosial melalui laman web (http://tourismselangor.my/), twitter and facebook. Penghasilan bahan-bahan tersebut tidak perlu perbelanjaan, cuma ada kos penyelenggaraan, sewaan, sewaan nama dan perkara-perkara yang berkaitan dengan “web administration” iaitu dalam lingkungan RM20,000 setahun.

Kerajaan Negeri berhasrat untuk menghasilkan cetakan risalah pelancongan yang berasingan untuk setiap daerah dalam pelbagai bahasa dan juga di dalam versi elektronik untuk di paparkan di dalam laman sesawang (web).

Buku Selangor Breakaway juga akan diterbitkan sebagai panduan kepada pelancong domestik dan luar negara mengenali produk-produk pelancongan yang terdapat di Negeri Selangor. Buku ini telah disusun mengikut daerah-daerah di Negeri Selangor. Semua maklumat produk-produk pelancongan yang dimasukkan di dalam buku ini adalah di atas cadangan daripada Pihak Berkuasa Tempatan. Buku ini diterbitkan di dalam Bahasa Inggeris.

Pada masa yang sama, peta pelancongan diterbitkan untuk memberi maklumat pelancongan di dalam bentuk peta pelancongan yang merangkumi produk-produk pelancongan di seluruh Negeri Selangor.

Walau bagaimanapun dengan inisiatif dari Pihak Berkuasa Tempatan, PBT kini telah mencetak dan menyediakan pelbagai bahan promosi untuk mempromosikan produk-produk pelancongan di daerah mereka.

Pihak Berkuasa Tempatan yang telah mempunyai bahan promosi adalah seperti berikut:

i. Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ)
ii. Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS)
iii. Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS)
iv. Majlis Perbandaran Kajang (MPK)
v. Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)
vi. Majlis Perbandaran Klang (MPK)

Wednesday 27 November 2013

Usul Peruntukan Pembangunan 2014


Petang ini, saya mengambil bahagian dalam perbahasan Usul Peruntukan Pembangunan 2014 di Dewan Negeri Selangor. Teks ucapan saya adalah seperti berikut:

Terima kasih Tuan Timbalan Speaker, saya ingin membahas Usul Peruntukan Pembangunan 2014 bermula dengan P12 Jabatan Kerja Raya (JKR). Anggaran Peruntukan Pembangunan 2014 untuk JKR adalah RM121 juta dimana angka ini adalah 2 kali ganda berbanding dengan peruntukan 2013 yang diperolehi iaitu RM59.6 juta. Ini adalah satu anjakan yang besar.


Setelah meneliti setiap pecahan kepala, saya dapati P.K 1 Pelbagai Rancangan butir 01 iaitu Membaikpulih dan Menyelenggara Cerun Seluruh Selangor yang hanya diperuntukan 3 juta. Mengikut Anggaran 5 tahun iaitu tahun 2011-2015 adalah RM30 juta. Jika RM30 juta dibahagikan samarata setiap tahun maka anggaran 2014 sepatutnya RM6 juta. Saya minta penjelasan daripada pihak kerajaan mengenai peruntukan RM3 juta ini iaitu separuh daripada RM6 juta. Ada kemungkinan bahawa kebanyakan cerun-cerun di Selangor telah dikategorikan stabil, selamat dan kukuh dimana tidak akan berlaku tanah runtuh yang merbahayakan orang ramai pada tahun 2014. Walau bagaimana pun, penjelasan daripada pihak kerajaan adalah perlu kerana Selangor mempunyai banyak cerun dan beberapa tempat telah berlaku keruntuhan cerun.

Tuan Speaker, begitu juga butir 03 Memasang Lampu Jalan dan Lampu Isyarat Seluruh Selangor yang hanya diperuntukan RM500,000. Ianya adalah sama seperti membaikpulih dan menyelenggara ceruh seluruh Selangor yang saya sebut tadi dimana jika dibahagikan samarata setiap tahun maka ia patut diperuntukan RM1 juta.

Pemasangan lampu jalan dan lampu isyarat akan meningkatkan tahap keselamatan jalan raya. Peruntukan yang RM500,000 adalah terlalu sedikit. Saya mengambil satu contoh di kawasan DUN saya. Pada bulan Julai yang lalu terdapat 4 kes pecah rumah yang terancang dalam satu malam di Kampung Gate, Kerling. Saya melawat mangsa-mangsa tersebut dan mereka meminta memasang lampu jalan kerana penyamun-penyamun telah sembunyi di tempat gelap berapa hari untuk mengetahui gerak geri penduduk sekitar sebelum menyamun. Malangnya JKR Hulu Selangor memaklumkan tidak ada peruntukan untuk memasang lampu jalan di jalan JKR tersebut. Itu ialah bulan Julai sudah tidak ada peruntukan bagaimana dengan bulan-bulan yang seterusnya? Dengan ini, saya minta penjelasan daripada pihak kerajaan samada peruntukan tersebut mencukupi untuk seluruh selangor sedangkan pemasangan lampu isyarat di satu tempat akan menelan sebanyak RM200,000.

Tuan Speaker, terdapat pelbagai jenis jalan di Selangor seperti jalan PBT, jalan JKR, jalan PLB dan juga no man road dengan izin. Walaupun Selangor maju tetapi masih lagi terdapat jalan-jalan yang dipanggil no man road yang mana PBT, JKR dan PLB menafikan jalan awam tersebut adalah di bawah penyelenggara mereka.

Kalau jalan PBT maka lampu juga adalah tanggungjawab PBT, Jalan JKR maka lampu urusan JKR. Akan tetapi, kalau meminta lampu jalan di jalan PLB dan no man road, pihak mana akan melakukan pemasangan dan seterusnya siapa yang membayar bil elektrik?

Dengan ini saya meminta penjelasan daripada pihak kerajaan samada semua jalan selain daripada lebuhraya dan jalan PBT, pemasangan lampu jalan adalah diuruskan oleh JKR.

Tuan Speaker, saya juga menyentuh P.K 4 iaitu menaiktaraf jalan. Saya amat terkejut di mana Daerah Hulu Selangor hanya diperuntukan RM1 juta untuk menaiktaraf jalan pada keseluruhannya. Jika membandingkan dengan peruntukan diberikan kepada daerah-daerah lain, maka Daerah Hulu Selangor mendapat peruntukan bawah P.K 4 adalah yang paling rendah.

Daerah Hulu Selangor tidak mendapat peruntukan untuk butir-butir lain dalam P.K 4 melainkan butir 07 iaitu menaiktaraf jalan-jalan di seluruh Hulu Selangor yang sebanyak RM1 juta. Anggaran bagi tahun 2011 hingga 2015 adalah RM20 juta tetapi untuk tahun 2014 hanya diperuntukan RM1 juta. Akan tetapi dalam mukasurat yang sama juga iaitu 197, saya dapati butir 39 menaiktaraf jalan-jalan di Daerah Kuala Selangor yang anggaran tahun 2011 hingga 2015 ialah RM5 juta tetapi juga  diperuntukan RM1 juta. Ini bermakna sama-sama diperuntukan RM 1 juta tanpa mengira RM20 juta ataupun RM5 juta yang dirangka. Walau bagaimanapun, pada masa yang sama dearah Kuala Selangor diperuntukan RM22 juta untuk menaiktaraf jalan-jalan yang disenaraikan dalam butir 01 dan butir 02. Perbezaannya adalah agak besar dimana Daerah Hulu Selangor selain daripada RM1 juta ini, butir-butir lain di bawah P.K 4 ini tidak diperuntukan satu sen pun. Saya minta penjelasan daripada pihak kerajaan apakah faktor yang diambilkira untuk menentukan peruntukan menaiktaraf jalan untuk setiap daerah.

Saya ingin merakamkan rasa tidak puashati disini kerana daripada peruntukan JKR telah bertambah daripada RM59.6 juta ke RM121 juta tahun depan, Daerah Hulu Selangor hanya mendapat RM1 juta sahaja. Saya berharap pihak kerajaan janganlah pinggirkan kawasan luar Bandar ini. Jika bajet berimbang dibentangkan di Dewan yang mulia ini maka peruntukan pembangunan juga haruslah dinampak berimbang di antara daerah-daerah.

Selain daripada itu, saya ingin menyentuh P01 Pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan di mukasurat 59 iatu P.K 1 Perkhidmatan Masyarakat Butir 02 Rumah Ibadat Selain Islam. Tahun ini peruntukan tersebut habis dengan cepatnya. Saya mendapat aduan sekurang-kurangnya daripada 3 persatuan-persatuan penganut agama bahawa terdapat pengumuman peruntukan kepada rumah ibadat mereka tetapi tidak ditunaikan dengan cek selepas itu.

Saya minta penjelasan daripada pihak kerajaan apakah langkah-langkah yang diambil untuk mengatasi masalah ini. Peruntukan tersebut memang disambut baik daripada kalangan penganut-penganut bukan Islam akan tetapi pihak kerajaan perlu mempunyai sistem pengurusan yang baik dan cekap supaya imej cemerlang Kerajaan Selangor tidak terjejas.  


Itu sahaja perbahasan saya, saya menyokong Usul Pembangunan ini. Terima kasih.

Tuesday 26 November 2013

Pengurusan Tanah


Petang semalam, saya mengambil bahagian dalam perbahasan peringkat jawatankuasa perbekalan kerajaan Selangor 2014 di Dewan Negeri Selangor mengenai pengurusan tanah. Teks ucapan saya adalah seperti berikut:

Puan Pengerusi, saya rujuk kepada mukasurat 336 Anggaran Perbelanjaan 2014, butiran tanah dan hasil. Megikut maklumat daripada buku Perjawatan Selangor 2014, Pejabat Daerah Hulu Selangor mempunyai 99 orang kakitangan untuk menguruskan tanah seluruh Hulu Selangor yang sebesar negeri Melaka. Banyak permohonan daripada rakyat seperti:

1) Pemberimilikan tanah;
2) Lesen menduduki sementara;
3) Penyerahan balik sebahagian tanah;
4) Penyatuan tanah;
5) Pecah bahagian tanah;
6) Tukar syarat tanah;
7) Pindahmilik; dan
8) Memanjangkan tempoh pajakan

Malangnya ada pemohanan tidak dapat diproses dengan cepat dan mengambil masa bertahun-tahun atau berbulan-bulan. Saya memberikan 2 kes di sini: 

1) Pemohonan pada 17 tahun yang lalu untuk pelupusan secara pemberihakmilikan tanah kerajaan di bawah seksyen 76 Kanun Tanah Negara bagi tujuan bangunan kediaman di Kg Asam Kumbang, Kuala Kubu Bharu tetapi sehingga kini tidak ada maklum balas. 

2) Pemohanan memanjangkan tempoh pajakan melalui serah dan berimilik semula 12A yang mana pemilik tanah telah memohon 4 bulan yang lalu dan bila menanya status pemohonannya, jawapan adalah file belum buka lagi. Pemilik tanah menunggu kelulusannya untuk mendapat pinjaman bank bagi membangunkan tanahnya dan seterusnya nampaklah ekonomi di Kuala Kubu Bharu berkembang sedikit.

Atas kelewatan memproses ini, maka terdapat banyak tomahan daripada pihak-pihak tertentu mengenai ketidakberkesanan. Ini adalah tidak adil kepada Pejabat Daerah Hulu Selangor. Dengan ini saya mohon pihak kerajaan mengambil berat terhadap masalah kelewatan kerana kerajaan juga bergantung kepada hasil tanah untuk membentangkan bajet yang mencipta sejarah ekonomi Selangor satu kali lagi pada tahun depan.  


Anjing Liar dan Kucing Liar


Pagi ini saya mengambil bahagian dalam perbahasan peringkat jawatankuasa perbekalan kerajaan Selangor 2014 di Dewan Negeri Selangor mengenai anjing liar dan kucing liar. Teks ucapan saya adalah seperti berikut:

Puan Pengerusi, saya rujuk kepada mukasurat 265 butiran 522000 Kesihatan Veterinar, kod objek 29000 Perkhidmatan Iktisas dan Perkhidmatan Lain yang dibeli dan hospitaliti. Saya ingin menyentuh isu anjing liar dan kucing liar. Kita sayangkan anjing dan kucing akan tetapi apabila terdapat anjing liar dan kucing liar terutama di tempat-tempat awam yang berpuluh-puluh ekor telah menjadi satu kacauganggu kepada rakyat.

Mereka yang sayangkan anjing atau kucing juga tak dapat membawa balik rumah yang berpuluh-puluh ekor ini kerana rumah pun tak dapat memuatkan banyak ekor anjing dan kucing. Jadi saya minta penjelasan daripada pihak kerajaan sama ada terdapat rancangan untuk mengadakan perkhidmatan kawalan pembiakan untuk anjing liar dan kucing liar iaitu pengembirian begitu juga cara perlaksanaan perkhidmatan tersebut bagi mengurangkan anjing liar dan kucing liar menjadi kotor, tidak terurus dan barangkali berpenyakit di tempat awam.


Sekian. Terima kasih.

Monday 25 November 2013

Selangor Shine


Saya mengambil bahagian dalam Perbahasan Perbekalan Kerajaan Negeri Selangor 2014 di Dewan Negeri Selangor mengenai penambahan lampu jalan. Berikut adalah teks ucapan saya:

Puan Pengerusi, saya merujuk mukasurat 186 Anggaran Perbelanjaan 2014 bahagian Perkhidmatan dan Bekalan yang mana angka-angka anggaran 2014 adalah sama dengan peruntukan 2013. Dengan angka-angka yang sama ini, saya minta penjelasan daripada pihak kerajaan samada memandang serius atau tidak terhadap pemasangan lampu jalan mengikut permintaan rakyat. Ini adalah kerana penambahan lampu jalan yang beratus-ratus tiang akan menimbulkan kos penyelenggaraan yang tinggi sekurang-kurangnya bayaran bil elektrik setiap bulan akan bertambah.

Saya dimaklumkan oleh penghulu-pmghulu mukim di Hulu Selangor bahawa sejak Pakatan Rakyat mengambilalih kuasa pemerintahan Negeri Selangor, mereka tidak pernah diminta untuk mengemukakan cadangan pemasangan lampu jalan. Saya ambil satu contoh iaitu Mukim Hulu Bernam Selatan, permintaan rakyat terhadap lampu jalan adalah sebanyak 90 tiang yang mana tiang telah disediakan tapi peralatan bekalan lampu tidak dipasang lagi. Ini adalah satu mukim sahaja. Bagaimana dengan 8 mukim di Hulu Selangor dan mukim-mukim lain di seluruh Selangor?

Kita sedia maklum bahawa lampu jalan sudah menjadi satu keperluan untuk keselamatan penggunaan jalan raya dan mengurangkan kadar jenayah. Ini bukan sahaja dalam mukasurat 186 tapi dari mukasurat 179 hingga 187 yang mana angka-angka dalam kod objek 21000 hingga 29000 adalah sama sahaja. Jadi setakat ini, sejauh manakah pihak kerajaan mementingkan penambahan lampu jalan untuk mencahayakan Selangor atau “Selangor Shine”.

Friday 22 November 2013

Pertanyaan saya mengenai pekerja-pekerja ladang dan jawapan yang diperolehi Di Dewan Negeri Selangor

Pertanyaan saya mengenai pekerja-pekerja ladang dan jawapan yang diperolehi Di Dewan Negeri Selangor:

(a) Adakah Kerajaan Negeri berhasrat untuk mengemukakan cadangan pembinaan rumah kepada pekerja-pekerja ladang?

Jawapan YB Ganabatirau Veraman: Di peringkat Kerajaan Negeri buat masa ini tiada rancangan yang khas bagi pembinaan rumah kepada pekerja-pekerja ladang. Namun Kerajaan Negeri amat prihatin dalam menangani isu kebajikan pekerja ladang dalam memastikan ada pampasan atau pembinaan rumah untuk pekerja-pekerja ladang apabila ladang dijual atau dibangunkan untuk perumahan.

(b) Adakah Kerajaan Negeri bertujuan memberikan tanah kepada pekerja-pekerja ladang untuk penanaman secara kecil-kecilan dan perternakan bagi menambahkan pendapatan mereka?


Jawapan YB Ganabatirau Veraman: Kerajaan Negeri dalam masa yang terdekat ini tiada rancangan untuk membuka tanah pertanian. Namun saya menyambut baik sekiranya pihak pengurusan ladang di Selangor dapat membenarkan para pekerja ladang untuk mengadakan tanaman kontan ataupun ternakan secara kecil-kecilan di kawasan ladang yang mereka bekerja.

Thursday 21 November 2013

Ucapan Perbahasan Belanjawan Kerajaan Negeri Selangor Tahun 2014


Ucapan Perbahasan Belanjawan Kerajaan Negeri Selangor Tahun 2014 Peringkat Dasar oleh ADN Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong pada 21 November 2013 (Khamis) di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam:

Terima kasih kepada Tuan Timbalan Speaker kerana memberi peluang kepada Kuala Kubu Bharu untuk turut serta dalam perbahasan ucapan Bajet Negeri Selangor tahun 2014 yang dibentangkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar.

Tuan Timbalan Speaker, Kuala Kubu Bharu ingin merakamkan tahniah dan syabas kepada YAB Dato’ Menteri Besar kerana telah berjaya sekali lagi merangkakan satu bajet berimbang yang bukan sahaja dapat meneruskan semua rancangan yang membawa manfaat dan kebajikan kepada rakyat Negeri Selangor malahan berjaya terus menambah lagi jumlah perbelanjaan serta pendapatan keseluruhannya dalam bajet menjadikannya memcecah 1.85 billion Ringgit yang merupakan bajet tertinggi dalam sejarah Negeri Selangor. Ini satu pencapaian yang luar biasa dan tidak mungkin dan tidak boleh dilakukan oleh sebuah Kerajaan melainkan kerajaan yang bersih, amanah, cekap dan telus.

Tuan Timbalan Speaker, Kuala Kubu Bharu menyanjung dan menyambut baik penggunaan Rizab Negeri sebanyak 430 juta Ringgit untuk pembiayaan pembangunan yang melibatkan 6 inisiatif. Kuala Kubu Bharu berpendapat rancangan ini adalah tepat dan sesuai pada masanya dan pastinya akan membawa lebih banyak kebajikan dan kesejahteraan kepada rakyat jelata.

Kuala Kubu Bharu amat bersetuju dengan konsep YAB Dato’ Menteri Besar bahawa penggunaan simpanan negeri ini perlu berhati-hati dan mestilah digunakan untuk program-program yang produktif terutamanya perbelanjaan pembangunan yang bakal mendatangkan hasil gandaan tinggi untuk tempoh lama dan membawa impak positif kepada rakyat dan negeri keseluruhannya.

Setelah mencampurkan bajet asal bersama rizab negeri yang akan digunakan, maka peruntukan bagi tahun 2014 akan mencecah 2.28 billion Ringgit dan menjadikan pecahan 46.3 peratus untuk perbelanjaan pembangunan dan 53.7 peratus untuk perbelanjaan mengurus. Kuala Kubu Bharu nampak pecahan ini jauh lebih baik dan pasti akan mendapat lebih banyak pujian daripada kalangan rakyat biasa mahupun cendekiawan serta pakar-pakar ekonomi jika dibanding dengan pecahan 18:82 seperti yang dibuat pada bajet oleh Kerajaan Pusat sebelum ini di Dewan Rakyat.

Selain daripada itu, Kuala Kubu Bharu juga ingin menyentuh tentang seruan YAB Dato’ Menteri Besar dimana Kerajaan Persekutuan perlu bersikap lebih professional, telus dan bertanggungjawab dalam mengagihkan kutipan hasil cukai secara adil dan setimpal dengan sumbangan negeri. Seperti yang diketahui semua, sejak 2008 lagi, Kerajaan Pusat telah memberhentikan penyaluran peruntukan kewangan kepada Kerajaan Negeri Selangor tetapi diperuntukkan melalui Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICU). Perbuatan sebegini bukan hanya satu pengkhianatan kepada rakyat Selangor malah ianya menunjukkan betapa sombongnya Barisan Nasional menafikan system demokrasi di Negara ini dan mengabaikan hak rakyat negeri Selangor demi kepentingan politik mereka.

Kuala Kubu Bharu ingin mengambil kesempatan ini untuk mendesak Kerajaan Pusat untuk membubarkan unit ICU ini dan kembali ke pangkuan sebenar yang mana menghormati hak pembayar cukai yang merupakan boss(dengan izin) sebenar dengan menyalurkan peruntukan tersebut terus kepada Pentadbiran Negeri yang dipilih oleh Rakyat. Dengan itu juga, Kuala Kubu Bharu juga mengecam sekeras-kerasnya penubuhan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan(JKKKP) yang sememangnya telah ditolak oleh Kerajaan Negeri serta Rakyat Negeri Selangor sejak 2008 lagi.

Sesungguhnya penubuhan JKKKP demikian telah melanggari peruntukan dalam Senarai 2 - Senarai Negeri dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu jelas termaktubnya kuasa Kerajaan Negeri dalam hal pelantikan JKKK serta pihak-pihak berkuasa tempatan lain, lantaran cadangan untuk menubuhkan Jawantankuasa Perwakilan Penduduk di semua Pihak Berkuasa Tempatan oleh Kerajaan Persekutuan baru-baru ini adalah juga bercanggah dari segi undang-undang. Maka Kuala Kubu Bharu ingin menyeru agar Kerajaan Negeri mengambil tindakan yang lebih agresif dan bijak untuk menangani masalah yang disengajakan ini dengan membawa isu ini ke mahkamah untuk penafsiran Perlembagaan Persekutuan tentang maksud sebenar Pembahagian Kuasa atau separation of power, dengan izin.

Tuan Timbalan Speaker, Kuala Kubu Bharu amat setuju dengan pendapat YAB Dato' Menteri Besar bahawa Kerajaan Persekutuan tiada rasa rendah diri untuk mengakui hakikat bahawa penswastaan industri air dan penyerahan konsesi kepada empat syarikat terpilih semasa Selangor di bawah pemerintahan Barisan Nasional merupakan suatu penganiayaan dan pengkhianatan terhadap pengguna air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya khususnya rakyat Selangor.

Akibat daripada penswastaan tersebut, banyak tempat-tempat menghadapi masalah gangguan bekalan air dan tiada ada program penggantian paip baru dijalankan bagi paip perhubungan yang telah uzur dianggarkan berusia lebih daripada 50 tahun dan berkarat. Sebaliknya, Syarikat konsesi ini menggunakan program Pengawalan Tekanan yang pada namanya mengurangkan masalah kekerapan paip bocor dan pecah yang tinggi akan tetapi penduduk menderita kerana tidak mendapat bekalan air yang secukupnya untuk kehidupan dan kerja-kerja harian mereka.

Kuala Kubu Bharu memohon agar Kerajaan Negeri mengambil berat tentang masalah ini dan mengambil langkah segera untuk menyemak dan mengenalpasti kawasan- kawasan khususnya kawasan luar bandar di Selangor yang menghadapi masalah sedemikian agar beban rakyat yang sengsara disebabkan tekanan air rendah ini dapat diatasi dalam masa yang terdekat ini.

Tuan Timbalan Speaker, dalam pengalaman Kuala Kubu Bharu sebagai seorang Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan selama lima tahun sebelum ini, saya amat bersetuju dengan usaha Kerajaan Negeri untuk melaksanakan projek “Pejabat kepada Rakyat” kerana selama ini rakyat sentiasa menghadapi pelbagai masalah apabila berurusan di pejabat-pejabat Kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan, Negeri mahupun Tempatan. Sungguhpun terdapat peningkatan prestasi serta mutu perkhidmatan oleh kakitangan awam di Negeri Selangor selepas 2008 tetapi oleh kerana permintaan atau harapan yang begitu tinggi di kalangan rakyat terhadap Pakatan Rakyat, maka prestasi penjawat awam turut menjadi garis pengukur orang awam ke atas pencapaian Kerajaan. Maka, cadangan ini merupakan satu pergerakan untuk mereformasikan sistem penyampaian awam untuk memanfaatkan dan menyenangkan urusan harian rakyat dengan Kerajaan Negeri.

Dengan ini, Kuala Kubu Bharu ingin meminta supaya Kerajaan Negeri menetapkan satu peraturan kepada semua penjawat awam agar lebih mendekati rakyat dan Kuala Kubu Bharu ingin mengingatkan semula kepada semua, kita pernah mencadangkan pembukaan kaunter-kaunter servis Kerajaan pada hari minggu bagi memudahkan rakyat yang bekerja pada hari-hari biasa yang biasanya menghadapi masalah berurusan dengan Kerajaan pada hari bekerja terutamanya urusan-urusan yang tidak dapat diselesaikan melalui talian dan terpaksa bersemuka dengan kakitangan awam kita.

Satu lagi perkara yang Kuala Kubu Bharu rasa harus diberi penekanan oleh Kerajaan negeri iaitu pelancongan agro-tourism serta eco-tourism yang menjadi tumpuan di seluruh dunia kebelakangan ini. Selari dengan Tahun Melawat Malaysia 2014, Kuala Kubu Bharu mohon mencadangkan penubuhan satu jawatankuasa khas bagi merangka dan mengkaji rancangan-rancangan yang boleh kita lakukan dalam bidang agro dan eco-tourism ini di peringkat PBT dan PTD termasuk Daerah Hulu Selangor dan antara 5.2 juta yang diperuntukkan untuk sektor pelancongan dapat dibahagikan sekurang-kurangnya 3 juta untuk bidang ini.

Kuala Kubu Bharu juga ingin menyeru pihak Tourism Selangor Sdn Bhd (TSSB) serta EXCO pelancongan mengambil inisiatif dan bertindak dengan lebih proaktif terutamaya dalam membantu membangun dan mempromosikan industri pelancongan di Daerah Hulu Selangor khususnya.

Tuan Timbalan Speaker, sungguhpun Kuala Kubu Bahru merupakan satu kawasan DUN yang agak mendalam dan menerima pembangunan yang kurang memesat jika dibandingkan dengan kawasan-kawasan lain. Tetapi Selangor sebagai sebuah Negeri yang paling maju dan pesat pembangunannya, maka Kuala Kubu Bharu menyokong penuh inisiatif pihak Kerajaan untuk menubuhkan Majlis Pengangkutan Awam Selangor (Selangor Public Transport Council) dan pemberian rebat serta insentif kepada kakitangan kerajaan yang menggunakan pengangkutan awam ke bangunan SUK.

Walau bagaimanapun, Kuala Kubu Bharu ingin mengingatkan kepada Kerajaan Negeri, bukanlah hanya kakitangan awam yang menggunakan kenderaan persendirian sahaja yang akan menyebabkan kesesakan lalulintas malah orang awam yang terpaksa menggunakan kenderaan sendiri untuk ke bangunan-bangunan kerajaanlah yang menjadi majoriti pengguna jalanraya oleh kerana sistem pengangkutan awam yang kurang efisien dan menyeluruh. Maka Kuala Kubu Bharu berharap pihak Kerajaan akan mengkaji juga sama ada memberikan insentif yang sama seperti di atas kepada orang awam yang menggunakan pengangkutan awam ke bangunan-bangunan kerajaan sebelum sistem pengangkutan awam kita dapati dinaiktarafkan.

Tuan Timbalan Speaker, Kuala Kubu Bharu berasa amat syukur kerana walaupun terdapat kegagalan pihak Kerajaan Persekutuan dalam memberi kedudukan yang samarata bagi jurusan-jurusan berlainan di Negara ini, Kerajaan Pakatan Rakyat berjaya menetapkan pemberian peruntukan secara berstruktur kepada Sekolah-sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, Sekolah-sekolah agama rakyat, Sekolah-sekolah Menengah Persendirian Cina sebanyak 16 juta setiap tahun sejak 2008, walau bagaimanapun, Kuala Kubu Bharu berasa peruntukan berupa kewangan ini hanyalah membantu sedikit sebanyak dalam penambahbaikan serta penaiktarafan prasarana sekolah-sekolah sedia ada tetapi kurang menekan kepada mutu pengajaran serta pembelajaran pelbagai jurusan sekolah ini.

Kuala Kubu Bharu ingin menegas di sini bahawa pendidikan dan pembangunan insan merupakan unsur paling penting dan intipati sebuah Negara mahupun negeri untuk menjadi kuat dan maju, maka Kuala Kubu Bharu berharap EXCO yang menjaga hal-ehwal pendidikan mengambil langkah untuk meningkatkan mutu pendidikan negeri Selangor bagi semua jurusan dan peringkat dan bukanlah hanya tertumpu kepada pendidikan agama dan sekolah-sekolah agama rakyat, Inspens dan Unisel sahaja. Tambahan lagi Kuala Kubu Bharu berharap tambahan 50 juta Ringgit daripada rizab Negeri yang diumumkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar untuk pembinaan beberapa buah sekolah itu perlu dilaksanakan secara terbuka dan mengikut keperluan dan tidak ditumpukan kepada sesejenis sekolah sahaja. Untuk semua ini, jika perlu dan memadai, Kuala Kubu Bharu syorkan agar EXCO pendidikan melantik pakar atau pembantu EXCO dari kaum dan agama lain yang berlatarbelakang pendidikan untuk membantu beliau.

Selain daripada itu, saya memberikan penghargaan yang amat tinggi kepada YAB Dato’ Menteri Besar kerana telah sekali lagi memecah rekod dengan membudayakan pentadbiran Negeri dengan memastikan kedudukan kaum wanita dalam barisan exconya. Ini tidak pernah berlaku pada sejarah Malaysia mahupun Selangor apabila empat orang exco wanita disenaraikan dalam barisan pimpinan tertinggi negeri, tambah lagi dengan Puan Speaker Wanita pertama di Dewan Negeri yang pertama dalam sejarah dan jika dikira Yang Berhormat Penasihat Undang-
undang Negeri kita yang juga seorang wanita, saya rasa ini satu pencapaian yang bertaraf dunia dan telah disanjung dan mendapat pujian di seluruh dunia.

Pengiktirafan ini perlu diserap dan dipelajari oleh semua pihak. Kuala Kubu Bharu juga berasa terharu dan kagum apabila mendengar pengumuman YAB Dato’ Menteri Besar bahawa selain 1.3 juta Ringgit yang diperuntukkan untuk Agenda Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, tambahan 30 juta Ringgit sebagai perbelanjaan pembangunan bagi 2014 khusus untuk melaksanakan program Menjana dan Meningkatkan Pendapatan Wanita sebagai kesinambungan bagi Agenda Pemberdayaan Wanita.

Walau bagaimanapun, Kuala Kubu Bharu berasa kita boleh lagi berganjak lebih ke depan dengan cadangan dalam manifesto dan Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat 2014 di Parlimen iaitu mewujudkan Skim Caruman Wanita peingkat Negeri dan menetapkan suami-suami mereka untuk mencarum dalam skim ini dengan tambahan sumbangan daripada pihak Kerajaan. Saya yakin dan percaya dengan skim sebegini, bukan sahaja pengiktirafan tetapi ia dapat menjana dan menggalakkan mereka terus menyumbang kepada pembangunan negeri.

Akhir sekali, Kuala Kubu Bharu ingin mengambil peluang keemasan ini untuk merakamkan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh pengundi di Negeri Selangor amnya dan di DUN Kuala Kubu Bahru khasnya yang memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat untuk membentuk Kerajaan dan menjadi wakil rakyat mereka.

Perlu Kuala Kubu Bharu tekankan disini, selain rakyat dari komuniti Melayu, India, Orang Asal, kaum-kaum minoriti yang lain, rakyat dari masyarakat Cina telah memberikan sokongan yang paling kuat iaitu hampir 90% daripada kumpulan ini yang mengudi kita, dan antara mereka ini, kebanyakannya mereka bukan dan tidak bukan sekurang-kurangnya berkaitan atau menetap di dalam 77 kampung-kampung baru cina, bagan dan tersusun di seluruh negeri ini.

Sejak 2008 lagi, kerajaan telah memperuntukkan 5 juta Ringgit setiap tahun untuk kampung-kampung ini bagi menaiktaraf serta membangunkan kemudahan-kemudahan asasnya. Walau bagaimanapun, peruntukan sejumlah kecil ini hanyalah cukup untuk projek-projek kecil seperti menaiktaraf longkang-longkang dan jalan tetapi ia amat tidak mencukupi apabila sesebuah kampung memerlukan kemudahan-kemudahan seperti dewan serbaguna ataupun jambatan, apatah lagi jika ianya diperlukan selepas sesuatu bencana alam berlaku.

Sebagai contoh, telah berlakunya suatu insiden banjir di Kampung Baru Gurney, Hulu Yam Bharu pada tahun 2011 dan jambatan gantung yang menyeberangi sungai dalam kampung tersebut yang menyambungkan kedua-dua tebing sungai telah mengalami keruntuhan dan maka memutuskan jalan pintas bagi penduduk kampung untuk ke sebelah sungai yang lain, tetapi disebabkan peruntukan yang kurang, EXCO pembangunan kampung baru hanya mampu untuk meluluskan satu peruntukan yang kecil bagi membaikpulih jambatan tersebut tetapi tidak lama kemudian, oleh kerana aliran air sungai teras terutamanya pada musim hujan, maka jambatan tersebut mengalami kerosakan kali kedua, maka EXCO tersebut setelah mendengar nasihat daripada pihak Pejabat Daerah, lalu mencadangkan jambatan tersebut dibina semula oleh Jabatan Pengairan dan Saliran tetapi hingga kini rakyat masih menunggu.

Satu lagi contoh ialah jambatan yang runtuh di Kampung Baru Tanjung Sepat Indah kawasan DUN Tanjung Sepat selepas sahaja PRU 13 tempoh hari, hingga kini pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia masih belum bersetuju untuk membina semula jambatan itu dan pihak EXCO berkenaan juga tidak berupaya berbuat demikian dengan bajet yang sedikit. Justeru ini, Kuala Kubu Bharu mencadangkan agar peruntukan bagi kampung-kampung baru, bagan dan tersusun dinaikkan kepada 10 juta Ringgit setahun baik untuk membalas kasih rakyat berkaum Cina atas sokongan padu kepada kita mahupun untuk membolehkan usaha memodenisasikan malah mengurbanisasikan kampung-kampung yang berdekatan dengan kawasan Bandar.

Tuan Timbalan Speaker, Kuala Kubu Bharu ingin mengakhiri ucapan dengan menyokong bajet 2014 yang dibentangkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor. Sekian. Terima kasih.



Friday 15 November 2013

“青年学习交流会及新古毛之旅”团康活动


我的服务中心、乌雪县议员杨赞喜和加影市议员曾开俊将在11月23日主办“青年学习交流会及新古毛之旅”团康活动,吁请青少年踊跃报名参加。

大马著名信念導師吴进益将前来与青少年见面,并在讲座会的环节主讲,以便青少年有更好的思维迎向未来。

此项活动不但能让两地的青少年进行来往交流,也旨在吸引更多的青少年参与励志活动,同时激发他们的潜能,培育新的一代。

当然,新古毛之旅将让更多人了解新古毛这个小古镇以及它得天獨厚的好山好水。

此项活动获得新古毛及蕉赖九支两个新村委员会的协助,提供场地及便利让活动能够顺利举行。

有兴趣参加的青少年可以联络新古毛州议员服务中心或杨赞喜索取报名表格,联络电话号码是03-60645505。