Monday 25 March 2019

Kenyataan Media Pengerusi Wanita DAP Selangor merangkap ADUN Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong pada 26 Mac 2019 (Selasa)



Kenyataan Media Pengerusi Wanita DAP Selangor merangkap ADUN Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong pada 26 Mac 2019 (Selasa):

Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menconteng Pusat Khidmat ADUN Padang Lalang dengan perkataan yang berunsur provokasi, semalam.

Walaupun negara kita membenarkan kebebasan bersuara, namun ada batasnya. Oleh itu, kita perlu menghormati orang lain apabila menggunakan hak bersuara. Perbuatan menconteng yang seolah-olah “baling batu sembunyi tangan” itu bukanlah satu perbuatan yang bertanggungjawab. Mereka patut menjemput ADUN Padang Lalang Sdri Chong Eng untuk berbahas secara terbuka atau mengambil tindakan undang-undang sekiranya merasakan yang Sdri Chong Eng telah melakukan sesuatu yang menjejaskan kedudukan atau kepentingan mereka.

Rakyat Malaysia yang berbilang kaum harus sebulat suara mengutuk perbuatan yang menjejaskan keharmonian kaum. Keharmonian kaum di Malaysia telah wujud sejak kemerdekaan, namun semangat itu tercalar oleh tindakan pihak tertentu sejak kebelakangan ini. 

Saya berharap semua kaum boleh melupakan perasaan prasangka dan ketidakpuasan hati antara kaum dan belajar menyemai semangat perpaduan kaum yang telah sekian lama dipupuk oleh nenek moyang kita untuk menuju ke arah Malaysia Baharu. Marilah kita berkomunikasi dengan lebih kerap antara satu sama lain bagi mengeratkan lagi silaturahim antara kita. 

Pepatah Melayu ada menyebut "tak kenal maka tak cinta". Kita harus saling mengenal dan memahami antara satu sama lain supaya pihak tertentu tidak mempunyai ruang untuk menjejaskan keharmonian kaum yang semakin hari semakin melemah ini.

Wanita DAP Selangor menyeru seluruh rakyat Malaysia bersolidariti bersama Sdri Chong Eng bagi menolak perbuatan pihak tertentu yang cuba merosakkan keharmonian kaum di negara kita.

ADUN Kuala Kubu Bharu
Pengerusi Wanita DAP Selangor
Lee Kee Hiong

No comments:

Post a Comment