Sunday 31 October 2021

Cikgu Zulkifli Din Dalam Kenangan

Orang Kuala Kubu Bharu menerima berita sedih pemergian Cikgu Zul petang tadi. 2 jam sebelum Cikgu Zul meninggal dunia, saya buat panggilan kepada isterinya. Saya tanya reaksi anak mereka, Huda terhadap keadaan Cikgu Zul yang berada di hospital.

Huda yang buat saya rapat dengan Cikgu Zul. Saya masih ingat Huda yang jerit "YB, YB, YB" semasa saya turun padang melawat kawasan pada tahun 2013 menyebabkan saya berhenti bergerak dan menuju ke arah Huda. Cikgu Zul dengan penuh senyuman memperkenalkan Huda. Selepas itu Cikgu Zul kata dia adalah penyokong saya dan yakin saya akan menjalankan tugas dengan baik.

Cikgu Zul mengambil bahagian dalam pertandingan fotografi anjuran pusat khidmat saya pada November 2013. Ini menjadikan kali kedua saya berbual dengan Cikgu Zul.

8 tahun kami berkenalan. Saya mengunjungi rumah Cikgu Zul banyak kali. Ada satu kali, saya lihat gambar-gambar burung di rumahnya dan cadang buat buku. Akhirnya 2 buah buku gambar burung Cikgu Zul diterbitkan pada tahun 2020 dan 2021.

Banyak lagi kenangan termasuk projek lukisan mural (idea Sdri Sue Suen Tan). Mural Cikgu Zul bukan sahaja menarik ramai pengunjung ambil gambar, ia juga menjadi bahan "treasure hunt" di mana penganjur mahu peserta mengira durian yang dilukis.

Cikgu Zul menyertai DAP pada November 2020. Kami belum sempat buat majlis untuk mengalu-alukan beliau sebab wabak COVID-19. Namun, kesudian Cikgu Zul berjuang untuk rakyat tetap akan dihargai.

Semoga keluarga Cikgu Zul tabah menghadapi dugaan.