Sunday 15 September 2013

Martabat 'kawasan putih'

Saya melihat gambar sejarah Kuala Kubu ketika melawat galeri pameran PPPS MDHS sambil diperhatikan Abd Wahab (tiga, kanan), Rihajudin (empat, kanan) dan Penyelidik Sejarah Kuala Kubu, Ahmad Tarmizi Yaacob (kiri).

Martabat 'kawasan putih'
WARTAWAN SINAR HARIAN
12 September 2013

KUALA KUBU BHARU –


Adun Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong berkata, terlalu banyak warisan sejarah negara yang terbenam di bawah pembangunan kawasan ini dan salah satunya pengisytiharan 'kawasan putih' itu kerana ia dilaungkan oleh seorang raja berdaulat.

Menurutnya, walaupun Kuala Kubu menjadi tempat terakhir pengisytiharan 'kawasan putih', namun di situlah terletaknya nilai sejarah.

"Oleh itu kita perlu kaji, selidik dan angkat kawasan itu untuk dijadikan tapak bersejarah bukan saja untuk daerah Hulu Selangor, malah untuk negara," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan RM10,000 Kepada Pusat Penerangan Pelancongan dan Sejarah (PPPS) Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), malam kelmarin.

Hadir menerima sumbangan tersebut, urus setia PPPS MDHS, Abd Wahab Abd Hamid bersama ahli jawatankuasanya dan Ahli Majlis, K Suppiah serta Ketua Kampung Ampang Pecah, Rihajudin Anwar Khan.

Kee Hiong berkata, beliau mengalu-alukan sumbangan berterusan ahli jawatankuasa PPPS MDHS dari segi bahan warisan sejarah, penemuan tapak dan kesan peninggalan sejarah, idea serta pandangan untuk memastikan segala peninggalan sejarah yang terdapat di Kuala Kubu termasuk di seluruh daerah ini dipelihara dan dapat diketengahkan.

"Saya berterima kasih kepada bekas guru, Abdul Shukor Ali yang mengetengahkan mengenai sejarah pengisytiharan 'kawasan putih' tersebut dan berharap akan ada penemuan baru yang dapat dibongkar selepas ini.

"Kita akan cuba jejaki dan pelihara kesemua peninggalan sejarah ini. Ketika ini hanya cerita daripada orang lama yang tinggal. Saya berharap jawatankuasa PPPD MDHS memainkan peranan utama dalam merealisasikan hasrat tersebut untuk manfaat semua," katanya.