Thursday 19 November 2015

Teks ucapan perbahasan Usul Bajet Peruntukan Pembangunan 2016 oleh Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong di Dewan Negeri Selangor

Teks ucapan perbahasan Usul Bajet Peruntukan Pembangunan 2016 oleh Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong di Dewan Negeri Selangor pada 11 November 2015:

Terima kasih Puan Speaker yang memberikan peluang kepada saya untuk membahas Usul Bajet Peruntukan Pembangunan 2016. Saya mulakan dengan Pembangunan Luar Bandar muka surat 178 Vot P01 Kod Projek 02005 Kemudahan Awam Desa yang diperuntukan RM5 juta dan Kod Projek 02006 Naiktaraf Jalan Kampung yang diperuntukan RM10 juta.

Saya mempunyai pandangan yang berlainan dengan Yang Berhormat Permatang kali ini. Saya ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana sentiasa berusaha untuk memastikan infrastruktur yang dinikmati oleh masyarakat luar bandar adalah setanding dengan masyarakat di bandar.

Walau bagaimanapun, saya dapati pengagihan peruntukan pembangunan desa mengikut daerah sangat tidak seimbang. Jawapan kepada pertanyaan bertulis saya yang diterima pada minggu lepas menunjukkan pada tahun 2015 ada daerah menerima peruntukan lebih daripada RM2 juta seperti kawasan Permatang dalam Daerah Kuala Selangor yang daerah ini menerima RM2.3 juta manakala ada daerah menerima kurang daripada RM1 juta seperti Daerah Kuala Langat hanya RM958,000.00 dan Daerah Hulu Selangor hanya RM654,000.00.

Jumlah untuk Daerah Hulu Selangor memang agak sedikit berbanding dengan daerah yang menerima peruntukan yang paling tinggi iaitu daerah Hulu Langat diperuntukkan RM2.85 juta. Saya harap perkara ini boleh dibetulkan pada tahun 2016 di mana Daerah Hulu Selangor diperuntukkan jumlah yang secukupnya untuk melaksanakan kerja-kerja infrastruktur terutamanya balairaya.

Untuk makluman dewan yang mulia ini, tiada kerja-kerja menaiktarafkan atau baik pulih balairaya dijalankan dengan peruntukan pembangunan desa ini pada tahun 2015. Ini bukan bermakna semua balairaya itu berada dalam keadaan yang baik. Ada banyak balairaya dalam keadaan yang agak teruk yang memang memerlukan peruntukan untuk memperbaiki. Dengan ini saya juga harap Kerajaan Negeri boleh menggunakan kaedah peruntukan MARRIS yang mana setiap DUN diminta menghantar senarai untuk kerja-kerja yang perlu dilaksanakan kepada pejabat daerah.  Ini adalah kerana setakat ini ADUN tidak pernah menerima sebarang surat daripada Kerajaan Negeri bagi mencadangkan senarai projek di bawah peruntukan Pembangunan Luar Bandar ini.

Ini berbeza dengan peruntukan MARRIS yang mana Pihak Berkuasa Tempatan akan mengadakan perbincangan khas dengan wakil setiap DUN bagi mengenalpasti senarai cadangan projek yang akan di pohon kepada pihak Kerajaan Negeri.

Puan Speaker, selain daripada itu saya juga berharap peruntukan kemudahan awam yang sebanyak RM 5 juta ini boleh digunakan untuk pembinaan lampu jalan. Saya ingin menyampaikan hasrat orang kampung kepada Kerajaan Negeri iaitu jalan kampung perlu ada lampu jalan. Saya pernah mendapat permintaan daripada satu mukim di Daerah Hulu Selangor yang memerlukan sebanyak 99 unit lampu jalan. Ini adalah permintaan satu mukim. Kalau satu Negeri Selangor memang banyak memandangkan Kerajaan Negeri telah membatalkan dasar 10 lampu jalan baru setiap tahun bagi setiap mukim.

Saya rasa permintaan lampu jalan di kawasan kampung bukan bawah jagaan JKR ataupun Pihak Berkuasa Tempatan adalah munasabah memandangkan kes samun juga berlaku di kawasan kampung sekarang. Dengan adanya lampu jalan maka penduduk kampung boleh berwaspada sekiranya terdapat orang yang tidak dikenali berada di kawasan kampung mereka.

Puan Speaker saya merujuk kepada muka surat 194, Vot P01 PK18 Kod Projek 18005 Urus Tadbir dan Pendemokrasian. Saya minta Kerajaan Negeri menggunakan peruntukan ini dengan kerjasama Pengerusi JKKK yang dilantik sebagai Pembantu Pendaftar Pemilih menggerakkan kempen pendaftaran pengundi baru dan juga membuat bantahan kepada SPR jika mendapati alamat pengundi yang dimasukkan dalam senarai tambahan pengundi itu adalah diragui.

Puan Speaker saya balik kepada muka surat 189 Vot P01 PK13 Adat Melayu dan Warisan. Saya minta penjelasan Kerajaan Negeri yang menyenaraikan lima projek tapi semuanya hanya bagi token RM10 bagi tahun 2016. Saya amat berharap Kod 13003 Pembangunan Muzium Daerah ada peruntukan yang secukupnya untuk mewujudkan satu Muzium di Hulu Selangor yang kaya dengan sejarah.

Akhir sekali satu perkara yang saya ingin bangkitkan ialah muka surat 237 Kod Projek 04801 Menaiktaraf Persimpangan dan Mengganti Jambatan di Jalan Kuala Kali – Rasa (B115) ke Laluan Persekutuan 1, Seksyen 441.00 yang mana peruntukannya juga token RM10. Saya mengucapkan terima kasih walaupun token RM10.00 kerana pertama kali Kerajaan Negeri memasukkan projek itu dalam Rancangan Malaysia Ke-11. Saya harap Kerajaan Negeri boleh melaksanakan secepat mungkin memandangkan kawasan itu sering berlaku kemalangan, saya yakin Kerajaan Negeri tidak akan menghampakan saya.


Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment