Tuesday 7 December 2021

Ucapan perbahasan ADUN Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong ketika Rang Undang-undang mengenai Enakmen Majlis Perbandaran Hulu Selangor 2021 dibentangkan dalam Dewan Negeri Selangor pada 7 Disember 2021



Ucapan perbahasan ADUN Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong ketika Rang Undang-undang mengenai Enakmen Majlis Perbandaran Hulu Selangor 2021 dibentangkan dalam Dewan Negeri Selangor pada 7 Disember 2021:

Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua warga Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) atas status Majlis Perbandaran. Saya menanti-nantikan perkhidmatan yang cemerlang daripada MPHS.

Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) yang kini telah bertaraf Majlis Perbandaran mempunyai sumber kewangan yang kukuh. MDHS telah membentangkan Belanjawan lebih RM100 juta berturut-turut dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Saya yakin MPHS akan terus mencecah RM100 juta pada tahun yang akan datang. Dengan ini, saya ingin membangkitkan 2 perkara dalam dewan yang mulia ini.

Pertama, tempoh perkhidmatan seorang Tuan Yang DiPertua (YDP) di MPHS. Sejak tahun 2013, tempoh perkhidmatan seorang YDP di MDHS adalah sangat singkat. Ada yang cuma berkhidmat berapa bulan sahaja. Saya tidak mempersalahkan Kerajaan Negeri atau YDP kerana naik pangkat seorang penjawat awam. Namum, JPA perlu memberi kelulusan yang cepat kepada YDP baru yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri setelah YDP sedia ada naik pangkat dan tukar ke tempat lain. Ini membolehkan YDP baru mula bertugas dan MPHS tidak mempunyai tempoh yang lama tanpa YDP.

Kedua, MPHS perlu mengambil perhatian mengenai landskap di kawasan bawah kawal selia mereka setelah bertaraf Majlis Perbandaran. Ini adalah penting supaya Hulu Selangor selalu indah dan menarik pelancong. Saya harap MPHS boleh memberi peruntukan yang banyak untuk melaksanakan kerja-kerja landskap termasuk membeli tumbuh-tumbuhan dan mengupah perunding bagi menghasilkan reka bentuk yang membanggakan rakyat Hulu Selangor. Ini juga setanding dengan status Majlis Perbandaran.

Sekian. Saya sokong Enakmen Majlis Perbandaran Hulu Selangor 2021.

No comments:

Post a Comment