Friday 29 November 2013

Terbitan Pelancongan Negeri Selangor


Soalan saya mengenai terbitan pelancongan di Dewan Negeri Selangor telah dijawab oleh YB Puan Elizabeth Wong seperti berikut:

Terbitan pelancongan yang dihasilkan oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2012 dan 2013 adalah peta pelancongan, Selangor Breakaway, penerbitan iklan di majalah dan surat khabar.

Selain daripada cetakan fizikal, Tourism Selangor juga menerbit bahan promosi melalui media sosial melalui laman web (http://tourismselangor.my/), twitter and facebook. Penghasilan bahan-bahan tersebut tidak perlu perbelanjaan, cuma ada kos penyelenggaraan, sewaan, sewaan nama dan perkara-perkara yang berkaitan dengan “web administration” iaitu dalam lingkungan RM20,000 setahun.

Kerajaan Negeri berhasrat untuk menghasilkan cetakan risalah pelancongan yang berasingan untuk setiap daerah dalam pelbagai bahasa dan juga di dalam versi elektronik untuk di paparkan di dalam laman sesawang (web).

Buku Selangor Breakaway juga akan diterbitkan sebagai panduan kepada pelancong domestik dan luar negara mengenali produk-produk pelancongan yang terdapat di Negeri Selangor. Buku ini telah disusun mengikut daerah-daerah di Negeri Selangor. Semua maklumat produk-produk pelancongan yang dimasukkan di dalam buku ini adalah di atas cadangan daripada Pihak Berkuasa Tempatan. Buku ini diterbitkan di dalam Bahasa Inggeris.

Pada masa yang sama, peta pelancongan diterbitkan untuk memberi maklumat pelancongan di dalam bentuk peta pelancongan yang merangkumi produk-produk pelancongan di seluruh Negeri Selangor.

Walau bagaimanapun dengan inisiatif dari Pihak Berkuasa Tempatan, PBT kini telah mencetak dan menyediakan pelbagai bahan promosi untuk mempromosikan produk-produk pelancongan di daerah mereka.

Pihak Berkuasa Tempatan yang telah mempunyai bahan promosi adalah seperti berikut:

i. Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ)
ii. Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS)
iii. Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS)
iv. Majlis Perbandaran Kajang (MPK)
v. Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)
vi. Majlis Perbandaran Klang (MPK)

No comments:

Post a Comment