Ucapan Perbahasan Belanjawan Kerajaan Negeri Selangor
Tahun 2015 Peringkat Dasar oleh ADN Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong pada 25
November 2014 (Selasa) di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam:
Terima kasih kepada Puan Speaker
kerana memberi peluang kepada saya untuk turut serta dalam perbahasan Ucapan
Belanjawan Selangor 2015 yang dibentangkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar.
Puan Speaker, saya merakamkan
setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Dato’ Menteri Besar yang bersedia
membelanjakan sejumlah RM2,422,500,000 pada tahun 2015 untuk melaksanakan semua
rancangan pembangunan kerajaan. Nisbah perbelanjaan mengurus berbanding
pembangunan pada 53.19: 46.81 adalah jauh lebih baik daripada paras ideal iaitu
60:40.
Saya bersetuju dengan Kerajaan
Negeri yang akan membelanjakan RM600 juta untuk melaksanakan kerja-kerja MARRIS
pada tahun 2015. Mengikut Penyata Kewangan Negeri Selangor 2013, Kumpulan Wang
Amanah Penyenggaraan Jalan Negeri (MARRIS) setakat 31 Disember 2013 telah
meningkat ke RM822,091,294.92 berbanding dengan RM631,272,780.63 pada tahun
2012. Wang tersebut dijangka terus meningkat pada tahun ini.
Ini adalah kerana Dato’
Menteri Besar telah memaklumkan Dewan yang mulia ini semasa menjawab pertanyaan
mulut Ahli Dewan Negeri semalam iaitu pada 24 Disember 2014 bahawa wang MARRIS
masih belum digunakan dengan sepenuhnya. Jawapan ini bermakna penyaluran
peruntukan kepada agensi-agensi pelaksana iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR), Pihak
Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pejabat Daerah
untuk melaksanakan projek MARRIS adalah kurang daripada penerimaan iaitu RM564.64
juta pada tahun ini.
Saya menyahut baik cadangan Dato’
Menteri Besar bahawa semua wang MARRIS yang diterima akan disalurkan kepada
agensi-agensi pelaksana pada tahun 2015. Dengan ini, saya mengemukakan 2 isu
yang perlu diberikan perhatian semasa pelaksanaan projek MARRIS.
Pertama, Masa yang diambil
bagi memproses projek MARRIS adalah terlalu lama. Saya mengambil contoh apa
yang berlaku pada tahun ini. Salah satu agensi pelaksana iaitu PBT dikehendaki
mengemukakan senarai kerja MARRIS kepada Kerajaan Negeri sebelum 21 Februari
2014.
Jawapan pertanyaan bertulis
saya di Dewan yang mulia ini pada bulan Jun 2014 ialah hanya 6 PBT telah mengadakan
mesyuarat Jawatankuasa Sebut Harga atau Lembaga Tender bagi menentukan
kontraktor-kontraktor untuk melaksanakan kerja-kerja MARRIS setakat 31 Mei
2014. 3 PBT mengadakan mesyuarat tersebut pada bulan Jun 2014. 2 PBT bermesyurat
pada bulan Julai dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) adalah PBT yang
terakhir mengadakan mesyuarat iaitu pada bulan Ogos 2014.
Walaupun kontraktor yang
dilantik dalam mesyuarat tersebut diberikan masa di antara 1 hingga 2 bulan
untuk menyiapkan kerja, tetapi amalan biasa ialah kebanyakan kerja akan siap
lebih daripada 2 bulan kerana masalah cuaca dan pihak kontraktor kekurangan
tenaga kerja. Ini bermakna jalan yang rosak terpaksa menunggu selama 5 hingga
10 bulan untuk diturap semula.
Puan speaker, bayangkan
betapa marahnya pengguna jalanraya jika dia perlu menggunakan jalan yang rosak
tersebut tiap-tiap hari. Oleh itu, saya
amat berharap kerja-kerja MARRIS boleh dilaksanakan dengan segera tetapi
kualiti tidak dikompromikan pada tahun 2015 demi menjaga imej Pakatan Rakyat.
Bagi membolehkan kerja dilaksanakan
dengan segera, Kerajaan Negeri perlu mempertimbangkan satu kaedah lagi iaitu outright grant digunapakai selain
daripada kaedah direct grant untuk
PBT dan secara jurnal peruntukan kepada agensi-agensi pelaksana yang lain untuk
membolehkan kerja-kerja MARRIS dilaksanakan dengan segera.
Outright grant
tidak digunapakai sebagai kaedah penyaluran peruntukan sejak tahun 2010 dengan
alasan untuk mengelak agensi pelaksana melaksanakan kerja-kerja di luar skop
yang dibenarkan. Ini boleh diatasi sekiranya terdapat kaedah kawalan yang rapi
bagi memastikan peruntukan MARRIS digunakan mengikut Garis Panduan Tatacara
Pengurusan Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri.
Keupayaan agensi pelaksana
ditingkatkan dengan menghatar jurutera-jutera ke kursus adalah satu langkah
yang baik dan bijaksana. Pemahaman skop kerja MARRIS oleh Kerajaan Negeri dan
agensi pelaksana adalah penting. Saya sering mendengar rintihan pegawai
kerajaan bahawa kerja MARRIS adalah terhad kepada sesuatu penyengaraan sahaja
dan banyak batasan. Akan tetapi apabila saya membaca Garis Panduan Tatacara
Pengurusan Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri, saya dapati kerja MARRIS juga
termasuk kerja-kerja pemotongan rumput/lanskap, penyenggaraan pembetung dan
jambatan, pembersihan longkang tepi jalan, penyenggaraan cerun, terowong,
jejantas, lampu jalan, lampu isyarat, dan sebagainya.
Garis Panduan Tatacara
Pengurusan Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri telah menyenaraikan 4 kategori
dan sebanyak 29 contoh kerja yang boleh dilaksanakan. Ucapan Belanjawan Dato’
Menteri Besar para 108 juga menyebut beberapa kerja boleh dilaksanakan dalam
peruntukan MARRIS. Saya mengulangi teks ucapan Dato’ Menteri Besar para 108
supaya kita lebih memahami skop kerja MARRIS:
108. Untuk tempoh 3 bulan ini, dari
Oktober sehingga Disember 2014, perbelanjaan peruntukan MARRIS dioptimakan
untuk kerja-kerja penyelenggaraan termasuk penurapan semula jalan, pembaikan
dan pembersihan longkang, kerja-kerja pemotongan rumput/lanskap dan menyelenggara
pokok-pokok di bahu jalan.
Dengan adanya pemahaman skop
kerja MARRIS, saya yakin Kerajaan Negeri boleh mengoptimakan penggunaan wang
MARRIS dan jalan yang masih baik tidak akan diturap semula semata-mata untuk
menghabiskan peruntukan MARRIS sahaja. Sebaliknya, pengoptimaan ini akan mengurangkan
beban PBT yang menghadapi kekangan kewangan untuk melaksanakan sesuatu kerja
penyenggaraan selain daripada penurapan semula jalan.
Isu yang kedua ialah kaedah
penyaluran melalui bilangan DUN dalam PBT.
Kaedah yang digunapakai sekarang telah menyebabkan Majlis Perbandaran
Sepang (MPSp) yang hanya mempunyai 2 kawasan DUN dan Majlis Daerah Hulu
Selangor (MDHS) yang mempunyai 3 kawasan DUN menerima peruntukan MARRIS yang
amat kurang berbanding dengan Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang mempunyai 7
kawasan DUN, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Petaling
Jaya (MBPJ) yang mempunyai 6 kawasan DUN.
Oleh kerana taburan panjang
jalan di setiap PBT tidak diambil kira maka terdapat PBT yang mempunyai lebih
sedikit jalan dari segi ukuran panjang jalan tetapi menerima peruntukan yang
banyak hanya kerana ianya mengandungi bilangan DUN yang banyak.
Ini bukan sahaja berlaku di
peringkat PBT tetapi juga berlaku di peringkat DUN dalam PBT yang sama. Saya
mengambil contoh taburan panjang jalan di MDHS yang mana jalan di DUN Batang Kali
adalah 4 kali ganda panjang daripada DUN Ulu Bernam. Dengan ini adalah tidak
wajar jika ianya diberi peruntukan MARRIS yang sama nilai. Faktor panjang jalan
perlu diambil kira semasa menyalurkan peruntukan MARRIS demi memberi
perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
Puan Speaker, rizab MARRIS
dalam Kumpulan Wang Amanah Penyenggaraan Jalan Negeri yang lebih 800 juta itu
patut digunakan untuk kerja-kerja penyenggaraan cerun sekiranya dibenarkan
seperti Garis Panduan Tatacara Pengurusan Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri bagi
menyediakan taraf kehidupan yang berkualiti di Selangor.
Penyenggaraan cerun adalah
sangat penting kerana bencana tanah runtuh telah membawa kerugian yang
signifikan kepada negara. Kematian dan kemusnahan harta benda telah berlaku
akibat bencana tanah runtuh seperti apa yang berlaku di Cameron Highlands
baru-baru ini.
Setakat ini, maklumat mengenai
cerun yang kritikal dan berisiko bencana masih lagi tidak lengkap. Unit
Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri sedang melaksanakan Projek
Penghasilan Peta Bahaya dan Risiko Cerun yang mana kawasan kajiannya juga termasuk
Selangor. Keluasan kajian adalah 1550 km persegi yang mana termasuk kawasan
Cheras Selatan dan Kajang ke Bangi seluas 300 km persegi, Rawang ke Batang Kali
seluas 150 km persegi dan Gombak ke Selayang seluas 200 km persegi. Projek ini
dijangka siap pada tahun 2016.
Puan Speaker, sementara
menunggu hasil kajian projek tersebut, Kerajaan Negeri juga perlu memastikan
kerja-kerja memantau, menyenggara dan menstabilkan cerun di Selangor dijalankan
oleh PBT. Satu perkara yang membanggakan kita ialah Unit Cerun Majlis
Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah ditubuhkan pada 3 Disember 2009 dan MPAJ
merupakan PBT yang pertama menubuhkan Unit Cerun di Malaysia.
Walau bagaimanapun
perkongsian kepakaran tidak ada di peringkat PBT. Ini jelas kelihatan apabila
kejadian berlaku di Apartmen Teratai, Bukit Beruntung yang mana
penduduk-penduduk terpaksa berpindah keluar selama 8 hari untuk kerja-kerja
kestabilan cerun.
MPAJ mempunyai 349 lokasi
cerun dalam senarai pemantauan mereka dan saya percaya MPKj, MPS dan MDHS juga
mempunyai beratus-ratus cerun samada di tanah milik kerajaan atau tanah milik
individu. Adakah MDHS mampu menubuhkan Unit Cerun seperti MPAJ? Jika tidak,
maka kita perlu memikirkan sesuatu langkah dan bukannya semata-mata bergntung
kepada Cawangan Kejuruteraan Cerun, JKR Malaysia. Kerajaan Negeri mungkin boleh
membantu melalui penubuhan task force atau sebagainya.
Sudah tiba masanya Kerajaan
Negeri mengambil inisiatif untuk menubuhkan Jabatan Cerun di peringkat negeri
bagi perkongsian kepakaran dan latihan kepada stake-holders melalui program kursus, seminar, latihan hands-on, bengkel dan sebagainya selain
daripada memantau cerun-cerun di Selangor. Dengan adanya inisiatif sedemikian
maka kejadian Apartmen Teratai tidak akan berulang lagi.
Puan Speaker, saya kagum
dengan kesungguhan Dato’ Menteri Besar bahawa pentadbiran beliau akan
mengusahakan pelbagai cara untuk menambahbaik dan memupuk persefahaman kaum dan
toleransi antara agama di Selangor. Tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat
Selangor merupakan sebuah masyarakat majmuk. Ia terdiri dari kaum Melayu, Cina , India
dan lain-lain yang memiliki bahasa, budaya dan agama yang berbeza.
Kita harus memastikan golongan
minoriti di negeri ini mendapat pembelaan sewajarnya. Masyarakat Punjabi Sikh
adalah golongan minoriti tetapi telah memainkan peranan yang penting dalam
pembangunan dan kemajuan negeri Selangor.
Bahasa Punjabi digunakan oleh
keturunan Punjabi untuk memahami dan mengamalkan kebudayaan dan agama mereka
malangnya tidak diajar sebagai Pupils’
Own Language (POL) di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah. Bagi mengatasi
masalah pembelajaran bahasa Punjabi yang dihadapi, Khalsa Diwan Malaysia
telah menubuhkan Pusat Pendidikan Punjabi di seluruh negara.
Pusat Pendidikan Punjabi di
Negeri Selangor telah meningkat kepada 9 buah dan yang ke 9 itu terletak di
Kawasan Kuala Kubu Bharu. Jumlah murid yang membelajari bahasa Punjabi di
Selangor adalah 900 orang. Mereka pernah memohon peruntukan bantuan pendidikan
seperti mana Kerajaan Negeri memperuntukan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR),
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT)
bagi meringankan beban kewangan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa
Punjabi.
Galakan dan sokongan oleh
Kerajaan Negeri terhadap proses pembelajaran bahasa Punjabi di pusat-pusat
pendidikan Punjabi amat diperlukan. Dengan ini, saya meminta Kerajaan Negeri
menetapkan satu jumlah peruntukan tahunan yang munasabah kepada Punjabi
Education Trust Selangor Darul Ehsan (PETS) yang mengendalikan pusat-pusat
pendidikan Punjabi di Selangor.
Puan Speaker, Kuala Kubu Bharu mengakhiri ucapan dengan
menyokong Belanjawan 2015 yang bertemakan Pembangunan Berkualiti, Rakyat
dipeduli yang telah dibentangkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor. Sekian.
Terima kasih.
No comments:
Post a Comment