Monday 14 April 2014

Ucapan Ahli Dewan Negeri Selangor Kawasan Kuala Kubu Bharu Pada 14 Apr 2014


Teks Ucapan Perbahasan Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong mengenai Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan Pertama 2014 pada 14 April 2014.

Terima kasih Tuan Timbalan Speaker atas kesudian memberikan peluang kepada saya mengambil bahagian dalam perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan Pertama 2014.

Tuan Timbalan Speaker, sejumlah wang RM494,190,947.00 bagi menampung perbelanjaan tambahan perkhidmatan tahun 2014 ini adalah merupakan 27% daripada Belanjawan Selangor asal yang berjumlah RM1.85 billion.

Jika mengikut kebiasaan, belanjawan tambahan hanya sekitar 5% dari belanjawan asal dan tidak sepatutnya melebihi 10%. Walau bagaimanapun, kerajaan telah mengemukakan butiran terperinci berkenaan perbelanjaan tambahan ini, Kerajaan Negeri juga berkemampuan, mengamalkan dasar ketelusan dan untuk kepentingan rakyat seperti RM100 juta untuk modal pusingan Projek Rumah Mampu Milik yang dilaksanakan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Selangor (LPHS) , maka tiada alasan bagi Kuala Kubu Bharu menolak Perbekalan Tambahan Pertama 2014 yang dibentang untuk diluluskan.

Tuan Timbalan Speaker, Kuala Kubu Bharu mendapati tambahan sebanyak RM237,090,947.00 daripada B06 Caruman Kepada Kumpulan Wang Pembangunan/Hutan adalah dikehendaki untuk beberapa perkara. Ini menunjukkan Kerajaan Negeri cukup prihatin tidak seperti Kerajaan Persekutuan yang selalu menggunakan kekangan peruntukan sehingga banyak perkara dirancang tapi tidak dilaksanakan.

Antara yang saya banggakan ialah tindakan cepat Kerajaan Negeri untuk melaksanakan projek pembinaan Jambatan Ketiga Klang sepanjang 2 kilometer bagi mengatasi kesesakan lalulintas di jambatan sedia ada. Projek ini sepatutnya dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan. Malangnya Kerajaan Persekutuan mengabaikan tanggungjawabnya untuk mengatasi masalah kesesakan lalulintas.

Kuala Kubu Bharu ingin memaklumkan kepada dewan yang mulia ini, perkara ini bukan sahaja berlaku di Klang, Kerajaan Persekutuan juga tidak berniat untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalulintas di Jalan Persekutuan 1 dari Rawang ke Tajung Malim. Mengikut hansard Parlimen Malaysia pada 27 Jun 2012, Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Dato' Yong Khoon Seng menjawab soalan Ahli Parlimen Hulu Selangor, YB Tuan P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan mengenai cadangan projek menaik taraf Jalan Persekutuan tersebut adalah seperti berikut:

“Mengenai cadangan projek menaik taraf Jalan Persekutuan 1 dari Rawang ke Tanjung Malim, projek tersebut sememangnya termasuk dalam perancangan kerajaan untuk dinaikkan taraf. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, skop projek itu ialah menaik taraf jalan sedia ada dari dua lorong dua hala (single carriageway) kepada empat lorong dua hala (dual carriageway). Dengan reka bentuk piawaian JKR R5. Anggaran kos projek ialah sebanyak RM350,000,000. Sehubungan itu pada masa kini Kementerian Kerja Raya sedang berbincang dengan agensi pusat untuk membolehkan kerja-kerja awalan dan reka bentuk projek berkenaan dilaksanakan terlebih dahulu dalam tempoh rolling plan ketiga Rancangan Malaysia Kesepuluh.”

Jawapan ini sedap didengar dan macam ada harapan. Setahun kemudian iaitu selepas saya dipilih sebagai Ahli Dewan Negeri bagi kawasan Kuala Kubu Bharu pada bulan Mei yang lalu, saya bertanya di dewan yang mulia ini berkaitan dengan Jalan Persekutuan 1 dari Rawang ke Tanjung Malim pada bulan Jun 2013. Pertanyaan bertulis dan jawapan yang diperolehi adalah seperti berikut:

“ (a) Apakah cadangan JKR Selangor untuk membantu menjamin keselamatan pengguna jalan raya dari Pekan Rasa keluar ke Jalan Persekutuan 1 Tanjung Malim – Rawang?

Jawapan: Pihak JKR sedang membuat kajian dan akan membuat rekabentuk terperinci dan ianya dijangka akan dilaksanakan pada tahun hadapan.

(b) Apakah cadangan JKR Selangor untuk membantu menyelesaikan kesesakan Jalan Persekutuan 1 Tanjung Malim – Rawang ke Genting Highland?

Jawapan: Pihak JKR telah memohon peruntukan dari pihak Agensi Pusat untuk melaksanakan kerja-kerja menaiktaraf Jalan Persekutuan FR01 dari Tanjung Malim ke Rawang di dalam Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10). Walau bagaimana pun permohonan tersebut telah tidak diluluskan. Pihak JKR akan terus berusaha untuk mendapatkan peruntukan tersebut dari pihak Agensi Pusat sama ada melalui kelulusan khas ataupun di dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) ”

Tadi YB Batang Kali mengatakan Rolling Plan Keempat Rancangan Malaysia Kesepuluh ada melaksanakan banyak projek. Saya ingin maklumkan pertanyaan bertulis saya dan jawapan yang diperolehi pada sidang ini:

Adakah JKR Selangor merancang untuk menaiktaraf jalan-jalan di Bukit Fraser bahagian Negeri Selangor yang berlubang-lubang sedangkan jalan-jalan di bahagian Negeri Pahang telah dinaiktaraf oleh pihak JKR negeri tersebut sejak tahun 2012?

Jawapan: Untuk makluman, pihak JKR telah memohon sebanyak 40 jalan-jalan Persekutuan di dalam Negeri Selangor untuk dibaikpulih ataupun dinaiktaraf di dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK -10). Malagnya, oleh kerana kekangan peruntukan di pihak Kerajaan Persekutuan dan juga terdapatnya keperluan mendesak di sektor-sektor lain, maka kebanyakan projek tersebuk telah tidak diluluskan.

Jawapan daripada Parlimen dan Dewan Negeri Selangor menunjukkan Kerajaan Persekutuan tidak meluluskan cadangan naik taraf Jalan Persekutuan 1 dari Rawang ke Tanjung Malim dan jalan-jalan persekutuan yang lain dalam rolling plan ketiga dan rolling plan keempat Racangan Malaysia Kesepuluh. Dengan ini, saya membuat kesimpulan bahawa rakyat Selangor tidak didahulukan oleh Kerajaan Barisan Nasional.

Kerajaan Barisan Nasional boleh memperuntukan RM476.19 juta semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, Terengganu tetapi tidak meluluskan RM350 juta untuk satu permohonan yang bukan sahaja boleh mengatasi kesesakan lalulintas tetapi juga menjana pembangunan ekonomi Hulu Selangor dan menarik pelaburan.

Walaupun Ahli Parlimen Hulu Selangor telah dilantik sebagai Timbalan Menteri selepas PRU 13, Tuan Timbalan Speaker, rakyat Hulu Selangor tidak nampak apa-apa usaha yang dilakukan untuk menaiktaraf Jalan Persekutuan 1 tersebut oleh Kerajaan Persekutuan. Dengan ini, saya terpaksa minta jasa baik Kerajaan Negeri demi kepentingan rakyat Hulu Selangor mempertimbangkan cadangan naik taraf Jalan Persekutuan 1 dari Rawang ke Tanjung Malim selepas selesai pembinaan Jambatan Ketiga Klang.

Biarlah kita mengambil alih tugas Kerajaan Persekutuan dengan mengambil berat masalah rakyat Hulu Selangor dan saya percaya rakyat Hulu Selangor akan membantu kita hancurkan Barisan Nasional sekiranya Kerajaan Negeri yang menaiktarafkan Jalan Persekutuan tersebut. Jika ini berlaku di PRU 14, maka saya akan mempunyai rakan seperjuangan dan bukan lagi merupakan wakil rakyat tunggal Pakatan Rakyat di Hulu Selangor.


Sekian.  Saya menyokong Perbekalan Tambahan Pertama 2014.

No comments:

Post a Comment