Wednesday 3 December 2014

Teks ucapan perbahasan Usul Bajet Peruntukan Pembangunan 2015 di Dewan Negeri Selangor pada 2 Disember 2014


Teks ucapan perbahasan Usul Bajet Peruntukan Pembangunan 2015 oleh Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong di Dewan Negeri Selangor pada 2 Disember 2014:

Terima kasih Tuan Timbalan Speaker yang memberikan peluang kepada saya untuk membahas Usul Bajet Peruntukan Pembangunan 2015. Saya mulakan dengan kejadian Banjir kilat yang berlaku di kawasan Ulu Bernam malam tadi. Ia bukan terletak di kawasan DUN Kuala Kubu Bharu, tetapi sebagai wakil rakyat tunggal bagi Pakatan Rakyat di Hulu Selangor, saya turun ke Ulu Bernam tadi.

Tuan Timbalan Speaker, banjir kali ini memang lebih teruk jika dibandingkan dengan banjir yang pernah berlaku pada kawasan tersebut pada tahun 1971. Terdapat 8 buah kampung dilanda banjir dan melibatkan lebih daripada 200 orang mangsa dan 60 buah rumah. Kerajaan Negeri mengadakan Projek Rancangan Tebatan Banjir di Sungai Bernam yang merupakan satu projek untuk tebatan banjir bagi tahun 2015 dan peruntukan untuk Projek Tebatan Banjir tersebut ialah 1 juta. Akan tetapi kerja-kerjanya tidak termasuk kawasan yang melanda banjir pada malam tadi. Jadi tugas Kerajaan Negeri adalah untuk menyemak semula Projek Rancangan Tebatan Banjir di Sungai Bernam yang di mana skopnya kena diperluaskan untuk meliputi kawasan banjir malam tadi.

Kawasan banjir malam tadi juga bukanlah suatu perkara yang senang untuk diselesaikan kerana ia melibatkan sungai berliku-liku dan kalau sungai itu diluruskan ataupun diperbesarkan maka Sabak Bernam akan banjir dengan terus tak payah tunggu sampai hari ini baru banjir. Saya difahamkan air sungai di Sabak Bernam telah  naik dan hampir-hampir nak banjir hari ini. Oleh kerana sungai itu berliku-liku maka air lambat sedikit sampai ke Sabak Bernam. Ini adalah perkara yang rumit saya serahkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran untuk mengkaji dan menyemak semula.

Tuan Timbalan Speaker, isu seterusnya juga berkaitan dengan air, tetapi ialah penstrukturan air yang mana Kerajaan Negeri tidak memperuntukan sebarang sen untuk pemberian air percuma bagi tahun 2015. Saya minta penjelasan daripada Keajaan Negeri mengenai perkara ini dan beberapa butiran yang berkaitan dengan air iaitu Projek Bekalan Air diperuntukan RM52.43 juta dan juga terdapat pinjaman sebanyak RM184.5 juta bagi tahun 2015. 

Selain daripada itu, saya berharap Kerajaan Negeri boleh memberi gambaran yang lebih jelas kepada Dewan yang mulia mengenai butiran pengurusan air yang sebanyak RM500,000. Adakah ianya berkaitan dengan hasil Kerjaan Negeri iaitu Bayaran Konsesi Tahunan Syabas yang dianggarkan sebanyak RM6 juta dan Bayaran Sewa Tahunan Untuk Konsesi Air yang dianggarkan sebanyak RM2.7 juta bagi tahun 2015?

Tuan Timbalan Speaker, saya menyambut baik peruntukan Penyelenggara Jalan Kampung di bawah Pembangunan Luar Bandar yang berjumlah RM12 juta pada tahun depan. Saya ingin menyampaian hasrat orang kampung kepada Kerajaan Negeri iaitu jalan kampung perlu ada lampu jalan. Saya pernah mendapat permintaan daripada satu mukim sahaja di mana ia memerlukan 90 unit lampu jalan dan saya rasa ini adalah munasabah memandangkan kes samun juga berlaku di kampung sekarang. Dengan adanya lampu jalan maka penduduk kampung boleh berwaspada sekiranya terdapat orang yang tidak dikenali berada di kawasan berhampiran mereka.

Selain daripada itu, orang asli juga meminta lampu jalan kerana murid-murid perlu berjalan kaki ke tempat menunggu van untuk ke sekolah (jalan kampung orang asli adalah terlalu kecil dan hanya van yang dapat masuk) pada awal pagi sebelum matahari terbit. Dengan keadaan yang demikian, saya berharap peruntukan kepada Kg Orang Asli juga mempertimbangkan lampu jalan mungkin berbentuk solar dipasang di kampung orang asli.

Tuan Timbalan Speaker, ada juga jalan yang tidak memerlukan lampu jalan iaitu jalan pertanian. Saya amat kecewa jalan ladang di Hulu Selangor di bawah Program Pengairan dan Saliran Pertanian hanya mendapat peruntukan RM10 bagi tahun 2015.  Saya ingin memaklumkan Dewan yang mulia ini bahawa terdapat banyak jalan masuk ke kebun kecil di Hulu Selangor adalah teruk dan ini merupakan halangan untuk mempromosikan agro-pelancongan yang semakin mendapat sambutan hangat.

Saya ingin menyentuh peruntukan Pembangunan Muzium Daerah di bawah Adat Melayu dan Warisan yang sebanyak RM350,000. Hulu Selangor yang kaya dengan sejarah tetapi masih belum mempunyai  sebuah muzium daerah.

Saya bersama Persatuan Sejarah Kuala Kubu pernah berbincang dengan Pegawai Daerah bagi cadangan membaikpulih rumah DO untuk digunakan sebagai muzium daerah.

Mengikut sumber daripada Arkib Negara Malaysia, nama Ampang Pecah berasal daripada satu kisah lagenda Buaya Putih kira-kira pada tahun 1883 dimana kedegilan seorang pegawai Inggeris yang bernama Cecil Ranking telah menembak seekor buaya putih. Akibat dari kedegilan beliau membunuh buaya tersebut maka berlaku satu banjir besar dimana telah memusnahkan empangan yang dibina oleh penduduk dari batang-batang kayu dan ditambak dengan tanah merentangi Sungai Kubu, iaitu anak Sungai Selangor.

Begitu juga dengan pembunuhan pesuruhjaya tinggi British, Henry Gurney yang berlaku di Gap, bukit Fraser pada tahun 1951. Beliau ditembak mati oleh pihak komunis dan kereta Roll Royce yang dinaiki masa itu terdapat kesan tembakan sebanyak 35 lubang peluru. Saya bukan naik bercadang untuk mengambil balik kereta tersebut daripada Muzium Pulau Pinang tetapi kesan-kesan sejarah yang berkaitan boleh dipamerkan sekiranya terdapat Muzium Daerah Hulu Selangor. Dengan ini, saya memohon agar peruntukan Pembangunan Muzium disalurkan untuk merealisasikan Muzium Daerah Hulu Selangor.

Tuan Timbalan Speaker, terdapat sebuah rumah kerajaan yang perlu dibaikpulih iaitu Rumah Rehat Banglo Sultan Sulaiman di Bukit Frazer. Mengikut jawapan pertanyaan bertulis saya pada bulan Jun, perancangan untuk memperbaiki kerosakan besar seperti penukaran kertas dinding (wall paper), saluran air hujan (gutter), kebocoran siling, sistem pendawaian elektrik, penukaran karpet dan mengecat rumah telah dimasukkan dalam permohonan bajet bagi tahun 2015. Akan tetapi saya tidak dapat cari butiran memperbaiki Rumah Rehat Banglo Sultan Sulaiman dalam anggaran perbelanjaan 2015.

Keadaan Rumah Rehat tersebut perlu dipelihara kerana nilai sejarahnya apatah lagi tempahan untuk sewaan Rumah Rehat tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan.  Saya juga mendapat aduan bahawa “house keeping” di Rumah Rehat itu kurang memuaskan. Saya harap Kerajaan Negeri boleh mengambil berat hal ini supaya Rumah Rehat yang memang indah pemandangan ini juga memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada pengunjung.

Tuan Timbalan Speaker, saya mengakhiri ucapan saya dengan menyokong Usul Bajet Peruntukan Pembangunan 2015 yang dibentangkan. Sekian. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment