Wednesday 20 March 2019

Ucapan Ahli Dewan Negeri Selangor Kawasan Kuala Kubu Bharu di Dewan Negeri Selangor pada 20hb Mac 2019



Ucapan Ahli Dewan Negeri Selangor Kawasan Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong semasa membahas Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih Serta Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan DYMM Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada hari Rabu, 20hb Mac 2019:

Terima kasih Puan Timbalan Speaker. Tahniah atas pelantikan sebagai Puan Timbalan Speaker dan saya yakin Puan Timbalan Speaker akan terus mempertingkatkan martabat dan memelihara kewibawaan dewan yang mulia ini.

Titah ucapan DYMM Sultan Selangor pada 2 hari yang lepas amat menggembirakan rakyat Selangor. Banyak kejayaan telah dicapai bagi mengekalkan Selangor sebagai negeri yang maju. Jumlah pelaburan RM18.947 billion pada tahun 2018 merupakan tertinggi di dalam sejarah Selangor manakala pelaburan langsung asing (FDI) Selangor sebanyak RM10.837 billion adalah 13.5% daripada FDI Malaysia.

Seperti Yang Berhormat Gombak Setia, saya juga mengucapkan tahniah kepada Invest Selangor yang membawa masuk pelaburan yang begitu besar ke dalam Negeri Selangor. Kalau ada pelabur yang berminat melabur di Selangor jangan lupa memperkenalkan kawasan perindustrian di Hulu Selangor kepada mereka agar Hulu Selangor tidak ketinggalan dalam era.

Puan Timbalan Speaker, ramai Ahli Berhormat membahas titah ucapan DYMM Sultan Selangor mengenai empat atau lima buah sungai di Selangor yang tercemar dengan bahan-bahan buangan dari sisa pepejal dan sisa toksik dan menyeru Kerajaan Negeri melaksanakan penguatkuasaan yang lebih serius terhadap mereka yang melepaskan sisa-sisa buangan ke sungai. Saya pernah membangkitkan isu sampah dari luar negara yang juga dikenali sebagai sampah import di Dewan yang mulia ini pada tahun lepas. Negara China telah melarang 24 jenis sampah dari luar negara memasuki negara mereka mulai 1 Januari 2018. Ini telah menyebabkan pekilang-pekilang negara China mencari negara lain seperti Malaysia memproses sampah sedemikian. Berdasarkan kepada jawapan daripada pertanyaan mulut saya, kilang yang memproses sampah import yang berlesen di Selangor adalah sebanyak 88 buah yang mana 31 buah di Kawasan Majlis Perbandaran Klang (MPK), 35 buah di kawasan Majlis Perbandaran Selayang (MPS), 3 buah di kawasan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) dan 19 buah di kawasan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah mengambil tindakan tegas terhadap kilang-kilang yang dikenalpasti memproses sampah import secara haram. Saya mengucapkan terima kasih kepada MDHS yang mengambil tindakan secara bersepadu dengan kerjasama daripada agensi teknikal seperti Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Air Selangor, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi-agensi lain yang berkaitan untuk membuat sitaan terhadap barang-barang kilang yang memproses sisa plastik import tanpa izin iaitu Twin Brothers Sdn Bhd di kawasan Perindustrian Zurah, Rasa baru-baru ini.

Saya ingin memaklumkan kepada Dewan yang mulia ini, kilang yang disita oleh MDHS hanya mempunya jarak lebih kurang 770 meter daripada kawasan sumber air iaitu Sungai Selangor. Sungai Selangor adalah sungai yang sangat penting dalam pembekalan air terawat kepada penduduk-penduduk di Selangor. Kilang tersebut membiarkan sisa air basuhan plastik yang disalurkan ke longkang dan terus ke Sungai Selangor. Selain daripada itu, Penduduk-penduduk yang berdekatan juga sering mengadu kepada saya bahawa terdapat bau kebakaran yang tidak menyenangkan mereka terutamanya pada waktu malam. Selepas MDHS menjalankan operasi bersepadu, penduduk memaklumkan tiada lagi bau kebakaran dan udara segar seperti biasa.

Pengusaha dan pekerja kilang tersebut menghilangkan diri semasa MDHS menjalankan operasi bersepadu. MDHS telah mengeluarkan kenyataan bahawa MDHS akan mendakwa pengusaha di mahkamah sekiranya kilang tersebut didapati masih meneruskan operasi selepas proses penyitaan ini. Syabas kepada MDHS yang berani dan tegas terhadap aktiviti yang mencemarkan alam sekitar. Saya berharap MDHS akan terus komited membanteras aktiviti kitar semula plastik import di Daerah Hulu Selangor dan hanya membenarkan aktitivi tersebut beroperasi setelah mendapat kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar dan mematuhi syarat-syarat teknikal yang lain.

Puan Timbalan Speaker, titah ucapan DYMM Sultan Selangor agar kawasan-kawasan tadahan air dan hutan-hutan simpanan dikekalkan dan dipelihara dengan baik demi masa depan perlu dititikberatkan. Saya pernah membangkitkan TNB melaksanakan Projek Talian Penghantaran 500kV daripada PMU Tapah ke PMU Bentong South di Daerah Hulu Selangor dalam Dewan yang mulia ini pada tahun lepas. Projek ini melibatkan Hutan Simpanan Kekal seluas 65 Hektar di mana sebahagian besarnya adalah berbukit tinggi. Fungsi hutan ini adalah sebagai hutan tadahan air, hutan untuk perlindungan hidupan liar dan Taman Negeri Selangor atau Taman Warisan Selangor.

Saya mengucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan mengambil berat mengenai keindahan hutan, air terjun dan sungai yang mungkin terjejas semasa projek pembinaan menara merentasi hutan simpanan dan sungai.

Jabatan Perikanan Negeri Selangor merayu melalui surat pada 24 September 2018 dan susulan daripada lawatan YB Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) ke Santuari Ikan Kelah Sg Chilling pada 4 Oktober 2018 telah menyebabkan TNB mengkaji dan mencadangkan pindaan ke atas jajaran asal yang telah diluluskan sebelum ini.

Cadangan pindaan jajaran yang baru ini akan melibatkan penambahan jarak sebanyak 2.3km di dalam hutan simpanan kekal. Walau bagaimana pun berita yang baik adalah jajaran dipindah ke sebelah atas bahagian Sungai Chilling dan tidak akan melalui pinggir sungai. Saya amat berharap pihak TNB tidak melakukan penebangan pokok berkala besar di sepanjang pindaan jajaran talian yang merentasi Santuari Ikan Kelah dan hanya melaksanakan pemotongan dahan-dahan kecil sekiranya perlu sahaja.

Saya mendapat jawapan bertulis daripada Kerajaan Selangor mengenai beberapa syarat tambahan yang dikenakan bagi mengurangkan kesan negatif terhadap Hutan Simpanan Kekal. Saya menyambut baik syarat-syarat tambahan seperti penebangan kayu balak menggunakan konsep ‘potong dan tinggal’, tiada kerja-kerja penebangan kayu balak pada musim hujan, helicopter digunakan untuk kerja-kerja pemasangan menara talian penghantaran dan pihak TNB diminta untuk menyumbang kepada konservasi ikan kelah melalui Program Tanggungjawab Sosial (CSR). Saya ingin menekankan di Dewan yang mulia ini bahawa kawasan hutan simpanan kekal amat sensitif dan perlu dilindungi sepenuhnya demi keseimbangan biodiversiti. Dengan ini, saya menyeru Kerajaan Selangor sentiasa memantau pelaksanaan projek TNB ini dan tidak berkompromi dengan isu alam sekitar iaitu mengambil tindakan termasuk “stop work order” sekiranya terdapat pencemaran sungai, bencana alam berlaku akibat daripada projek TNB ini.

Puan Timbalan Speaker, perlaksanaan pembangunan sistem pelupusan dan rawatan sisa pepejal secara menyeluruh yang menggunakan teknologi sisa kepada tenaga (WTE) adalah satu langkah yang berani dan mungkin mengundang bantahan daripada golongan tertentu. Rakyat pernah membantah cadangan loji incinerator bernilai RM1.5 billion di Broga selama 5 tahun bermula pada tahun 2002. Kini terdapat rakyat membantah loji WTE di Kepong. Sebenarnya Kerajaan Selangor pernah mencuba loji WTE di Semenyih yang dinamakan loji RDF pada tahun 2004. Malangnya loji RDF terpaksa tutup kerana kegagalan menyelesaikan masalah sampah sehingga menimbulkan rungutan penduduk di Semenyih pada Oktober 2014. Kita juga tahu loji WTE di Cameron Highland, Langkawi, Tioman dan Pangkor mengalami kegagalan tetapi Selangor adalah negeri yang paling maju dengan pentadbiran yang cukup baik sejak tahun 2008. Dengan ini saya yakin loji WTE di Jeram yang akan dibina dengan nilai pelaburan RM1 billion akan memanfaatkan negeri Selangor.

Saya pernah membuat lawatan ke Neihu Incinerator Plant yang diuruskan oleh Kerajaan Bandaraya Taipei, Taiwan. Loji WTE di Neihu beroperasi pada tahun 1991 iaitu 28 tahun yang dulu dan loji tersebut sentiasa dinaiktaraf. Kini Taipei mempunyai 3 loji WTE yang boleh memproses 2850 ton sampah sehari. Oleh itu, saya yakin Kerajaan Selangor juga boleh melupuskan sampah dengan cara WTE dan tidak menjejaskan kesihatan.

Walau bagaimana pun, Saya berharap Kerajaan Selangor bukan setakat membina loji WTE tetapi juga mempunyai satu dasar yang hoslitik untuk tidak menghasilkan sampah. Aktiviti kitar semula boleh bermula dari dapur dengan tidak menggunakan perkakas makan dan minum yang guna sekali dan terus buang seperti pinggan dan cawan plastic atau kertas. Saya lihat Pihak Berkuasa Tempatan yang menggunakan banyak bag plastik semasa pembersihan awam dijalankan. Sekiranya bag plastik yang sama boleh digunakan beberapa kali maka objektif menggurangkan sampah akan tercapai.

Sekian, saya menjunjung kasih titah ucapan DYMM Sultan Selangor.

No comments:

Post a Comment