Ucapan Ahli Dewan Negeri Selangor Kawasan Kuala Kubu Bharu, Lee
Kee Hiong semasa membahas Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih Serta Menjunjung
Kasih Ke Atas Titah Ucapan DYMM Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor, Shah
Alam pada hari Khamis, 30hb Mac 2017:
Terima kasih Tuan Timbalan Speaker. Titah Ucapan DYMM Sultan
Selangor telah memberikan gambaran yang jelas mengenai ekonomi Selangor yang
terus berkembang. KDNK per kapita Selangor telah meningkat kepada RM42,611 dan
melebihi paras nasional. Pendapatan isi rumah juga telah meningkat dan kini
Selangor menduduki ranking ke 3 selepas Kuala
Lumpur dan Putrajaya.
Titah Ucapan DYMM Sultan Selangor juga menyebut komitmen
Kerajaan Negeri yang bersepadu dalam menangani masalah kemiskinan rakyat telah
berjaya dan mencatit insiden kemiskinan 0.2% sahaja berbanding dengan Malaysia
pada kadar 0.6%.
Saya ingin menarik perhatian dewan yang mulia ini mengenai warga
Felda yang berada di Selangor. Adakah warga Felda di Selangor telah keluar dari
belenggu kemiskinan? Ataupun mereka seperti warga Felda di negeri lain sedang
terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi dan keberhutangan yang tinggi?
Kawasan Felda di Selangor tertumpu di daerah Hulu Selangor
iaitu Felda Soeharto, Felda Gedangsa, Felda Sg Tengi dan Felda Sg Tengi
Selatan. Warga Felda di Selangor juga memegang saham FGV yang sekarang harga
pasaran adalah lebih kurang RM2 sesaham.
Saya masih ingat pada tahun 2012 apabila FGV disenaraikan di
bursa tempatan dengan tawaran awal awam (IPO) pada harga RM4.55 sesaham yang
mendapat liputan meluas setelah dikatakan sebagai penyenaraian kedua terbesar
dunia selepas Facebook. Kini apa yang berlaku kepada FGV? Saya difahamkan warga
Felda di Selangor juga mendapat 800 unit saham FGV tapi bukan diberikan secara
percuma pada waktu itu.
Saya tidak berhasrat menyeru Umno BN mencari inisiatif bagi
menaikkan nilai seunit saham FGV. Walau bagaimanapun, saya ingin memaklumkan
kepada dewan yang mulia ini bahawa Pakatan Harapan ada menawarkan resolusi bagi
menyelesaikan kemelut ini.
Pada Konvensyen Warga Felda 2017 yang berlangsung di Shah
Alam baru-baru ini, lima
resolusi telah dibentangkan. Resolusi pertama adalah dengan mengukuhkan
pengurusan dan tatakelola Felda. Suruhanjaya Siasatan Diraja perlu ditubuhkan untuk
membuat siasatan menyeluruh mengenai kerugian dan penyelewengan berbillion
ringgit. Selain daripada itu, semua transaksi yang tidak telus dan melibatkan
kepentingan pihak tertentu seperti pelaburan dalam Eagle High Plantations dan
pinjaman wang dari Putra Star Investments perlu dibatalkan.
Resolusi kedua, meringankan beban kos sara hidup dan hutang
warga Felda. Wang sara hidup setiap peneroka perlu ditingkatkan sehingga
RM2,000 bagi menampung kos tanaman sebelum kelapa sawit mengeluarkan hasil.
Setelah kelapa sawit membuah hasil dari 7 ke 15 tahun, wang sara hidup ini
boleh dibayar semula dengan potongan minima RM800 sebulan sehingga selesai
tanpa faedah.
Resolusi ketiga, mewujudkan mekanisme untuk berkongsi tanah
warisan. Ini adalah kerana ramai peneroka telah meninggal dunia tanpa mendaftar
bagi urusan pemindahan hak milik. Malahan pembahagian tanah akan menjadikan
setiap sebidang tanah terlalu kecil untuk menjana nilai komersial.
Resolusi keempat pula membangunkan bandar baru Felda di
seluruh negara dan kelima menubuhkan Universiti Felda bagi meningkatkan tahap
pendidikan generasi muda Felda.
Jelas bahawa resolusi-resolusi ini mengutamakan kebajikan
warga Felda agar kehidupan mereka lebih makmur, berjaya dan berdikari.
Tuan Timbalan Speaker, saya juga difahamkan Kerajaan
Selangor telah bermula menangani masalah perumahan untuk generasi muda Felda. Mengikut
laporan media pada April 2016, Kerajaan Selangor telah mengumumkan Perbadanan
Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan membina 136 unit rumah berkembar di Felda Sg
Tengi Selatan. Kos projek perumahan ini adalah
RM20 juta dan Kerajaan Selangor menanggung kos infrastruktur sebanyak RM7.6
juta.
Saya yakin projek perumahan ini bukan hanya memacak papan
tanda sahaja tetapi merupakan sebahagian dasar pendemokrasian pemilikan rumah Kerajaan
Selangor bagi menjamin generasi muda Felda memiliki sebuah rumah yang mampu
dimiliki dan berkualiti. Dengan ini, saya berharap Kerajaan Negeri memantau kemajuan
perumahan ini secara berkala untuk memasti warga Felda dapat memiliki rumah dalam
tempoh yang ditetapkan.
Tuan Timbalan Speaker, Saya ingin membangkitkan isu Rumah
Ibadat Selain Islam (RISI). Kerajaan Negeri telah memperuntukan RM6 juta setiap
tahun untuk pembangunan dan aktiviti keagamaan RISI. Kerajaan Negeri juga mewartakan
tanah yang telah lama digunakan sebagai RISI.
Apa yang menjadi isu sekarang ialah pembinaan RISI yang baru
di kawasan perumahan terancang. Sepatutnya setiap tapak cadangan pemajuan
perlulah menyediakan tapak RISI mengikut piawaian yang telah ditetapkan oleh
pihak Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor, akan tetapi saya
mendapati tapak RISI di kawasan perumahan baru adalah sangat kurang. Adakah
kemungkinan tapak RISI ditukar kepada kegunaan lain walaupun pelan Kebenaran
Merancang telah meluluskannya sebagai rizab untuk RISI? Saya harap Kerajaan
Selangor boleh memberikan perhatian kepada isu ini.
Saya tertarik dengan perbahasan YB Balakong dan YB Kampung
Tunku semalam yang menyebut Kerajaan Selangor tidak memproseskan permohonan
daripada Lembaga Pelabuhan Klang menyebabkan premium tidak dipungut. Saya
difahamkan Kerajaan Selangor terpaksa menangguhkan perkara tersebut kerana mahu
mempertahankan pendirian Negeri.
Apa yang berlaku adalah Menteri Pengangkutan perlu melantik
wakil Kerajaan Negeri ke dalam Lembaga Pelabuhan Klang dan Kerajaan telah pun
mencalonkan nama 2 orang ahli EXCO untuk mewakili Kerajaan Selangor sejak tahun
2014. Tapi Menteri Pengangkutan enggan menerima calon Kerajaan Selangor dengan
alasan tidak ingin melantik orang politik ke dalam Lembaga Pelabuhan Klang.
Alasan ini amat tidak berasas.
Pertama, Ahli EXCO adalah wakil Kerajaan Selangor. Kedua,
sekiranya ahli EXCO dianggap sebagai ahli politik dan tidak boleh dilantik ke
dalam Lembaga Pelabuhan Klang, mengapa selama berpuluh tahun yang lalu jawatan
Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang adalah disandang oleh pemimpin MCA dan bukan
itu sahaja, malah Pengerusi MCA Bahagian Klang dan Kapar merupakan ahli Lembaga
Pelabuhan Klang seolah-olah itu adalah kewajiban.
Kerajaan Persekutuan mesti menghormati keputusan Kerajaan
Selangor mengenai semua urusan perlantikan wakil negeri ke dalam agensi-agensi
Persekutuan. Ini adalah prinsip yang harus dihormati. Hubungan antara dua
kerajaan hendaklah dihormati. Oleh yang demikian saya menyokong dan mendukung
pendirian Kerajaan Negeri mempertahankan martabat Kerajaan Selangor dalam
mengendalikan urusan dengan pihak Kerajaan Persekutuan.
Saya juga menyeru Menteri Pengangkutan menghentikan cara
mengendalikan urusan Kerajaan secara tidak professional dan segera menerima
pencalonan Kerajaan Negeri dalam perlantikan ahli Lembaga Pelabuhan Klang.
Sekian, saya menjunjung kasih titah ucapan DYMM Sultan
Selangor.
No comments:
Post a Comment