Wednesday 30 March 2016

Ucapan Ahli Dewan Negeri Selangor Kawasan Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong di Dewan Negeri Selangor pada 30hb Mac 2016


Ucapan Ahli Dewan Negeri Selangor Kawasan Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong semasa membahas Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih Serta Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan DYMM Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada hari Rabu, 30hb Mac 2016:

Terima kasih Tuan Timbalan Speaker. Saya amat menyambut baik Titah Ucapan DYMM Sultan Selangor yang mahu Negeri Selangor menjadi salah sebuah Smart State yang terkemuka di dunia.

Saya ingin menarik perhatian dewan yang mulia ini mengenai perkembangan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) yang mempunyai 96 buah perpustakaan di seluruh Negeri Selangor. Perpustakaan negeri iaitu Perpustakaan Raja Tun Uda dan ibu pejabat PPAS yang bertempat di Seksyen 13 Shah Alam adalah hadiah daripada DYMM Sulatan Selangor kepada rakyat Selangor sempena pengisytiharan “Selangor Maju 2005”.

Tuan Timbalan Speaker, PPAS telah melalui proses penjenamaan semula sejak tahun 2009 bermula dengan Perpustakaan Raja Tun Uda. Sehingga tahun 2015, sebanyak 21 buah perpustakaan berkonsep penjenamaan semula telah dibangunkan dan dinaiktaraf.

Proses penjenamaan semula PPAS yang dilancarkan telah membuahkan hasil dari segi peningkatan jumlah pengunjung, keahlian, pinjaman buku, dan peserta program dan aktiviti perpustakaan yang dijalankan. Jumlah pengunjung Perpustakaan Raja Tun Uda pada tahun 2014 dan 2015 ialah 1.51 juta orang.

Perpustakaan Raja Tun Uda sedang membina kompleks parkir bertingkat yang bakal menyediakan 600 lot parkir bagi menampung jumlah pengunjung yang begitu ramai. Pembinaan tersebut akan mengambil masa selama 2 tahun untuk siap dan proses pembinaan ini menjejaskan ruang parkir yang sedia ada, dan turut memberi kesan terhadap jumlah pengunjung dan pengguna perpustakaan.

Tuan Timbalan speaker, perpustakaan ini terletak di lokasi yang sukar diakses melalui sistem pengangkutan awam. Oleh itu, saya memohon bas percuma Smart Selangor mengkaji semula laluannya di bandaraya Shah Alam supaya laluannya termasuk bersinggah di perpustakaan tersebut. Dengan adanya perkhidmatan bas percuma ini maka orang ramai tidak akan menghadapi kesulitan pengangkutan untuk mendapatkan manfaat dari kemudahan perpustakaan. Langkah ini sekaligus dapat memastikan juga jumlah pengunjung perpustakaan sentiasa meningkat dari semasa ke semasa.

Kita tidak menafikan peranan perpustakaan dan kebergantungan masyarakat terhadap koleksi di perpustakaan telah berubah. Kita telah berubah dari era di mana maklumat didapati amat kurang tetapi bernilai hingga pada masa kini di mana maklumat amat luas dan mudah diperolehi dan diberi dengan percuma. Ramai di antara kita menggunakan google untuk mencari maklumat pada hari ini. Walau bagaimana pun, sejarah telah menunjukkan perpustakaan masih memainkan peranan yang penting dalam masyarakat.


DYMM Sultan Selangor pernah mengajak rakyat memperkasakan fungsi perpustakaan dan beberapa kali sudi mencemar duli menyerahkan buku dan komputer  yang disumbangkan oleh badan berkanun dan korporat.

Tuan Timbalan Speaker, Negara yang mempunyai perpustakaan yang cemerlang adalah negara yang maju. Perpustakaan Raja Tun Uda adalah sebuah perpustakaan yang terbaik di Malaysia (kalau bukan terbaik juga adalah kedua terbaik). Ia bukan sahaja tempat menyimpan koleksi buku rujukan, digital, risalah, laporan, keratan akbar, akta kerajaan dan sebagainya tetapi juga mempunyai komputer, teater XD, teater Mini 3D dan pelbagai kemudahan yang menarik disediakan di bahagian kanak-kanak. Dengan ini Ahli-ahli Yang Berhormat di dewan yang mulia ini yang mempunyai kemampuan boleh menderma buku atau wang kepada perpustakaan tersebut bagi menjadikannya sebagai mercu tanda gedung ilmu dan terkenal kerana mempunyai buku untuk semua lapisan masyarakat.

Selain daripada Perpustakaan Raja Tun Uda, PPAS mempunyai 95 buah perpustakaan yang mendekati tempat tinggal rakyat Selangor. Perpustakaan komuniti juga semakin digemari ramai. Dengan ini saya memohon Kerajaan Negeri mengkaji semula dasar supaya membenarkan syarikat swasta memajukan tapak tanah perpustakaan yang diserahkan oleh pemaju dan kemudian menyerah sebahagian bangunan yang telah siap kepada PPAS sebagai perpustakaan komuniti. Dasar sedemikian diperlukan memandangkan PPAS menghadapi kekangan kewangan untuk membina perpustakaan di tapak kosong.  Contoh yang paling jelas ialah sekeping tanah perpustakaan di Bandar Mahkota Cheras Kajang telah dibiarkan begitu sahaja selama 10 tahun.

Dengan adanya sokongan penuh daripada Kerajaan Negeri, maka saya yakin PPAS akan bergerak seiring dengan gagasan Negeri Selangor menuju Smart State.


Sekian, saya menjunjung kasih titah ucapan DYMM Sultan Selangor.

Saturday 12 March 2016

Amat Terkejut Dengan Kenyataan Akhbar MDHS Berhubung Isu Pelaksanaan Sistem Parkir Berbayar


Kenyataan Media ADUN Kuala Kubu Bharu Lee Kee Hiong di Kuala Kubu Bharu pada 13 Mac 2016:

Amat Terkejut Dengan Kenyataan Akhbar MDHS Berhubung Isu Pelaksanaan Sistem Parkir Berbayar


Saya amat terkejut dengan kenyataan akhbar MDHS berhubung isu pelaksanaan sistem parkir berbayar yang dikeluarkan pada 11 Mac 2016 yang mengatakan bahawa MDHS mungkin terpaksa membayar gantirugi kepada syarikat konsesi bernilai jutaan ringgit dan apabila ini berlaku, pihak syarikat akan mendapat keuntungan besar tanpa melaksanakan apa-apa perkhidmatan sekiranya sehingga tamat tempoh perjanjian MDHS masih belum melaksanakan sistem letak kereta berbayar.

Kenyataan ini menimbulkan tiga persoalan besar: 

1) Adakah perjanjian yang ditandatangani oleh MDHS dengan Syarikat Godell Parking Sdn. Bhd. pada 05/08/1999 bagi tempoh 20 tahun itu berat sebelah dan tidak dilakukan demi kepentingan awam.

2) Adakah perjanjian tersebut sudah menjadi lombong emas kepada syarikat konsesi di mana isi kandungan perjanjian tersebut mewajibkan MDHS membayar pampasan dalam jumlah yang tidak masuk akal jikalau klausa perjanjian tidak dipenuhi.

3) Adakah tempoh konsesi selama 20 tahun itu dalam perjanjian tersebut berkuatkuasa pada tarikh pelaksanaan dan bukannya tarikh perjanjian ditandatangani, memandangkan MDHS tidak melaksanakan sistem letak kereta berbayar itu pada 17 tahun yang lepas. Adakah ini bermaksud sekiranya ia dilaksanakan pada tahun ini maka ianya hanya akan tamat pada tahun 2036?

Persoalan-persoalan ini perlu mendapat penerangan yang jelas dan kita berhak mengetahui bagaimana perjanjian konsesi tersebut memangsakan MDHS dan duit poket rakyat Selangor.

Dengan demikian perjanjian konsesi tersebut tidak harus dirahsiakan daripada umum dan saya akan menulis surat kepada Dato’ Menteri Besar Selangor memohon agar Kerajaan Selangor membuat pengelasan semula (declassification) atau melaksanakan pengklasifikasian semula terhadap status perjanjian konsesi agar perjanjian tersebut dan dokumen perjanjian tersebut tidak lagi terus tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972, seterusnya memberi akses kepada awam untuk mengetahui dan membuat penilaian terhadap keseluruhan isi kandungan perjanjian konsesi yang telah dipersetujui antara pihak MDHS dan pemegang konsesi.

Dengan mengkelaskan semula dokumen tersebut, maka orang ramai akan dapat meneliti semua aspek perjanjian konsesi tersebut dan memberi pandangan atau cadangan yang terbaik bagi mengelakkan MDHS mengalami kerugian yang besar.


Kegawatan ekonomi hari ini menekan kehidupan harian orang luar bandar. Saya menggesa MDHS menangguhkan segala pelaksanaan sistem letak kereta berbayar terlebih dahulu sehingga terdapat satu opsyen yang lebih baik dan tidak membebankan rakyat.

Penangguhan ini juga tidak bermakna MDHS tidak boleh mengambil tindakan terhadap sebarang salahguna tempat letak kereta. Penguatkuasa MDHS boleh mengambil tindakan terhadap sebarang kesalahan halangan tempat awam pada bila-bila masa bagi mengatasi semua masalah yang timbul dari isu parkir.

Sekiranya MDHS merasa keberatan menampung kos perkhidmatan pembersihan di kawasan komersial ini sebanyak RM 146,100.00 sebulan iaitu RM1.68 juta setahun yang merupakan 2% belanjawan MDHS maka saya bersedia menyokong MDHS mendapatkan bantuan daripada Kerajaan Selangor bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan kawasan komersial memandangkan kebersihan awam merupakan agenda utama Kerajaan Selangor.

Pelaksanaan sistem letak kereta berbayar pasti akan menimbulkan kemarahan penduduk Hulu Selangor terhadap Kerajaan Selangor. Mereka sedang mengelut dengan kegawatan ekonomi selepas GST dilaksanakan. Saya difahamkan terdapat lebih daripada 2000 penduduk sekitar Kuala Kubu Bharu telah membuat bantahan terhadap pelaksanaan sistem letak kereta berbayar di pekan Kuala Kubu Bharu. Adalah hasrat saya MDHS menjadi sebuah PBT yang peduli rakyat, mengambil kira pandangan ramai dan lebih mesra apabila hendak melaksanakan sesuatu dasar baru.

Lee Kee Hiong