Wednesday 27 November 2013

Usul Peruntukan Pembangunan 2014


Petang ini, saya mengambil bahagian dalam perbahasan Usul Peruntukan Pembangunan 2014 di Dewan Negeri Selangor. Teks ucapan saya adalah seperti berikut:

Terima kasih Tuan Timbalan Speaker, saya ingin membahas Usul Peruntukan Pembangunan 2014 bermula dengan P12 Jabatan Kerja Raya (JKR). Anggaran Peruntukan Pembangunan 2014 untuk JKR adalah RM121 juta dimana angka ini adalah 2 kali ganda berbanding dengan peruntukan 2013 yang diperolehi iaitu RM59.6 juta. Ini adalah satu anjakan yang besar.


Setelah meneliti setiap pecahan kepala, saya dapati P.K 1 Pelbagai Rancangan butir 01 iaitu Membaikpulih dan Menyelenggara Cerun Seluruh Selangor yang hanya diperuntukan 3 juta. Mengikut Anggaran 5 tahun iaitu tahun 2011-2015 adalah RM30 juta. Jika RM30 juta dibahagikan samarata setiap tahun maka anggaran 2014 sepatutnya RM6 juta. Saya minta penjelasan daripada pihak kerajaan mengenai peruntukan RM3 juta ini iaitu separuh daripada RM6 juta. Ada kemungkinan bahawa kebanyakan cerun-cerun di Selangor telah dikategorikan stabil, selamat dan kukuh dimana tidak akan berlaku tanah runtuh yang merbahayakan orang ramai pada tahun 2014. Walau bagaimana pun, penjelasan daripada pihak kerajaan adalah perlu kerana Selangor mempunyai banyak cerun dan beberapa tempat telah berlaku keruntuhan cerun.

Tuan Speaker, begitu juga butir 03 Memasang Lampu Jalan dan Lampu Isyarat Seluruh Selangor yang hanya diperuntukan RM500,000. Ianya adalah sama seperti membaikpulih dan menyelenggara ceruh seluruh Selangor yang saya sebut tadi dimana jika dibahagikan samarata setiap tahun maka ia patut diperuntukan RM1 juta.

Pemasangan lampu jalan dan lampu isyarat akan meningkatkan tahap keselamatan jalan raya. Peruntukan yang RM500,000 adalah terlalu sedikit. Saya mengambil satu contoh di kawasan DUN saya. Pada bulan Julai yang lalu terdapat 4 kes pecah rumah yang terancang dalam satu malam di Kampung Gate, Kerling. Saya melawat mangsa-mangsa tersebut dan mereka meminta memasang lampu jalan kerana penyamun-penyamun telah sembunyi di tempat gelap berapa hari untuk mengetahui gerak geri penduduk sekitar sebelum menyamun. Malangnya JKR Hulu Selangor memaklumkan tidak ada peruntukan untuk memasang lampu jalan di jalan JKR tersebut. Itu ialah bulan Julai sudah tidak ada peruntukan bagaimana dengan bulan-bulan yang seterusnya? Dengan ini, saya minta penjelasan daripada pihak kerajaan samada peruntukan tersebut mencukupi untuk seluruh selangor sedangkan pemasangan lampu isyarat di satu tempat akan menelan sebanyak RM200,000.

Tuan Speaker, terdapat pelbagai jenis jalan di Selangor seperti jalan PBT, jalan JKR, jalan PLB dan juga no man road dengan izin. Walaupun Selangor maju tetapi masih lagi terdapat jalan-jalan yang dipanggil no man road yang mana PBT, JKR dan PLB menafikan jalan awam tersebut adalah di bawah penyelenggara mereka.

Kalau jalan PBT maka lampu juga adalah tanggungjawab PBT, Jalan JKR maka lampu urusan JKR. Akan tetapi, kalau meminta lampu jalan di jalan PLB dan no man road, pihak mana akan melakukan pemasangan dan seterusnya siapa yang membayar bil elektrik?

Dengan ini saya meminta penjelasan daripada pihak kerajaan samada semua jalan selain daripada lebuhraya dan jalan PBT, pemasangan lampu jalan adalah diuruskan oleh JKR.

Tuan Speaker, saya juga menyentuh P.K 4 iaitu menaiktaraf jalan. Saya amat terkejut di mana Daerah Hulu Selangor hanya diperuntukan RM1 juta untuk menaiktaraf jalan pada keseluruhannya. Jika membandingkan dengan peruntukan diberikan kepada daerah-daerah lain, maka Daerah Hulu Selangor mendapat peruntukan bawah P.K 4 adalah yang paling rendah.

Daerah Hulu Selangor tidak mendapat peruntukan untuk butir-butir lain dalam P.K 4 melainkan butir 07 iaitu menaiktaraf jalan-jalan di seluruh Hulu Selangor yang sebanyak RM1 juta. Anggaran bagi tahun 2011 hingga 2015 adalah RM20 juta tetapi untuk tahun 2014 hanya diperuntukan RM1 juta. Akan tetapi dalam mukasurat yang sama juga iaitu 197, saya dapati butir 39 menaiktaraf jalan-jalan di Daerah Kuala Selangor yang anggaran tahun 2011 hingga 2015 ialah RM5 juta tetapi juga  diperuntukan RM1 juta. Ini bermakna sama-sama diperuntukan RM 1 juta tanpa mengira RM20 juta ataupun RM5 juta yang dirangka. Walau bagaimanapun, pada masa yang sama dearah Kuala Selangor diperuntukan RM22 juta untuk menaiktaraf jalan-jalan yang disenaraikan dalam butir 01 dan butir 02. Perbezaannya adalah agak besar dimana Daerah Hulu Selangor selain daripada RM1 juta ini, butir-butir lain di bawah P.K 4 ini tidak diperuntukan satu sen pun. Saya minta penjelasan daripada pihak kerajaan apakah faktor yang diambilkira untuk menentukan peruntukan menaiktaraf jalan untuk setiap daerah.

Saya ingin merakamkan rasa tidak puashati disini kerana daripada peruntukan JKR telah bertambah daripada RM59.6 juta ke RM121 juta tahun depan, Daerah Hulu Selangor hanya mendapat RM1 juta sahaja. Saya berharap pihak kerajaan janganlah pinggirkan kawasan luar Bandar ini. Jika bajet berimbang dibentangkan di Dewan yang mulia ini maka peruntukan pembangunan juga haruslah dinampak berimbang di antara daerah-daerah.

Selain daripada itu, saya ingin menyentuh P01 Pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan di mukasurat 59 iatu P.K 1 Perkhidmatan Masyarakat Butir 02 Rumah Ibadat Selain Islam. Tahun ini peruntukan tersebut habis dengan cepatnya. Saya mendapat aduan sekurang-kurangnya daripada 3 persatuan-persatuan penganut agama bahawa terdapat pengumuman peruntukan kepada rumah ibadat mereka tetapi tidak ditunaikan dengan cek selepas itu.

Saya minta penjelasan daripada pihak kerajaan apakah langkah-langkah yang diambil untuk mengatasi masalah ini. Peruntukan tersebut memang disambut baik daripada kalangan penganut-penganut bukan Islam akan tetapi pihak kerajaan perlu mempunyai sistem pengurusan yang baik dan cekap supaya imej cemerlang Kerajaan Selangor tidak terjejas.  


Itu sahaja perbahasan saya, saya menyokong Usul Pembangunan ini. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment