Thursday 4 December 2014

Teks ucapan menyokong Usul di bawah Peraturan Tetap 26 di Dewan Negeri Selangor pada 4 Disember, 2014


Teks ucapan menyokong Usul di bawah Peraturan Tetap 26 oleh Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong di Dewan Negeri Selangor pada 4 Disember, 2014:

Terima kasih Puan Speaker, saya berdiri untuk menyokong Usul yang berbunyi seperti berikut:

“Bahawa Dewan Yang Mulia ini menyeru Kerajaan Negeri supaya mengiktiraf  hak Orang Asli dalam hal-ehwal pentadbiran tanah di bawah agensi dan anak syarikat Kerajaan Selangor.”

Saya mengucapkan syabas kepada YB Damansara Utama yang begitu prihatin kepada Orang Asli dengan membawa Usul ini walaupun kawasan DUNnya tidak mempunyai kampung Orang Asli.

Puan Speaker, Orang Asli adalah golongan minoriti yang terpinggir dalam arus pembangunan. Mereka tidak berupaya mewujudkan suatu tekanan politik yang berkesan untuk menuntut hak mereka. Mereka lebih merupakan masyarakat yang menerima daripada masyarakat yang berjuang untuk memperolehi pembaharuan dan kemajuan.

Kawasan DUN saya terdapat 6 buah kampung Orang Asli. Saya sangat setuju dengan YB Damansara Utama bahawa Orang Asli sangat bergantung kepada tanah untuk menjalankan kegiatan hidup mereka. Akta 134 iaitu Akta Orang Asli 1954 menyatakan bahawa Pihak Berkuasa Negeri boleh mewartakan kawasan yang diduduki oleh Orang Asli sebagai Tanah Rizab Orang Asli.

Puan Speaker, apa yang berlaku sekarang adalah kebanyakan kampung Orang Asli belum diwartakan sebagai Tanah Rizab Orang Asli walaupun permohonan telah dikemukakan sejak tahun 1977.  Sebagai contoh, hanya 3 kampung telah diwartakan pada halnya terdapat 15 kampung Orang Asli di Hulu Selangor.

Memandangkan proses pewartaan melibatkan pengukuran halus yang melantik juruukur yang bertauliah, maka Usul ini adalah tepat pada masanya sebagai satu penekanan supaya tanah orang asli adalah terjamin.

Walau bagaimana pun, tanah rizab sahaja tidak menyediakan ruang untuk orang asli melibatkan diri secara lebih aktif dalam pembangunan, kemajuan dan pembaharuan.  Atas dasar menjaga dan melindungi masyarakat Orang Asli, saya menyeru Kerajaan Negeri juga  mengiktiraf hak pendidikan Orang Asli dari segi pembangunan modal insan. Langkah yang diambil boleh bermula dengan UNISEL menerima kemasukan pelajar Orang Asli dengan kelayakan minimum.

Puan Speaker, kadar keciciran di kalangan murid Orang Asli memang tinggi. Mereka menghadapi masalah mendapatkan pendidikan yang berkualiti. Oleh kerana penempatan mereka jauh di pendalaman, mereka bersekolah dari tahap tahun pertama hingga ke tahun 6 sahaja.

Saya dengan kerjasama pertubuhan amal dan sukarelawan telah mengadakan kelas tuisyen Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains di salah sebuah kampung Orang Asli sejak bulan April 2014.  Tujuan kami adalah memupuk minat kanak-kanak Orang Asli untuk membaca, menulis dan mengira mengikut keperluan unik kanak-kanak Orang Asli dalam aspek kurikulum, ko-kurikulum, dan budaya belajar mereka.

Selain daripada itu, kami juga bersama kanak-kanak Orang Asli menghasilkan lukisan mural di dinding bilik belajar mereka. Penghasilan lukisan mural itu telah memberikan keyakinan kepada orang ramai bahawa kanak-kanak Orang Asli mempunyai potensi besar dalam seni lukisan.

Puan Speaker, kurikulum yang sedia ada tidak mengambil kira perbezaan latar belakang kanak-kanak Orang Asli. Saya berharap Kerajaan Negeri boleh menitikberatkan bantuan pendidikan kepada Orang Asli. Begitu juga anak-anak syarikat Kerajaan Selangor boleh turut melibatkan diri dengan menganjurkan program pembangunan modal insan di kampung Orang Asli.  

Saya mengakhiri ucapan saya dengan menyokong Usul yang dibawa oleh YB Damansara Utama ini.


Sekian. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment