Tuesday 2 July 2013

Ucapan Ahli Dewan Negeri Selangor Kawasan Kuala Kubu Bharu, semasa membahas Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih Serta Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan DYMM Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor



Ucapan Ahli Dewan Negeri Selangor Kawasan Kuala Kubu Bharu, semasa membahas Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih Serta Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan DYMM Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada hari Selasa, 2hb Julai 2013:

Terima kasih Puan Speaker. Yang Berhormat-Yang Berhormat, pegawai-pegawai kerajaan, salam sejahtera.

Kuala Kubu Bharu mohon turut serta dalam perbahasan menjunjung kasih ke atas Titah Ucapan DYMM Sultan Selangor.

Selaras dengan titah ucapan DYMM Sultan Selangor yang menekankan kepentingan dasar prinsip tadbir urus yang baik (good governance) dalam semua pelaksanaan tugas dan proses membuat keputusan bagi negeri Selangor.

Kerajaan negeri Selangor telah mengamalkan tadbir urus yang baik, integriti dan akauntabiliti sejak 2008. Amalan ini telah mendapat sambutan yang baik di kalangan rakyat negeri Selangor dan mereka yakin amalan ini akan diteruskan lagi. Itulah antara sebabnya Pakatan Rakyat menang 44 kerusi Dewan Negeri Selangor berbanding dengan 36 kerusi Dewan Negeri Selangor pada tahun 2008.

Puan Speaker, kemenangan besar Pakatan Rakyat semasa PRU ke13 di negeri Selangor adalah hasil usaha gigih semua pihak untuk meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan negeri melaksanakan dasar yang telah diamanahkan. Usaha gigih mereka tidak akan sia-sia sekiranya kerajaan negeri dapat menunaikan segala janji-janji PRU ke 13.

Kuala Kubu Bharu yakin Kerajaan Negeri akan menunaikan janji-janji PRU ke 13. Akan tetapi, masa itu emas. Kerajaan negeri perlu melaksanakan janji-janji tersebut secepat mungkin untuk memberikan manfaat yang berbaloi kepada rakyat Selangor. Orang ramai mula menanya bilakah program-program yang ditawarkan di dalam manifesto Pakatan Rakyat  Selangor yang bertemakan “meneruskan kecemerlangan” untuk kebajikan golongan rakyat yang memerlukan pembelaan dan bantuan dilaksanakan. Kelewatan pelaksanaan janji-janji tersebut akan menjejaskan kredibiliti kerajaan negeri.

Puan Speaker, kemenangan kerajaan PR dalam PRU 13 bukan sahaja mencerminkan kejayaan kerajaan negeri dalam melaksanakan janji-janjinya, ia juga mencerminkan dedikasi semua pihak yang terlibat, antaranya:

i.     Kakitangan kerajaan negeri Selangor yang turut bertungkus lumus bekerjasama dengan pihak kerajaan dan ADN-ADN di pelbagai kawasan untuk sama-sama membina sebuah kerajaan negeri baru yang bersih, jujur dan berdaya saing;
ii.   Ahli-ahli majlis PBT yang sudi berkhidmat dan berkorban masa demi kebajikan dan hak rakyat Selangor;
iii. Pihak NGOs yang menyambut baik seruan kerajaan negeri Selangor dan memberikan nasihat serta sumbangan mereka samada dalam segi perundingan, penyertaan dalam jawatankuasa-jawatankuasa berkenaan dan sebagainya.

Di samping meraikan kemenangan penggal kedua kerajaan PR di Selangor, jangan pula kita lupakan pengorbanan seorang kakitangan kerajaan negeri berdedikasi yang malangnya tidak lagi bersama kita hari ini.

Pada bulan Julai ini Sdr Teoh Beng Hock telah meninggalkan kita dengan penuh tandatanya. Sdr Beng Hock yang merupakan pembantu khas EXCO negeri Selangor telah dijumpai mati pada 15hb Julai 2009 di ibu pejabat SPRM Selangor setelah hadir ke pejabat berkenaan membantu proses siasatan SPRM. Hingga ke hari ini, kematian beliau masih belum mendapat jawapan konkrit oleh kerajaan BN, sebaliknya beliau telah difitnah sebagai "membunuh diri".

Kita tahu, Sdr Beng Hock tidak membunuh diri, sebaliknya beliau telah dianiayai dan dibunuh dengan kejam sekali oleh pembunuh yang sampai sekarang masih belum diberkas dan dihukum. Kematiannya adalah disebabkan oleh penganiayaan politik kerajaan BN yang telah mempergunakan jentera kerajaan demi kepentingan politik mereka iaitu dalam cubaan menjatuhkan kerajaan Selangor PR pada masa itu.

Tahun ini adalah ulang tahun ke-4 kematian Sdr Beng Hock. Seperti tahun-tahun yang lepas, satu upacara peringatan telah dirancang oleh DAP pada 14hb Julai jam 8.30 pagi di Taman Peringatan Nirvana di Semenyih. Mari kita sama-sama menghadiri upacara berkenaan – Ahli-ahli Yang Berhormat di Dewan ini dan warga Malaysia yang prihatin dijemput untuk menunjukkan sokongan kepada keluarga mendiang Sdr Beng Hock, serta sebagai isyarat kuat kepada orang-orang yang telah menyebabkan kematian Sdr Beng Hock, bahawa kita tidak akan melupakan peristiwa ini dan kita tidak akan mengizinkan kerajaan BN terlepas dari tanggungjawab mereka yang mengakibatkan kematian sia-sia seorang pemuda yang bernama Teoh Beng Hock!

Puan Speaker,

Titah DYMM Sultan Selangor juga menyentuh dengan pembangunan berkembang ke daerah-daerah luar bandar supaya anak-anak muda tidak perlu lagi mencari pekerjaan di bandar. 

Kebanyakan anak-anak muda meninggalkan kampong mereka dan berhijrah ke bandar kerana kekurangan peluang pekerjaan di kawasan luar bandar. Kuala Kubu Bharu amat berharap program pembangunan desa telah menjadi tumpuan kerajaan negeri pada penggal kali ini bukan sahaja akan meningkatkan pendapatan per kapita penduduk kampong seperti mana dijelaskan oleh YAB Menteri Besar semalam, ia juga akan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan bagi anak-anak muda di kawasan luar bandar.

Puan Speaker, kawasan luar bandar juga terdapat banyak destinasi pelancongan yang berdaya saing yang masih lagi perlu dinaik taraf infrastukturnya dan dibangunkan. Sebagai contoh pusat pelancongan dan rekreasi yang terdapat di Hulu Selangor antaranya ialah:-

1.    Sg Inki, Kalumpang
2.    Air Terjun Semangkuk
3.    Santuari Ikan Kelah, Sg Chiling
4.    Rumah Rehat Gap
5.    Rest House Seri Berkat, Bkt Fraser
6.    Kawasan Rekreasi Sg Kedondong, Batang Kali
7.    Air Terjun Sg Sendat, Ulu Yam
8.    Taman Milenium, Kuala Kubu Baru
9.    Rest House KKB
10.Hutan Lipur Pelajaran, Sg Kedondong
11.Kolam Air Panas Hulu Tamu, Batang Kali
12.Air Terjun Serendah
13.Kolam Air Panas Kerling, Kerling
14.Tapak Sukan Lasak, Kalumpang

Malah banyak lagi pusat-pusat pelancongan dan rekreasi yang boleh diterokai di daerah Hulu Selangor dan ianya boleh memberi peluang kepada anak-anak muda mendapatkan pekerjaan dan membuka peluang-peluang perniagaan serta menaikkan ekonomi penduduk disini.

Taburan penduduk Hulu Selangor sehingga 2010 ialah 194,387 orang dimana 64,619 orang adalah dari golongan belia. Dengan terlaksana program pembangunan desa, saya yakin dan percaya anak-anak muda akan dibela dan peluang pekerjaan akan lebih terjamin dengan aktiviti-aktiviti rekreasi dan perlancongan.

Antara program pembangunan desa yang boleh dibuat adalah semua tempat-tempat rekreasi perlancongan perlu dibekalkan dengan kemudahan asas seperti jalan masuk bertar, lampu, tandas, surau dan tempat persalinan serta gerai perniagaan yang sesuai agar pengguna lebih selesa dan selamat. Hari ini di dalam surat khabar Sinar Harian di ruangan Hulu Selangor muka surat 44, yang bertajuk “Kolam Air Panas Terpinggir” yang terletak di belakang Maktab Polis Kuala Kubu Bharu, Taman Sinar Harapan perlu diambil tindakan sewajarnya dan diberi kemudahan asas dan jalan masuk untuk mudah dikunjungi oleh orang ramai.

Akhir sekali, Kuala Kubu Bharu ingin menarik perhatian pihak kerajaan negeri  agar lebih banyak peruntukan di salurkan kepada Hulu Selangor untuk pembangunan desa dan Kuala Kubu Bharu menawarkan diri sedia membantu kerana Kuala Kubu Bharu terletak di dalam daerah Hulu Selangor bagi menjayakan program ini. Kuala Kubu Bharu berharap pihak kerajaan negeri akan mengambil berat penawaran ini demi kesejahteraan hidup penduduk serta membuka peluang pekerjaan dan perniagaan di Selangor.

Sekian, Kuala Kubu Bharu menyokong titah ucapan DYMM Sultan Selangor


No comments:

Post a Comment