Tuesday, 3 November 2015

Ucapan menyokong Usul No. 34 Tahun 2015 oleh Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong


Ucapan menyokong Usul No. 34 Tahun 2015 di bawah Peraturan Tetap 76 (5) oleh Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong di Dewan Negeri Selangor pada 20 Ogos, 2015:

Terima kasih kepada Timbalan Tuan Speaker. Saya amat setuju dengan saranan keseluruhan dan saranan sokongan dalam Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pembasmian Kemiskinan Bagi Dewan Negeri Selangor Berkenaan Dasar Pelaksanaan Perumahan Mampu Milik Dalam Membasmi Kemiskinan Di Negara Singapura . Saya ingin menyentuh tentang Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor mengenai peranan mereka dalam menyusun dan menyebarkan maklumat di pasaran hartanah seperti disebut dalam saranan sokongan yang ke-9. Di Singapura, terdapat 80% penduduknya tinggal di rumah pangsapuri yang dibina oleh HDB. Di Selangor kita tidak tahu berapa % penduduk tinggal di pangsapuri akan tetapi saya yakin tidak setinggi 80%.

Tuan Timbalan Speaker. Kerajaan negeri telah mempunyai saranan untuk membina 35 ribu unit ‘Rumah Selangorku’ menjelang tahun 2018. Besar kemungkinan 35 ribu unit ini tidak mencukupi kerana nilai ringgit jatuh, akan menyebabkan kos rumah naik dan seterusnya ramai tidak mampu membeli rumah mewah. Dengan itu mereka memohon ‘Rumah Selangorku’.

Permohonan akan bertambah kepada ‘Rumah Selangorku’ ini juga akan memberi tugas berat kepada LPHS. Mereka menerima permohonan daripada semua daerah. Pemohon daripada Kuala Kubu Bharu tidak mungkin membeli ‘Rumah Selangorku’ di Dengkil dan pemohon di Sepang tidak mungkin membeli rumah di Serendah. Begitu juga dengan pemaju. Pemaju yang bergantung pada senarai nama pemohon daripada LPHS pula mengharap daripada LPHS boleh membekalkan senarai nama pemohon dengan kadar yang segera. Alasan pemaju sekiranya mereka tidak dapat menjual projek mereka dengan cepat maka mereka akan menghadapi masalah kewangan untuk meneruskan projek tersebut.

Kita dapat lihat tanggungjawab yang amat berat yang dipikul oleh LPHS bagi memastikan kejayaan projek-projek ‘Rumah Selangorku’ untuk rakyat Selangor. Dengan ini adalah wajar kerajaan Selangor mengambil langkah bagi LPHS berfungsi dengan lebih berkesan bagi memastikan pemohon dapat ‘Rumah Selangorku’ di tempat pilihan yang sebenar. Pemaju juga tidak menghadapi kesulitan menjual “Rumah Selangorku’. Saya harap kerajaan boleh mengambil langkah yang sewajarnya.

Dengan itu saya menyokong usul ini.

No comments:

Post a Comment