Thursday 21 November 2013

Ucapan Perbahasan Belanjawan Kerajaan Negeri Selangor Tahun 2014


Ucapan Perbahasan Belanjawan Kerajaan Negeri Selangor Tahun 2014 Peringkat Dasar oleh ADN Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong pada 21 November 2013 (Khamis) di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam:

Terima kasih kepada Tuan Timbalan Speaker kerana memberi peluang kepada Kuala Kubu Bharu untuk turut serta dalam perbahasan ucapan Bajet Negeri Selangor tahun 2014 yang dibentangkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar.

Tuan Timbalan Speaker, Kuala Kubu Bharu ingin merakamkan tahniah dan syabas kepada YAB Dato’ Menteri Besar kerana telah berjaya sekali lagi merangkakan satu bajet berimbang yang bukan sahaja dapat meneruskan semua rancangan yang membawa manfaat dan kebajikan kepada rakyat Negeri Selangor malahan berjaya terus menambah lagi jumlah perbelanjaan serta pendapatan keseluruhannya dalam bajet menjadikannya memcecah 1.85 billion Ringgit yang merupakan bajet tertinggi dalam sejarah Negeri Selangor. Ini satu pencapaian yang luar biasa dan tidak mungkin dan tidak boleh dilakukan oleh sebuah Kerajaan melainkan kerajaan yang bersih, amanah, cekap dan telus.

Tuan Timbalan Speaker, Kuala Kubu Bharu menyanjung dan menyambut baik penggunaan Rizab Negeri sebanyak 430 juta Ringgit untuk pembiayaan pembangunan yang melibatkan 6 inisiatif. Kuala Kubu Bharu berpendapat rancangan ini adalah tepat dan sesuai pada masanya dan pastinya akan membawa lebih banyak kebajikan dan kesejahteraan kepada rakyat jelata.

Kuala Kubu Bharu amat bersetuju dengan konsep YAB Dato’ Menteri Besar bahawa penggunaan simpanan negeri ini perlu berhati-hati dan mestilah digunakan untuk program-program yang produktif terutamanya perbelanjaan pembangunan yang bakal mendatangkan hasil gandaan tinggi untuk tempoh lama dan membawa impak positif kepada rakyat dan negeri keseluruhannya.

Setelah mencampurkan bajet asal bersama rizab negeri yang akan digunakan, maka peruntukan bagi tahun 2014 akan mencecah 2.28 billion Ringgit dan menjadikan pecahan 46.3 peratus untuk perbelanjaan pembangunan dan 53.7 peratus untuk perbelanjaan mengurus. Kuala Kubu Bharu nampak pecahan ini jauh lebih baik dan pasti akan mendapat lebih banyak pujian daripada kalangan rakyat biasa mahupun cendekiawan serta pakar-pakar ekonomi jika dibanding dengan pecahan 18:82 seperti yang dibuat pada bajet oleh Kerajaan Pusat sebelum ini di Dewan Rakyat.

Selain daripada itu, Kuala Kubu Bharu juga ingin menyentuh tentang seruan YAB Dato’ Menteri Besar dimana Kerajaan Persekutuan perlu bersikap lebih professional, telus dan bertanggungjawab dalam mengagihkan kutipan hasil cukai secara adil dan setimpal dengan sumbangan negeri. Seperti yang diketahui semua, sejak 2008 lagi, Kerajaan Pusat telah memberhentikan penyaluran peruntukan kewangan kepada Kerajaan Negeri Selangor tetapi diperuntukkan melalui Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICU). Perbuatan sebegini bukan hanya satu pengkhianatan kepada rakyat Selangor malah ianya menunjukkan betapa sombongnya Barisan Nasional menafikan system demokrasi di Negara ini dan mengabaikan hak rakyat negeri Selangor demi kepentingan politik mereka.

Kuala Kubu Bharu ingin mengambil kesempatan ini untuk mendesak Kerajaan Pusat untuk membubarkan unit ICU ini dan kembali ke pangkuan sebenar yang mana menghormati hak pembayar cukai yang merupakan boss(dengan izin) sebenar dengan menyalurkan peruntukan tersebut terus kepada Pentadbiran Negeri yang dipilih oleh Rakyat. Dengan itu juga, Kuala Kubu Bharu juga mengecam sekeras-kerasnya penubuhan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan(JKKKP) yang sememangnya telah ditolak oleh Kerajaan Negeri serta Rakyat Negeri Selangor sejak 2008 lagi.

Sesungguhnya penubuhan JKKKP demikian telah melanggari peruntukan dalam Senarai 2 - Senarai Negeri dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu jelas termaktubnya kuasa Kerajaan Negeri dalam hal pelantikan JKKK serta pihak-pihak berkuasa tempatan lain, lantaran cadangan untuk menubuhkan Jawantankuasa Perwakilan Penduduk di semua Pihak Berkuasa Tempatan oleh Kerajaan Persekutuan baru-baru ini adalah juga bercanggah dari segi undang-undang. Maka Kuala Kubu Bharu ingin menyeru agar Kerajaan Negeri mengambil tindakan yang lebih agresif dan bijak untuk menangani masalah yang disengajakan ini dengan membawa isu ini ke mahkamah untuk penafsiran Perlembagaan Persekutuan tentang maksud sebenar Pembahagian Kuasa atau separation of power, dengan izin.

Tuan Timbalan Speaker, Kuala Kubu Bharu amat setuju dengan pendapat YAB Dato' Menteri Besar bahawa Kerajaan Persekutuan tiada rasa rendah diri untuk mengakui hakikat bahawa penswastaan industri air dan penyerahan konsesi kepada empat syarikat terpilih semasa Selangor di bawah pemerintahan Barisan Nasional merupakan suatu penganiayaan dan pengkhianatan terhadap pengguna air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya khususnya rakyat Selangor.

Akibat daripada penswastaan tersebut, banyak tempat-tempat menghadapi masalah gangguan bekalan air dan tiada ada program penggantian paip baru dijalankan bagi paip perhubungan yang telah uzur dianggarkan berusia lebih daripada 50 tahun dan berkarat. Sebaliknya, Syarikat konsesi ini menggunakan program Pengawalan Tekanan yang pada namanya mengurangkan masalah kekerapan paip bocor dan pecah yang tinggi akan tetapi penduduk menderita kerana tidak mendapat bekalan air yang secukupnya untuk kehidupan dan kerja-kerja harian mereka.

Kuala Kubu Bharu memohon agar Kerajaan Negeri mengambil berat tentang masalah ini dan mengambil langkah segera untuk menyemak dan mengenalpasti kawasan- kawasan khususnya kawasan luar bandar di Selangor yang menghadapi masalah sedemikian agar beban rakyat yang sengsara disebabkan tekanan air rendah ini dapat diatasi dalam masa yang terdekat ini.

Tuan Timbalan Speaker, dalam pengalaman Kuala Kubu Bharu sebagai seorang Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan selama lima tahun sebelum ini, saya amat bersetuju dengan usaha Kerajaan Negeri untuk melaksanakan projek “Pejabat kepada Rakyat” kerana selama ini rakyat sentiasa menghadapi pelbagai masalah apabila berurusan di pejabat-pejabat Kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan, Negeri mahupun Tempatan. Sungguhpun terdapat peningkatan prestasi serta mutu perkhidmatan oleh kakitangan awam di Negeri Selangor selepas 2008 tetapi oleh kerana permintaan atau harapan yang begitu tinggi di kalangan rakyat terhadap Pakatan Rakyat, maka prestasi penjawat awam turut menjadi garis pengukur orang awam ke atas pencapaian Kerajaan. Maka, cadangan ini merupakan satu pergerakan untuk mereformasikan sistem penyampaian awam untuk memanfaatkan dan menyenangkan urusan harian rakyat dengan Kerajaan Negeri.

Dengan ini, Kuala Kubu Bharu ingin meminta supaya Kerajaan Negeri menetapkan satu peraturan kepada semua penjawat awam agar lebih mendekati rakyat dan Kuala Kubu Bharu ingin mengingatkan semula kepada semua, kita pernah mencadangkan pembukaan kaunter-kaunter servis Kerajaan pada hari minggu bagi memudahkan rakyat yang bekerja pada hari-hari biasa yang biasanya menghadapi masalah berurusan dengan Kerajaan pada hari bekerja terutamanya urusan-urusan yang tidak dapat diselesaikan melalui talian dan terpaksa bersemuka dengan kakitangan awam kita.

Satu lagi perkara yang Kuala Kubu Bharu rasa harus diberi penekanan oleh Kerajaan negeri iaitu pelancongan agro-tourism serta eco-tourism yang menjadi tumpuan di seluruh dunia kebelakangan ini. Selari dengan Tahun Melawat Malaysia 2014, Kuala Kubu Bharu mohon mencadangkan penubuhan satu jawatankuasa khas bagi merangka dan mengkaji rancangan-rancangan yang boleh kita lakukan dalam bidang agro dan eco-tourism ini di peringkat PBT dan PTD termasuk Daerah Hulu Selangor dan antara 5.2 juta yang diperuntukkan untuk sektor pelancongan dapat dibahagikan sekurang-kurangnya 3 juta untuk bidang ini.

Kuala Kubu Bharu juga ingin menyeru pihak Tourism Selangor Sdn Bhd (TSSB) serta EXCO pelancongan mengambil inisiatif dan bertindak dengan lebih proaktif terutamaya dalam membantu membangun dan mempromosikan industri pelancongan di Daerah Hulu Selangor khususnya.

Tuan Timbalan Speaker, sungguhpun Kuala Kubu Bahru merupakan satu kawasan DUN yang agak mendalam dan menerima pembangunan yang kurang memesat jika dibandingkan dengan kawasan-kawasan lain. Tetapi Selangor sebagai sebuah Negeri yang paling maju dan pesat pembangunannya, maka Kuala Kubu Bharu menyokong penuh inisiatif pihak Kerajaan untuk menubuhkan Majlis Pengangkutan Awam Selangor (Selangor Public Transport Council) dan pemberian rebat serta insentif kepada kakitangan kerajaan yang menggunakan pengangkutan awam ke bangunan SUK.

Walau bagaimanapun, Kuala Kubu Bharu ingin mengingatkan kepada Kerajaan Negeri, bukanlah hanya kakitangan awam yang menggunakan kenderaan persendirian sahaja yang akan menyebabkan kesesakan lalulintas malah orang awam yang terpaksa menggunakan kenderaan sendiri untuk ke bangunan-bangunan kerajaanlah yang menjadi majoriti pengguna jalanraya oleh kerana sistem pengangkutan awam yang kurang efisien dan menyeluruh. Maka Kuala Kubu Bharu berharap pihak Kerajaan akan mengkaji juga sama ada memberikan insentif yang sama seperti di atas kepada orang awam yang menggunakan pengangkutan awam ke bangunan-bangunan kerajaan sebelum sistem pengangkutan awam kita dapati dinaiktarafkan.

Tuan Timbalan Speaker, Kuala Kubu Bharu berasa amat syukur kerana walaupun terdapat kegagalan pihak Kerajaan Persekutuan dalam memberi kedudukan yang samarata bagi jurusan-jurusan berlainan di Negara ini, Kerajaan Pakatan Rakyat berjaya menetapkan pemberian peruntukan secara berstruktur kepada Sekolah-sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, Sekolah-sekolah agama rakyat, Sekolah-sekolah Menengah Persendirian Cina sebanyak 16 juta setiap tahun sejak 2008, walau bagaimanapun, Kuala Kubu Bharu berasa peruntukan berupa kewangan ini hanyalah membantu sedikit sebanyak dalam penambahbaikan serta penaiktarafan prasarana sekolah-sekolah sedia ada tetapi kurang menekan kepada mutu pengajaran serta pembelajaran pelbagai jurusan sekolah ini.

Kuala Kubu Bharu ingin menegas di sini bahawa pendidikan dan pembangunan insan merupakan unsur paling penting dan intipati sebuah Negara mahupun negeri untuk menjadi kuat dan maju, maka Kuala Kubu Bharu berharap EXCO yang menjaga hal-ehwal pendidikan mengambil langkah untuk meningkatkan mutu pendidikan negeri Selangor bagi semua jurusan dan peringkat dan bukanlah hanya tertumpu kepada pendidikan agama dan sekolah-sekolah agama rakyat, Inspens dan Unisel sahaja. Tambahan lagi Kuala Kubu Bharu berharap tambahan 50 juta Ringgit daripada rizab Negeri yang diumumkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar untuk pembinaan beberapa buah sekolah itu perlu dilaksanakan secara terbuka dan mengikut keperluan dan tidak ditumpukan kepada sesejenis sekolah sahaja. Untuk semua ini, jika perlu dan memadai, Kuala Kubu Bharu syorkan agar EXCO pendidikan melantik pakar atau pembantu EXCO dari kaum dan agama lain yang berlatarbelakang pendidikan untuk membantu beliau.

Selain daripada itu, saya memberikan penghargaan yang amat tinggi kepada YAB Dato’ Menteri Besar kerana telah sekali lagi memecah rekod dengan membudayakan pentadbiran Negeri dengan memastikan kedudukan kaum wanita dalam barisan exconya. Ini tidak pernah berlaku pada sejarah Malaysia mahupun Selangor apabila empat orang exco wanita disenaraikan dalam barisan pimpinan tertinggi negeri, tambah lagi dengan Puan Speaker Wanita pertama di Dewan Negeri yang pertama dalam sejarah dan jika dikira Yang Berhormat Penasihat Undang-
undang Negeri kita yang juga seorang wanita, saya rasa ini satu pencapaian yang bertaraf dunia dan telah disanjung dan mendapat pujian di seluruh dunia.

Pengiktirafan ini perlu diserap dan dipelajari oleh semua pihak. Kuala Kubu Bharu juga berasa terharu dan kagum apabila mendengar pengumuman YAB Dato’ Menteri Besar bahawa selain 1.3 juta Ringgit yang diperuntukkan untuk Agenda Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, tambahan 30 juta Ringgit sebagai perbelanjaan pembangunan bagi 2014 khusus untuk melaksanakan program Menjana dan Meningkatkan Pendapatan Wanita sebagai kesinambungan bagi Agenda Pemberdayaan Wanita.

Walau bagaimanapun, Kuala Kubu Bharu berasa kita boleh lagi berganjak lebih ke depan dengan cadangan dalam manifesto dan Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat 2014 di Parlimen iaitu mewujudkan Skim Caruman Wanita peingkat Negeri dan menetapkan suami-suami mereka untuk mencarum dalam skim ini dengan tambahan sumbangan daripada pihak Kerajaan. Saya yakin dan percaya dengan skim sebegini, bukan sahaja pengiktirafan tetapi ia dapat menjana dan menggalakkan mereka terus menyumbang kepada pembangunan negeri.

Akhir sekali, Kuala Kubu Bharu ingin mengambil peluang keemasan ini untuk merakamkan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh pengundi di Negeri Selangor amnya dan di DUN Kuala Kubu Bahru khasnya yang memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat untuk membentuk Kerajaan dan menjadi wakil rakyat mereka.

Perlu Kuala Kubu Bharu tekankan disini, selain rakyat dari komuniti Melayu, India, Orang Asal, kaum-kaum minoriti yang lain, rakyat dari masyarakat Cina telah memberikan sokongan yang paling kuat iaitu hampir 90% daripada kumpulan ini yang mengudi kita, dan antara mereka ini, kebanyakannya mereka bukan dan tidak bukan sekurang-kurangnya berkaitan atau menetap di dalam 77 kampung-kampung baru cina, bagan dan tersusun di seluruh negeri ini.

Sejak 2008 lagi, kerajaan telah memperuntukkan 5 juta Ringgit setiap tahun untuk kampung-kampung ini bagi menaiktaraf serta membangunkan kemudahan-kemudahan asasnya. Walau bagaimanapun, peruntukan sejumlah kecil ini hanyalah cukup untuk projek-projek kecil seperti menaiktaraf longkang-longkang dan jalan tetapi ia amat tidak mencukupi apabila sesebuah kampung memerlukan kemudahan-kemudahan seperti dewan serbaguna ataupun jambatan, apatah lagi jika ianya diperlukan selepas sesuatu bencana alam berlaku.

Sebagai contoh, telah berlakunya suatu insiden banjir di Kampung Baru Gurney, Hulu Yam Bharu pada tahun 2011 dan jambatan gantung yang menyeberangi sungai dalam kampung tersebut yang menyambungkan kedua-dua tebing sungai telah mengalami keruntuhan dan maka memutuskan jalan pintas bagi penduduk kampung untuk ke sebelah sungai yang lain, tetapi disebabkan peruntukan yang kurang, EXCO pembangunan kampung baru hanya mampu untuk meluluskan satu peruntukan yang kecil bagi membaikpulih jambatan tersebut tetapi tidak lama kemudian, oleh kerana aliran air sungai teras terutamanya pada musim hujan, maka jambatan tersebut mengalami kerosakan kali kedua, maka EXCO tersebut setelah mendengar nasihat daripada pihak Pejabat Daerah, lalu mencadangkan jambatan tersebut dibina semula oleh Jabatan Pengairan dan Saliran tetapi hingga kini rakyat masih menunggu.

Satu lagi contoh ialah jambatan yang runtuh di Kampung Baru Tanjung Sepat Indah kawasan DUN Tanjung Sepat selepas sahaja PRU 13 tempoh hari, hingga kini pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia masih belum bersetuju untuk membina semula jambatan itu dan pihak EXCO berkenaan juga tidak berupaya berbuat demikian dengan bajet yang sedikit. Justeru ini, Kuala Kubu Bharu mencadangkan agar peruntukan bagi kampung-kampung baru, bagan dan tersusun dinaikkan kepada 10 juta Ringgit setahun baik untuk membalas kasih rakyat berkaum Cina atas sokongan padu kepada kita mahupun untuk membolehkan usaha memodenisasikan malah mengurbanisasikan kampung-kampung yang berdekatan dengan kawasan Bandar.

Tuan Timbalan Speaker, Kuala Kubu Bharu ingin mengakhiri ucapan dengan menyokong bajet 2014 yang dibentangkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor. Sekian. Terima kasih.



No comments:

Post a Comment