Friday 29 July 2022

Ucapan Perbahasan Ahli Dewan Negeri Selangor Kawasan Kuala Kubu Bharu bagi Usul Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021-2025 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 29 Julai 2022


Ucapan Perbahasan Ahli Dewan Negeri Selangor Kawasan Kuala Kubu Bharu Lee Kee Hiong bagi Usul Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021-2025 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 29 Julai 2022.

Terima kasih kepada Tuan Speaker yang memberikan peluang kepada saya menyertai perbahasan Usul Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021-2025 di dewan yang mulia ini.

Saya ucapkan tahniah kepada Dato' Menteri Besar yang telah membentangkan RS-1 menjadikan Selangor sebagai negeri yang pertama merangka pelan pembangunan lima tahun.

Saya ingin menyentuh 4 tumpuan yang dirangka dalam buku RS-1. Pertama, saya lihat sektor tumpuan pelancongan yang ada satu peta menyatakan kepelbagaian aktiviti pelancongan di Selangor pada mukasurat 65. Antaranya adalah Tapak Warisan Kuala Kubu Bharu. Saya mengucapkan terima kasih kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor yang mengindahkan Tapak Warisan Kuala Kubu Bharu. Saya ingin memaklumkan dewan yang mulia ini bahawa Pekan Kuala Kubu Bharu penuh dengan lukisan mural.

Baru-baru ini, pelukis Orang Asli yang terkenal Shaq Koyok dan abangnya Ramlan Koyok dijemput untuk menghasilkan karya bertema “Kehidupan Masyarakat Asli Temuan” di dinding lorong belakang Jalan Dato Muda Jaafar. Lukisan mereka akan menjadi mural budaya Orang Asli yang pertama di Malaysia. Saya mencadangkan Kempen Pusing Selangor mempromosikan mural tersebut supaya orang awam lebih memahami kehidupan dan budaya Orang Asli Temuan.

Saya mendapati isu dan cabaran sains hayat yang tertulis dalam buku RS-1 memang tepat menunjukkan keadaan semasa iaitu kekurangan bakat kemahiran dan kekurangan dana mengakibatkan kekurangan inovasi. Adakah strategi yang dirangka boleh mengatasi isu dan cabaran yang dihadapi?

Pada pandangan saya, peranan S-BIOCO adalah sangat penting. Saya mencadangkan S-BIOCO memberi geran kepada pasukan penyelidikan bagi tujuan inovasi.

Tuan Speaker, program khas kerjasama makmal adalah satu inisiatif yang amat baik. Saya mengambil contoh di negara China. China Pharmaceutical University (CPU atau disebut 中国药科大学) yang kerjasama dengan 10 syarikat besar di mana syarikat tersebut memberikan biasiswa kepada pelajar yang terpilih. Dengan cara tersebut, syarikat-syarikat tersebut akan berterusan mempunyai bakat untuk bekerja dalam “drug discovery”. Semua hasil penyelidikan juga boleh digunakan secara komersial dengan senang. Saya juga ingin memaklumkan kepada dewan yang mulia ini bahawa CPU juga bekerjasama dengan UiTM. Kedua-dua universiti tersebut telah menandatangani MoU. Dengan ini, saya yakin program khas kerjasama makmal akan meningkatkan daya saing negeri Selangor yang pintar, berdaya huni dan makmur.

Agroteknologi merupakan salah satu sektor tumpuan dalam RS-1. Kesuburan tanah adalah satu perkara asas dalam bidang sains tanah dan sektor pertanian. Dengan ini, Kerajaan Selangor perlu pandang serius terhadap tanah dan saya mencadangkan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menghasilkan lebih banyak baja bio organik untuk menggantikan baja kimia. Saya ingin memaklumkan kepada dewan yang mulia ini bahawa Indonesia telah melarang penggunaan baja kimia secara berperingkat. Mereka melatih 1 juta petani menanam dengan cara organik sejak tahun 2000. India pula menggalakkan petani mereka menggunakan baja bio dan racun serangga bio melalui skim subsidi di mana petani boleh dapat re-imbursement dengan menunjukkan bukti termasuk resit membeli. Selangor patut menjadi negeri pertama yang 100% menggunakan baja bio organik bawah RS-1.

Selain daripada itu, Kerajaan Selangor perlu menggalakkan anak muda yang lebih mudah menyesuaikan diri dalam dunia teknologi menceburi sektor pertanian. Agrobank mengadakan skim pembiayaan sehingga RM500,000 kepada usahawan tani muda. Kerajaan Selangor tidak mempunyai bank tetapi mempunyai RS-1. Saya yakin Kerajaan Selangor juga boleh membantu usahawan tani muda dari segi modal dan teknologi untuk memperkukuhkan keselamtan makanan Malaysia.

Akhirnya, saya ingin memberikan pandangan mengenai wanita, keluarga dan komuniti yang merupakan bidang tumpuan RS-1. Saya amat bangga dengan dewan yang mulia ini. Sepanjang 9 tahun saya selaku Ahli Dewan Negeri Selangor yang mewakili rakyat Kuala Kubu Bharu, tidak pernah ada seorang Ahli Dewan Negeri mengeluarkan perkataan yang menghina wanita atau tidak menghormati wanita seperti di Parlimen.

Baru-baru ini Parlimen kecoh kerana terdapat seorang Ahli Parlimen yang sangat tidak menghormati wanita. Beliau menggunakan perkataan bermula dengan “P” dalam sesi perbahasan RUU Anti Gangguan Seksual.

Keadaan yang berlainan pula di dewan yang mulia ini. Ahli Dewan Negeri lelaki bukan sahaja menghormati wanita malah menyokong segala usaha Kerajaan Selangor untuk memperkasakan wanita. Marilah kita memupuk kesedaran terhadap kesaksamaan gender demi kesejahteraan.

Saya dan rakan-rakan wanita dalam dewan yang mulia ini akan sentiasa memastikan10 program dan inisiatif yang telah digariskan dalam bidang wanita, keluarga dan komuniti di buku RS-1 dilaksanakan dengan baik.

Sekian. Saya menyokong usul ini.

No comments:

Post a Comment