Wednesday 9 April 2014

Ucapan Ahli Dewan Negeri Selangor Kawasan Kuala Kubu Bharu Pada 09 Apr 2014


Ucapan Ahli Dewan Negeri Selangor Kawasan Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong semasa membahas Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih Serta Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan DYMM Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada hari Rabu, 9hb April 2014:

Terima kasih Puan Speaker. Ahli-ahli yang berhormat, salam Selangorku.

Kuala Kubu Bharu mohon turut serta dalam perbahasan menjunjung kasih ke atas Titah Ucapan DYMM Sultan Selangor.

Titah Ucapan DYMM Sultan Selangor yang mengingatkan tugas Kerajaan Negeri sekarang bukan sahaja untuk mengekalkan kedudukan Selangor sebagai negeri metropolitan termaju di Malaysia, tetapi juga menjadikan Selangor sebagai antara negeri yang paling selesa dan selamat dikunjungi dan diduduki perlu dihayati dengan mendalam.

Tidak dapat dinafikan bahawa Selangor adalah negeri termaju dan akan terus maju di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat. Rakyat yakin Kerajaan Selangor akan terus mengamalkan tadbir urus yang baik, integriti dan akauntabiliti.

Walau bagaimanapun, Ahli EXCO Kerajaan Selangor perlu membuktikan pegangan kukuh pada prinsip tadbir urus yang baik. Salah satu cara untuk membuktikannya ialah mengisytiharkan harta mereka secara terbuka.

Pada 30 Mei 2013 yang lalu, Media Selangorku melaporkan Kerajaan Negeri akan mengarahkan semua Exco Selangor membuat pengsytiharan harta sebelum sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) dimulakan. Akan tetapi hampir satu tahun laporan tersebut disiarkan, masih tidak ada sebarang berita bahawa Exco Selangor membuat pengsytiharan harta secara terbuka.

Pada halnya, pengisytiharan harta telah disarankan sebagai salah satu indikator untuk menilai ketelusan bahagian Eksekutif sesebuah kerajaan oleh Transparency International yang tertulis dalam Transparency International Souce Book 2000 bab ke 7. Sekiranya EXCO Selangor mengambil berat saranan ini dan melaksanakannya maka pentadbiran Kerajaan Selangor akan menuju ke arah bertaraf dunia pertama.

Kuala Kubu Bharu juga mencadangkan agar Kerajaan Selangor menginstitusikan dasar pengisytiharan harta ini melalui suatu enakmen negeri bagi memastikan legasi tadbir urus yang baik akan berkekalan di Selangor.

Puan Speaker, negeri yang termaju dan akan terus maju ini perlu juga mempunyai barisan pimpinan yang mencukupi di semua peringkat demi mencapai tahap sebagai negeri yang paling selesa dan selamat dikunjungi dan diduduki.

Apa yang berlaku sekarang ialah terdapat jawatan Ahli Majlis PBT belum diisi dengan sepenuhnya. Walaupun Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) seksyen 10 memperuntukan bahawa sebuah PBT boleh berfungsi dengan tidak kurang daripada 8 anggota Ahli Majlis, akan tetapi kita tidak dapat menafikan bahawa usaha gigih 8, 12, 16 atau 20 anggota Ahli Majlis sahaja tetap jauh berbeza hasilnya berbanding dengan usaha gigih 24 anggota Ahli Majlis. Selangor yang termaju ini memerlukan Ahli Majlis yang maksimum untuk merancang dan memantau pelbagai perkhidmatan PBT yang akan memberikan keselesaan dan keselamatan kepada pembayar cukai taksiran.

Dengan ini, Kuala Kubu Bharu berharap setiap PBT di Selangor dapat diisi dengan 24 anggota Ahli Majlis seperti mana seksyen 10 Akta 171 yang membenarkan dengan secepat mungkin. Sebarang kelewatan perlantikan Ahli Majlis akan menjejaskan usaha kita menjadikan Selangor negeri yang paling selesa dan selamat.

Begitu juga dengan ketua kampung ataupun pengerusi JKKK yang merupakan barisan pimpinan di peringkat kampung atau bagan. Seperti dalam titah ucapan DYMM Sultan Selangor, mereka juga dikehendaki berusaha dengan jujur dan tekun bagi menjayakan pelbagai program dan aktiviti yang dirancang. Sekiranya terdapat perletakan jawatan pengerusi JKKK, maka Kerajaan Selangor haruslah melantik pengerusi JKKK yang baru secepat mungkin untuk menjalankan tugas bukanlah dibiarkan kosong sahaja sehingga berbulan-bulan lamanya.

Puan Speaker, Kuala Kubu Bharu memang menyokong sepenuhnya mengambil alih empat syarikat air di Selangor dan Projek HORAS dilaksanakan untuk memastikan rakyat Selangor akan mendapat bekalan air yang berterusan dengan kadar tarif yang munasabah. Walaupun proses pengambilalihan ini belum selesai dan banyak taksiran lagi, Kuala Kubu Bharu berharap Kerajaan Negeri boleh menuju satu langkah ke hadapan dengan memulakan kerja-kerja kajian mengenai pertukaran paip-paip perhubungan yang berkarat. Kita akan menghadapi 2 scenario iaitu:
1)    Kerajaan negeri melakukan kerja penukaran paip-paip perhubungan tersebut terutama di luar bandar sebaik sahaja penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Negeri Selangor selesai;
2)    Seandainya penstrukturan semula industri perkhidmatan air tidak berjaya, Kerajaan negeri mengadakan satu peruntukan tambahan untuk menukarkan paip-paip perhubungan.

Sebagai kerajaan yang berkebajikan dan prihatin, pertukaran paip perhubungan di luar bandar perlu diberikan keutamaan. Kebanyakan kawasan luar bandar masih menggunakan paip perhubungan bekalan air jenis GI 20mm yang usianya melebihi 50 tahun. Paip tersebut mudah pecah dan selama ini tindakan SYABAS ialah mengawal tekanan air untuk mengurangkan kes paip pecah. Akibat daripada kawalan ini maka penduduk kawasan tersebut tidak dapat menikmati bekalan air yang mencukupi untuk kegunaan biasa sepanjang masa walaupun mereka tidak terlibat dalam program pencatuan bekalan air yang berlaku sekarang.

Tidak dapat dinafikan perkara yang hangat dibincangkan oleh rakyat Selangor sekarang ialah bilakah program pencatuan bekalan air akan tamat. Kita sebagai wakil rakyat tidak dapat memberikan satu jawapan yang boleh menyakinkan rakyat apabila ditanya selain daripada mengatakan ia bergantung kepada hujan yang turun di kawasan empangan dan tadahan air.

Akan tetapi apa yang rakyat ketahui ialah kehilangan air yang tidak berhasil (NRW) kerana kebocoran paip masih berlaku. Oleh kerana program pencatuan bekalan air, maka rakyat mula mengambil berat terhadap NRW yang berada pada peratusan yang tinggi. SYABAS telah mengambil masa lebih daripada 9 tahun tetapi tidak dapat menyelesaikan masalah NRW ini. Mereka berminat tahu Kerajaan Negeri akan mengambil masa berapa lama untuk mengatasi masalah operasi ini.

Dengan ini, Kuala Kubu Bharu mencadangkan Kerajaan Negeri mengemukakan kepada rakyat pelan tindakan pengurangan NRW yang akan dilakukan walaupun penstrukturan semula industri perkhidmatan air belum selesai. Kerajaan Negeri perlu membuktikan bahawa ia mampu menjadikan Selangor sebagai negeri yang paling selesa dan selamat dikunjungi dan diduduki dan tidak akan ada program pencatuan air pada masa akan datang.

Puan Speaker, saya juga setuju dengan kenyataan Sekinchan iaitu jangan duduk di bilik hawa dingin membuat keputusan, turun padang juga walaupun tiada pilihanraya kecil. Saya mengambil contoh satu masalah di kawasan DUN Kuala Kubu Bharu iaitu Projek Pembesaran Kampung Ampang Pecah yang dilancarkan 20 tahun dahulu dan kini lebih dikenali sebagai projek Taman Desa Bukit Bujang. Isu pembangunan 96 unit rumah dan infrastuktur yang hampir 95% siap telah dibentangkan di MTES pada 3 April 2013. Setahun sudah berlalu, mesyuarat demi mesyuarat di Shah Alam tetapi masih belum dapat menyelesaikan isu ini.

Saya minta pihak yang akan membuat keputusan terhadap isu ini turun padang sendiri untuk merasai keadaan projek yang hampir 95% siap ini. Langkah demikian ada kemungkinan besar boleh mendapat idea yang baru untuk menyelesaikan isu ini. Ia adalah jauh lebih baik bergantung kepada laporan sahaja untuk membuat keputusan.

Sekian, Kuala Kubu Bharu menjunjung kasih titah ucapan DYMM Sultan Selangor.

No comments:

Post a Comment