Wednesday 4 November 2015

Ucapan menyokong Usul No. 35 Tahun 2015 oleh Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong


Ucapan menyokong Usul No. 35 Tahun 2015 di bawah Peraturan Tetap 26 oleh Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong di Dewan Negeri Selangor pada 20 Ogos 2015:

Terima kasih kepada Tuan Timbalan Speaker. saya tertarik dengan hujah daripada YB Damansara Utama yang membawa usul “Bahawasanya Dewan Yang Mulia ini mengesa Kerajaan Negeri Selangor untuk memastikan bahawa unit-unit integriti di jabatan-jabatan Kerajaan Negeri Selangor diberi kuasa yang bebas sepenuhnya daripada pengaruh eksekutif untuk meningkatkan ketelusan dan kebertanggungjawab pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor” yang menyatakan Kerajaan Negeri Selangor tidak boleh menunggu Kerajaan Persekutuan untuk membuat perubahan.

Langkah proaktif untuk meningkatkan ketulusan dan kebertanggungjawab pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor perlu diambil. Selangor adalah negeri yang termaju di Malaysia. Usaha memantau terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor bagi meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan dan keberkesanan pentadbiran juga mendahului negeri-negeri lain.

Saya mengambil contoh Kerajaan Negeri Selangor telah menubuhkan Jawatankuasa Audit dan Pengurusan Korporat di semua Pihak Berkuasa Tempatan pada tahun 2009. Keistimewaan jawatankuasa tersebut ialah ia tidak melibatkan Dato’ Bandar ataupun Yang Dipertua PBT dalam jawatankuasa tersebut. Jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Ahli Majlis.  Semua PBT memenuhi keperluan yang ditetapkan dalam pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor iaitu mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Audit ini sebanyak 3 kali setahun. Pada tahun 2013 ada PBT juga mengadakan mesyuarat lebih daripada 3 kali seperti MBSA 5 kali, MPPJ 9 kali, MPAJ 4 kali, MPSJ yang bertaraf 5 bintang 12 kali, MP Sepang 5 kali, MP Selayang juga 5 kali. Ini adalah satu contoh yang baik bagaimana Negeri Selangor mendahului negeri-negeri lain untuk berusaha dalam pemantauan dan sekarang juga kita lakukannya dalam unit integriti. Cadangan YB Damansara Utama untuk membebaskan unit integriti perlu diambil berat oleh Kerajaan Negeri. Biarkan kita menjadikan Negeri Selangor ini yang paling berintegriti di Malaysia.


Itu sahaja ucapan saya, saya menyokong usul tersebut.

No comments:

Post a Comment