Monday 25 November 2013

Selangor Shine


Saya mengambil bahagian dalam Perbahasan Perbekalan Kerajaan Negeri Selangor 2014 di Dewan Negeri Selangor mengenai penambahan lampu jalan. Berikut adalah teks ucapan saya:

Puan Pengerusi, saya merujuk mukasurat 186 Anggaran Perbelanjaan 2014 bahagian Perkhidmatan dan Bekalan yang mana angka-angka anggaran 2014 adalah sama dengan peruntukan 2013. Dengan angka-angka yang sama ini, saya minta penjelasan daripada pihak kerajaan samada memandang serius atau tidak terhadap pemasangan lampu jalan mengikut permintaan rakyat. Ini adalah kerana penambahan lampu jalan yang beratus-ratus tiang akan menimbulkan kos penyelenggaraan yang tinggi sekurang-kurangnya bayaran bil elektrik setiap bulan akan bertambah.

Saya dimaklumkan oleh penghulu-pmghulu mukim di Hulu Selangor bahawa sejak Pakatan Rakyat mengambilalih kuasa pemerintahan Negeri Selangor, mereka tidak pernah diminta untuk mengemukakan cadangan pemasangan lampu jalan. Saya ambil satu contoh iaitu Mukim Hulu Bernam Selatan, permintaan rakyat terhadap lampu jalan adalah sebanyak 90 tiang yang mana tiang telah disediakan tapi peralatan bekalan lampu tidak dipasang lagi. Ini adalah satu mukim sahaja. Bagaimana dengan 8 mukim di Hulu Selangor dan mukim-mukim lain di seluruh Selangor?

Kita sedia maklum bahawa lampu jalan sudah menjadi satu keperluan untuk keselamatan penggunaan jalan raya dan mengurangkan kadar jenayah. Ini bukan sahaja dalam mukasurat 186 tapi dari mukasurat 179 hingga 187 yang mana angka-angka dalam kod objek 21000 hingga 29000 adalah sama sahaja. Jadi setakat ini, sejauh manakah pihak kerajaan mementingkan penambahan lampu jalan untuk mencahayakan Selangor atau “Selangor Shine”.

No comments:

Post a Comment