Monday, 25 March 2019

Ucapan menyokong Usul No. 35 Tahun 2019 oleh Ahli Dewan Negeri Selangor Kawasan Kuala Kubu Bharu


Ucapan menyokong Usul No. 35 Tahun 2019 di bawah Peraturan Tetap 76 (5) oleh Ahli Dewan Negeri Selangor Kawasan Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong di Dewan Negeri Selangor pada 25 Mac, 2019:

Terima kasih Tuan Speaker. Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pembasmian Kemiskinan Bagi Dewan Negeri Selangor (JPK-Pembasmian Kemiskinan) kerana membentangkan satu penyata berhubung dengan pekerja ladang yang begitu baik dan menyentuh hati saya. Saya amat setuju dengan kelima-lima saranan dalam Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pembasmian Kemiskinan Bagi Dewan Negeri Selangor Berhubung Pekerja Ladang.

Kawasan saya juga mempunyai banyak ladang. Pekerja ladang di kawasan saya juga menghadapi 4 isu yang sama seperti hasil lawatan JPK-Pembasmian Kemiskinan ke Ladang Sungai Tinggi dan Ladang Mary. Isu perumahan pekerja ladang sudah wujud lebih daripada 10 tahun dan Kerajaan Negeri masih lagi cuba menyelesaikan dengan sedaya upaya. Penyata ini menyentuh bekas pekerja ladang dijanjikan dengan tanah dan rumah pada zaman Barisan Nasional yang tidak ditunaikan. Saya ingin menambah maklumat bahawa terdapat 64 keluarga bekas pekerja Ladang Sungai Belata yang telah menandatangani perjanjian dengan pemaju untuk membeli rumah kos rendah pada tahun 2001. Mereka sampai sekarang masih belum mencapai persetujuan dengan pemaju baru setelah pemaju asal diliquiditasi pada tahun 2006. Saya berharap isu perumahan Ladang Sungai Belata juga diselesaikan sekali gus dengan isu perumahan bekas pekerja ladang di ladang lain.

Pengangkutan awam tidak disediakan di kawasan ladang telah menyebabkan pekerja ladang terpaksa membayar tambang bas sekolah sehingga RM100 sebulan untuk seorang anak belajar di sekolah menengah. Ini adalah satu kos yang besar kepada pekerja ladang yang hanya menerima gaji RM900 sebulan. Pekerja di Ladang Nigel Gadner dan Ladang Bukit Tagar memaklumkan kepada saya bahawa terdapat 28 orang anak mereka yang belajar di 4 buah sekolah menengah yang terletak di Bestari Jaya memerlukan bantuan kewangan. Kita tidak mahu pelajar tercicir persekolahan kerana tak mampu bayar tambang bas. Dengan ini saya mohon Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan memberikan perhatian yang serius kepada perkara ini dan mempertimbangkan peruntukan khas terhadap perkara ini.

Seperkara lagi, data Jabatan Tenaga Kerja menunjukkan pekerja asing ladang melebihi pekerja tempatan ladang di Selangor. Pekerja asing ladang adalah 3205 orang manakala pekerja tempatan adalah 2069 orang. Ini bermakna ladang di Selangor mempunyai 61% pekerja asing. 2 perkara yang perlu difikirkan iaitu adakah pekerja asing ini akan semakin bertambah dan akhirnya tiada pekerja tempatan di ladang dan adakah kita melatih anak-anak pekerja tempatan dengan kemahiran lain supaya mereka boleh bekerja di bidang lain. Saya berharap kita mengambil berat persoalan tersebut untuk menjaga kebajikan dan kepentingan pekerja ladang.    

Dengan itu saya menyokong usul ini.

No comments:

Post a Comment