Monday 8 July 2013

Meminta kerajaan Selangor di bawah semangat ‘Go Rural’ untuk merangkakan lebih banyak rancangan pembangunan


1.    Puan Speaker, Kuala Kubu Bharu mohon turut serta dalam perbahasan usul yang dibawa oleh Yang Berhormat Kampung Tunku, di mana usul adalah seperti yang berikut:

“Bahawa Dewan yang mulia ini meminta kerajaan Selangor di bawah semangat ‘Go Rural’ untuk merangkakan lebih banyak rancangan pembangunan berjangka pendek untuk memastikan pembangunan infrastruktur dan ekonomi di kawasan luar bandar terbela.”

Kawasan luar bandar di Selangor jauh lebih mundur dari segi pembangunan infrastruktur dan ekonomi berbanding kawasan bandar yang pesat penduduknya. Sebagai contoh kawasan luar bandar iaitu daerah Hulu Selangor yang berkeluasan 174,047 hektar iaitu sebesar negeri Melaka yang mempunyai taburan penduduk pada tahun 2010 seramai 194,387 orang dan 64,619 orang adalah dari golongan belia perlu dibangunkan untuk memastikan penduduk disini mendapat pembelaan sewajarnya.

2.    Puan Speaker, ciri-ciri luar bandar Hulu Selangor yang santai, kaya dengan kawasan rekreasi air terjun dan kolam air panas serta dikelilingi dengan tumbuhan semula jadi merupakan antara tarikan para pesara dan orang ramai untuk membeli rumah dan menetap di sini. Dengan ini, Hulu Selangor dibawah semangat “Go Rural” perlu dirangka lebih banyak rancangan pembangunan jangka pendek seperti menaik taraf infrastruktur pasar-pasar lama, dewan-dewan orang ramai serta gelanggang permainan contohnya gelanggang bola keranjang di Serendah yang telah usang. Kuala Kubu Bharu yang terletak ditengah Daerah Hulu Selangor memohon agensi-agensi kerajaan persekutuan dan swasta seperti Jabatan Alam Sekitar, SSM dan TNB “go rural”  untuk membuka pejabat dan kaunter perkhidmatan di sini bagi memudahkan orang ramai berurusan dengan mereka didalam satu kawasan. Untuk maklumat, ramai orang merunggut kerana terpaksa pergi ke Shah Alam untuk urusan pendaftaran perniagaan atau syarikat dan pergi ke Rawang untuk perkhidmatan bekalan elektrik terutama yang memerlukan kehadiran pelanggan. Begitu juga dengan Jabatan Alam Sekitar, yang cawangan yang terdekatnya terletak di daerah Gombak. Tidak ada pun cawangan di Hulu Selangor.

3.    Puan Speaker, Hulu Selangor merupakan pusat pelancongan dan rekreasi air terjun dan air panas yang terbesar di Selangor. Kuala Kubu Bharu mendapati tempat rekreasi ini tidak mendapat sambutan yang menggalakkan kerana infrastukturnya yang daif. Jesteru itu, infrastuktur seperti membina jalan masuk bertar serta kemudahan lampu dan tandas yang bersih, kutipan sampah yang kerapkali dapat meningkatkan daya tarikan dan menggalakkan pelancong berkunjung.

4.    Oleh kerana Hulu Selangor juga merupakan pusat penanaman sayur utama di Selangor. Dengan ini gerai-gerai perniagaan sayur dan tanaman boleh diwujudkan di kawasan rekreasi dan pusat pelancongan di Hulu Selangor.

5.    Puan Speaker, segala pembangunan untuk menambah baik ekonomi setempat yang dibawa haruslah bersifat lestari tanpa kompromi ke atas kualiti kehidupan generasi masa depan mahupun alam sekitar. 

6.    Kehidupan berkualiti juga dititikberatkan ke atas golongan luar bandar yang kurang bernasib baik seperti ibu-ibu tunggal yang membanting kudrat harian untuk membesarkan anak-anak dan penduduk luar bandar yang menganggur. Projek ekonomi kecil-kecilan perlu direncanakan dalam usaha untuk membantu meningkatkan pendapatan bulanan golongan ini. Prinsip yang Kuala Kubu Bharu pegang ialah memberi pancing dan mengajar mereka mengail lebih baik dari memberi mereka ikan setiap hari.

7.     Kuala Kubu Bharu amat prihatin dan menitikberatkan pembentukan persekitaran sosial di mana anak-anak kita akan membesar dan meneruskan kehidupan mereka. Justeru itu membangunkan komuniti yang makmur dan selamat buat semua warga, tak kira muda atau tua, lelaki atau wanita, merupakan di antara prioriti Kuala Kubu Bharu.

8.    Komuniti yang sihat melibatkan penambahan tapak rekreasi, taman  mini hijau untuk santai atau beriadah, lorong basikal dan pejalan kaki merupakan wawasan Kuala Kubu Bharu. Begitu juga tempat anak-anak muda beriadah dan bersukan lasak seperti mendaki gunung bersekali dengan persekitaran yang sihat di luar bandar. Dengan ini akan menjadikan kawasan luar bandar lebih aman, menarik, sihat dan sejuk buat penghuni dan pengunjung.

9.    Disebabkan kedudukan luar bandar di Hulu Selangor yang rendah, di mana kedapatan air bawah tanah dalam kadar satu meter dari muka bumi, bersekali dengan sistem perparitan yang tidak teratur, Kuala Kubu Bharu dan Batang Kali kerapkali berhadapan dengan banjir sewaktu musim tengkujuh.

10.                   Justeru itu, menaiktaraf infrastruktur perparitan dan kawasan tadahan banjir perlu dipercepatkan untuk menyelesaikan masalah banjir di kawasan luar bandar seperti di Hulu Selangor secara komprehensif dan bukan secara tempelan seperti sekarang ini.



11.                   Sekian, saya menyokong usul yang dibawa oleh Yang Berhormat Kampung Tunku.

No comments:

Post a Comment