Thursday 30 March 2017

Ucapan Ahli Dewan Negeri Selangor Kawasan Kuala Kubu Bharu di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 30hb Mac 2017

Ucapan Ahli Dewan Negeri Selangor Kawasan Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong semasa membahas Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih Serta Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan DYMM Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada hari Khamis, 30hb Mac 2017:

Terima kasih Tuan Timbalan Speaker. Titah Ucapan DYMM Sultan Selangor telah memberikan gambaran yang jelas mengenai ekonomi Selangor yang terus berkembang. KDNK per kapita Selangor telah meningkat kepada RM42,611 dan melebihi paras nasional. Pendapatan isi rumah juga telah meningkat dan kini Selangor menduduki ranking ke 3 selepas Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Titah Ucapan DYMM Sultan Selangor juga menyebut komitmen Kerajaan Negeri yang bersepadu dalam menangani masalah kemiskinan rakyat telah berjaya dan mencatit insiden kemiskinan 0.2% sahaja berbanding dengan Malaysia pada kadar 0.6%.

Saya ingin menarik perhatian dewan yang mulia ini mengenai warga Felda yang berada di Selangor. Adakah warga Felda di Selangor telah keluar dari belenggu kemiskinan? Ataupun mereka seperti warga Felda di negeri lain sedang terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi dan keberhutangan yang tinggi?

Kawasan Felda di Selangor tertumpu di daerah Hulu Selangor iaitu Felda Soeharto, Felda Gedangsa, Felda Sg Tengi dan Felda Sg Tengi Selatan. Warga Felda di Selangor juga memegang saham FGV yang sekarang harga pasaran adalah lebih kurang RM2 sesaham.

Saya masih ingat pada tahun 2012 apabila FGV disenaraikan di bursa tempatan dengan tawaran awal awam (IPO) pada harga RM4.55 sesaham yang mendapat liputan meluas setelah dikatakan sebagai penyenaraian kedua terbesar dunia selepas Facebook. Kini apa yang berlaku kepada FGV? Saya difahamkan warga Felda di Selangor juga mendapat 800 unit saham FGV tapi bukan diberikan secara percuma pada waktu itu.

Saya tidak berhasrat menyeru Umno BN mencari inisiatif bagi menaikkan nilai seunit saham FGV. Walau bagaimanapun, saya ingin memaklumkan kepada dewan yang mulia ini bahawa Pakatan Harapan ada menawarkan resolusi bagi menyelesaikan kemelut ini.

Pada Konvensyen Warga Felda 2017 yang berlangsung di Shah Alam baru-baru ini, lima resolusi telah dibentangkan. Resolusi pertama adalah dengan mengukuhkan pengurusan dan tatakelola Felda. Suruhanjaya Siasatan Diraja perlu ditubuhkan untuk membuat siasatan menyeluruh mengenai kerugian dan penyelewengan berbillion ringgit. Selain daripada itu, semua transaksi yang tidak telus dan melibatkan kepentingan pihak tertentu seperti pelaburan dalam Eagle High Plantations dan pinjaman wang dari Putra Star Investments perlu dibatalkan.

Resolusi kedua, meringankan beban kos sara hidup dan hutang warga Felda. Wang sara hidup setiap peneroka perlu ditingkatkan sehingga RM2,000 bagi menampung kos tanaman sebelum kelapa sawit mengeluarkan hasil. Setelah kelapa sawit membuah hasil dari 7 ke 15 tahun, wang sara hidup ini boleh dibayar semula dengan potongan minima RM800 sebulan sehingga selesai tanpa faedah.

Resolusi ketiga, mewujudkan mekanisme untuk berkongsi tanah warisan. Ini adalah kerana ramai peneroka telah meninggal dunia tanpa mendaftar bagi urusan pemindahan hak milik. Malahan pembahagian tanah akan menjadikan setiap sebidang tanah terlalu kecil untuk menjana nilai komersial.

Resolusi keempat pula membangunkan bandar baru Felda di seluruh negara dan kelima menubuhkan Universiti Felda bagi meningkatkan tahap pendidikan generasi muda Felda.

Jelas bahawa resolusi-resolusi ini mengutamakan kebajikan warga Felda agar kehidupan mereka lebih makmur, berjaya dan berdikari.

Tuan Timbalan Speaker, saya juga difahamkan Kerajaan Selangor telah bermula menangani masalah perumahan untuk generasi muda Felda. Mengikut laporan media pada April 2016, Kerajaan Selangor telah mengumumkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan membina 136 unit rumah berkembar di Felda Sg Tengi Selatan. Kos projek perumahan ini adalah RM20 juta dan Kerajaan Selangor menanggung kos infrastruktur sebanyak RM7.6 juta.

Saya yakin projek perumahan ini bukan hanya memacak papan tanda sahaja tetapi merupakan sebahagian dasar pendemokrasian pemilikan rumah Kerajaan Selangor bagi menjamin generasi muda Felda memiliki sebuah rumah yang mampu dimiliki dan berkualiti. Dengan ini, saya berharap Kerajaan Negeri memantau kemajuan perumahan ini secara berkala untuk memasti warga Felda dapat memiliki rumah dalam tempoh yang ditetapkan.

Tuan Timbalan Speaker, Saya ingin membangkitkan isu Rumah Ibadat Selain Islam (RISI). Kerajaan Negeri telah memperuntukan RM6 juta setiap tahun untuk pembangunan dan aktiviti keagamaan RISI. Kerajaan Negeri juga mewartakan tanah yang telah lama digunakan sebagai RISI.

Apa yang menjadi isu sekarang ialah pembinaan RISI yang baru di kawasan perumahan terancang. Sepatutnya setiap tapak cadangan pemajuan perlulah menyediakan tapak RISI mengikut piawaian yang telah ditetapkan oleh pihak Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor, akan tetapi saya mendapati tapak RISI di kawasan perumahan baru adalah sangat kurang. Adakah kemungkinan tapak RISI ditukar kepada kegunaan lain walaupun pelan Kebenaran Merancang telah meluluskannya sebagai rizab untuk RISI? Saya harap Kerajaan Selangor boleh memberikan perhatian kepada isu ini.

Saya tertarik dengan perbahasan YB Balakong dan YB Kampung Tunku semalam yang menyebut Kerajaan Selangor tidak memproseskan permohonan daripada Lembaga Pelabuhan Klang menyebabkan premium tidak dipungut. Saya difahamkan Kerajaan Selangor terpaksa menangguhkan perkara tersebut kerana mahu mempertahankan pendirian Negeri.

Apa yang berlaku adalah Menteri Pengangkutan perlu melantik wakil Kerajaan Negeri ke dalam Lembaga Pelabuhan Klang dan Kerajaan telah pun mencalonkan nama 2 orang ahli EXCO untuk mewakili Kerajaan Selangor sejak tahun 2014. Tapi Menteri Pengangkutan enggan menerima calon Kerajaan Selangor dengan alasan tidak ingin melantik orang politik ke dalam Lembaga Pelabuhan Klang. Alasan ini amat tidak berasas.

Pertama, Ahli EXCO adalah wakil Kerajaan Selangor. Kedua, sekiranya ahli EXCO dianggap sebagai ahli politik dan tidak boleh dilantik ke dalam Lembaga Pelabuhan Klang, mengapa selama berpuluh tahun yang lalu jawatan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang adalah disandang oleh pemimpin MCA dan bukan itu sahaja, malah Pengerusi MCA Bahagian Klang dan Kapar merupakan ahli Lembaga Pelabuhan Klang seolah-olah itu adalah kewajiban.

Kerajaan Persekutuan mesti menghormati keputusan Kerajaan Selangor mengenai semua urusan perlantikan wakil negeri ke dalam agensi-agensi Persekutuan. Ini adalah prinsip yang harus dihormati. Hubungan antara dua kerajaan hendaklah dihormati. Oleh yang demikian saya menyokong dan mendukung pendirian Kerajaan Negeri mempertahankan martabat Kerajaan Selangor dalam mengendalikan urusan dengan pihak Kerajaan Persekutuan.

Saya juga menyeru Menteri Pengangkutan menghentikan cara mengendalikan urusan Kerajaan secara tidak professional dan segera menerima pencalonan Kerajaan Negeri dalam perlantikan ahli Lembaga Pelabuhan Klang.

Sekian, saya menjunjung kasih titah ucapan DYMM Sultan Selangor.