Monday 1 December 2014

Perbahasan dalam peringkat jawatankuasa perbekalan kerajaan Selangor 2015 mengenai Pejabat Daerah Hulu Selangor


Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong mengambil bahagian dalam perbahasan dalam peringkat jawatankuasa perbekalan kerajaan Selangor 2015 mengenai Pejabat Daerah Hulu Selangor pada 1 Desember 2014. Teks ucapan adalah seperti berikut:

Puan Pengerusi, saya rujuk kepada mukasurat 339 butiran 505000 Pentadbiran dan Kewangan, kod objek 10000 Emolumen. Saya ingin menyentuh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah.

Tugas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hulu Selangor amat berat pada tahun ini.  Mereka menangani kebakaran hutan selama 2 bulan pada awal tahun ini dan kemudian menguruskan kejadian tanah runtuh di Apartmen Teratai, Bkt Beruntung selama seminggu.

Puan Pengerusi, Jawatankuasa tersebut telah menunjukkan kesungguhannya dalam siri aktiviti yang kompleks dan menyelaras sumber manusia yang ekstensif daripada banyak agensi. Mereka mengkorbankan masa dan tenaga sehingga bermalam di tempat kejadian walaupun cuti hujung minggu atau cuti hari perayaan demi kepentingan masyarakat. Bagi pegawai kumpulan A, mereka tidak mendapat upah lebih masa seperti dalam emolumen.

Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada anggota-anngota jawatankuasa tersebut yang telah menjalankan tugas dengan baik dan penuh tanggungjawab. Saya mencadangkan Kerajaan Negeri mengadakan majlis pemberian Anugerah Pencapaian Kecemerlangan ataupun majlis penghargaan kepada anggota-anggota yang bertungkus-lumus melibatkan diri semasa bencana berlaku.

Satu perkara lagi ialah mengenai pencurian pasir yang mana YB Kuang pada minggu lepas menyebut tempat-tempat berlaku pencurian pasir termasuk di Hulu Selangor. Begitu juga KSSB telah menghantar 7 surat mengenai pencurian pasir kepada Pejabat Daerah Hulu Selangor. Saya mencadangkan satu Jawatankuasa Pemantauan Tanah ditubuhkan yang mana Ahli Dewan Negeri menduduki jawatankuasa tersebut. Dengan cara ini maka perbahasan dewan boleh menumpu kepada perkara-perkara dasar dan kurangkan perkara spesifik atau remeh-temeh.

Sekian sahaja. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment