Thursday 1 December 2022

Ucapan Perbahasan Belanjawan Negeri Selangor Tahun 2023 Peringkat Dasar oleh ADN Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong pada 30 November 2022 (Rabu) di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam




Ucapan Perbahasan Belanjawan Negeri Selangor Tahun 2023 Peringkat Dasar oleh ADN Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong pada 30 November 2022 (Rabu) di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam:

Terima kasih kepada Tuan Timbalan Speaker atas peluang yang diberikan kepada saya untuk turut serta dalam perbahasan Belanjawan Selangor 2023.

Tuan Timbalan Speaker, saya mengucapkan tahniah kepada YAB Dato' Menteri Besar yang telah membentangkan satu belanjawan yang beriltizam Kita Selangor. YAB Dato' Menteri Besar dalam ucapannya ada menyebut Kerajaan Selangor telah mengisytiharkan tempat Kuala Kubu Bharu sebagai Wilayah Central Forest Spine (CFS) Negeri Selangor pada tahun 2021. Pengisytiharan ini menjadi inspirasi yang amat tinggi dalam pelaksanaan inisiatif-inisiatif CFS di negeri Selangor. Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Selangor atas pengisytiharan dan memperuntukan RM150 ribu untuk pembangunan dan pelaksanaan CFS.

Tuan Timbalan Speaker, Kuala Kubu Bharu bukan sahaja mempunyai hutan simpan kekal yang menjadi pemangkin kepada pelaksanaan pemeliharaan koridor ekologi di Selangor, ia juga adalah bandar bersejarah dan memiliki keindahan dan keunikan.
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) yang sentiasa menganjurkan program-program bagi menonjolkan keindahan dan keunikan Kuala Kubu Bharu. Sebagai contoh, MPHS telah mengadakan satu program ‘Temasya Jalanan Kuala Kubu Bharu' yang berlangsung setiap hari Sabtu dari jam 7pagi hingga 10malam sejak September 2022. Program ini bertujuan untuk mengetengahkan aktiviti-aktiviti kebudayaan yang terdapat di Hulu Selangor bagi menarik minat para pengunjung dalam & luar negara untuk datang ke Hulu Selangor. Selain itu juga, program ini memberi peluang kepada para peniaga untuk berniaga di Bazar Warisan KKB yang bertemakan produk jualan seperti barangan antik, kraftangan, hasil hutan masyarakat Orang Asli untuk pengunjung membeli cenderahati untuk dibawa pulang. Saya percaya temasya ini mampu merancakkan industri pelancongan apatah lagi Kuala Kubu Bharu turut menjadi destinasi tumpuan pengayuh basikal. Cuma saya nak tanya adakah Temasya Jalanan ini akan berterusan pada tahun depan ataupun akan dikemaskini supaya lebih selesa dan teratur kepada pengunjung.

Tuan Timbalan Speaker, Selain daripada Temasya Jalanan anjuran MPHS, banyak program Kerajaan Selangor juga diadakan di Kuala Kubu Bharu bagi menarik orang awam mengunjungi Kuala Kubu Bharu pada tahun ini. Antaranya adalah program ‘Bazar BAIK Selangor' anjuran Jawatankuasa Tetap Pembanguan Kampung Baru Negeri Selangor. Bazar tersebut diadakan pada bulan Jun yang lalu di Kg Asam Kumbang, Kuala Kubu Bharu. Bazar tersebut menyediakan 50 gerai bagi peniaga kecil datang ke Kuala Kubu Bharu menjual produk buatan dari kampung-kampung baru di seluruh Selangor.

Saya teruja dengan kejayaan BAIK Selangor. Ini merupakan satu inisiatif yang holistik dalam merangsang ekonomi tempatan. Dan ianya terbukti apabila jualan produk-produk BAIK Selangor ini rata-rata berlipat ganda dan berjaya menarik perhatian pasaran luar negara sekaligus mengharumkan nama Selangor.

Seperti sedia maklum, pendemik covid 19 telah memberi tamparan hebat kepada ekonomi sedunia. Malaysia tidak terkecuali. Selama dua tahun dilanda covid 19, banyak industri terkesan, adanya gulung tikar lalu ramai kehilangan pekerjaan dan pendapatan.

Saya lihat Pelaksanaan BAIK Selangor ini tepat pada masanya dan merupakan satu suntikan kuat terhadap ekonomi domestik.

Penjenamaan serta pemerkasaan produk desa dan industri kecil telah berjaya mencipta keajaiban di kampung-kampung baru apabila kelihatan produk-produk desa yang sebelum ini kurang menarik perhatian kini menjadi laris dan popular.

Di Kuala Kubu Bharu sebagai contoh, saya difahamkan terdapat salah satu produk yang mengambil bahagian dalam projek BAIK Selangor bahawa jualannya telah meningkat secara ketara dengan setelah penjenamaan serta pemasaran baharu. Produknya telah berjaya menarik pelanggan dari seluruh Selangor mahupun dari negeri lain sekaligus menjadikan KKB satu tarikan pelancongan apabila pelanggan yang datang membeli produk desa turut akan singgah di KKB untuk sambil melancong.

Peniagaan-peniagaan lain seperti kedai makan, rumah tumpangan turut dimanfaatkan.

BAIK Selangor merupakan satu model sufficiency economy yang harus dicontohi. Dalam keadaan krisis ekonomi teruk, projek BAIK Selangor tetap berjaya mencipta peluang perniagaan dan pekerjaan malahan berjaya merangsang rangkaian ekonomi setempat.

Saya berharap BAIK Selangor ini dapat diteruskan pada masa yang akan datang.

Sebelum saya mengakhiri ucapan perbahasan saya pada petang ini, saya mengucapkan tahniah kepada 5 orang ADUN dalam dewan ini yang telah diangkat oleh rakyat Selangor sebagai Ahli Parlimen pada 19 Nov 2022. Saya harap mereka boleh membawa isu-isu di Selangor yang memerlukan perhatian Kerajaan Perpaduan ke Parlimen. Salah satu daripada isunya adalah Kuala Kubu Bharu memerlukan sebuah hospital pakar kerajaan seperti Tanjung Karang. Untuk maklumat Dewan yang mulia ini, Hospital Kuala Kubu Bharu yang sedia ada dibina pada tahun 1936. Ia merupakan hospital bukan pakar yang cuma menawarkan khidmat pakar dari Hospital Selayang.

Sekian, Tuan Speaker. Saya menyokong Belanjawan Selangor 2023. Terima kasih.