Wednesday 8 November 2017

Ucapan Perbahasan Belanjawan Negeri Selangor Tahun 2018 Peringkat Dasar oleh ADN Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong pada 7 November 2017

Ucapan Perbahasan Belanjawan Negeri Selangor Tahun 2018 Peringkat Dasar oleh ADN Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong pada 7 November 2017 (Selasa) di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam:

Terima kasih kepada Puan Speaker atas peluang yang diberikan kepada saya untuk turut serta dalam perbahasan Ucapan Belanjawan 2017 Negeri Selangor yang dibentangkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar.

Puan Speaker, Dato’ Menteri Besar yang bersedia membelanjakan sejumlah RM3.12 billion pada tahun 2018 bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan yang menjamin kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat pasti akan mendapatkan sambutan yang amat baik di kalangan rakyat Selangor.

Saya mempunyai pandangan yang sama dengan YB Ijok iaitu peratusan belanja adalah penting. Dato’ Menteri Besar sekali lagi membentangkan satu belanjawan yang mana peratusan Belanja Pembangunan melebihi Belanja Mengurus. Belanja Pembangunan sebanyak 53.2 peratus bukan sahaja merupakan kenaikan sebanyak 1 peratus berbanding dengan tahun 2017 tetapi jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan Bajet Kerajaan Persekutuan yang mana Belanja Pembangunan hanya 16.4 peratus. Saya tidak faham kenapa Kerajaan Persekutuan hanya membelanjakan sebahagian yang sangat kecil wang rakyat untuk pembangunan. Adakah Belanja Pembangunan sedikit memang merupakan amalan seorang Kleptokrat? YB Permatang yang buat sidang media di luar dewan tadi boleh buat sekali lagi bagi menjelaskan Belanja Pembangunan Kerajaan Persekutuan yang hanya 16.4 peratus ini.

Tahniah dan syabas kepada Dato’ Menteri Besar atas Belanja Pembangunan yang tinggi tetapi tidak menjejaskan Belanja Mengurus. Dato’ Menteri Besar sanggup memberikan bantuan khas kewangan sebanyak 3 bulan gaji kepada anggota perkhidmatan awam Negeri Selangor telah menciptakan satu rekod baru di Selangor. Anggota perkhidmatan awam Negeri Selangor tidak pernah menerima  bonus yang begitu tinggi daripada Kerajaan Selangor sebelum ini. Zaman Barisan Nasional (BN) memerintah Selangor pun membayar bantuan khas kewangan juga tetapi yang tertinggi hanya 1.5 bulan gaji sahaja.

Puan Speaker, Belanjawan 2018 yang dibentangkan oleh Dato’ Menteri Besar juga mengambil kira faktor-faktor sosioekonomi rakyat yang turut menyentuh keperluan golongan wanita.

Saya ingin menumpukan fokus kepada inisiatif Kerajaan Negeri dalam memperkasakan kaum wanita di Negeri Selangor. Agenda wanita adalah agenda masyarakat. Seiring dengan belanjawan yang dibentangkan oleh Dato’ Menteri Besar, kita dapat melihat bahawa Kerajaan Negeri menghargai dan mengakui peranan utama golongan wanita di Negeri Selangor.

Peranan dan potensi wanita sebagai pemimpin perlu diberi perhatian. Menurut United Nations Development Report, penyertaan wanita dalam bidang legislatif merupakan salah satu daripada tiga keadah untuk menilai pemerkasaan wanita.
Dengan penyertaan wanita yang mencukupi, perubahan yang menuju kepada kesaksamaan gender boleh direalalisasikan.

Baru-baru ini, perkara ini dibangkitkan oleh beberapa orang Ahli Parlimen, di mana Kerajaan Persekutuan didesak untuk mewajibkan sekurang-kurangnya 30% wanita dalam komposisi Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri yang lain. Negeri Selangor telah sekali lagi menonjolkan diri sebagai sebuah negeri termaju, progresif and inklusif yang mana penyertaan golongan wanita Selangor sebagai pembuat keputusan adalah tertinggi berbanding dengan Badan Legislatif yang lain di Malaysia. Dewan Negeri Selangor diwakili hampir 30% Ahli Dewan Negeri Wanita dan menjadi satu contoh yang maju, progresif dan inklusif kepada Parlimen Malaysia dan Dewan Undangan Negeri yang lain dalam merealisasikan sasaran ini.

Hasil daripada kajian menunjukkan bahawa Dewan Rakyat mempunyai 10% wakil rakyat wanita. Manakala wakil rakyat wanita di Dewan Undangan Negeri Perlis adalah 13%, Dewan Undangan Negeri Kedah adalah 11%, Dewan Undangan Negeri Kelantan adalah 7%, Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang adalah 12%, Dewan Undangan Negeri Perak adalah 10%, Dewan Undangan Negeri Sembilan adalah 5%, Dewan Undangan Negeri Sabah adalah 5%, Dewan Undangan Negeri Sarawak adalah 9%, Dewan Undangan Melaka adalah 7%, Dewan Undangan Negeri Johor adalah 14%. Terdapat satu Dewan Undangan Negeri iaitu Dewan Undangan Negeri Terengganu tidak mempunyai wakil rakyat wanita.

Saya berharap penyertaan wanita yang tinggi di Dewan Negeri Selangor boleh terus dikekalkan pada Penggal Sidang yang akan datang manakala penyertaan wanita di Parlimen Malaysia dan Dewan Undangan Negeri yang lain akan bertambah lagi.

Saya juga berharap Kerajaan Negeri boleh melaksanakan dengan secepat mungin kuota minimum 30% perwakilan wanita di setiap peringkat kepimpinan, sama ada di peringkat penjawat awam, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Lembaga Pengarah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Badan Berkanun dan sebagainya. Saya ingin memaklumkan Dewan yang mulia ini, kuota 30 peratus juga merupakan salah satu pelan tindakan yang terkandung dalam matlamat yang keempat Dasar Wanita Selangor.

Puan Speaker, saya menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri mewujudkan Pusat Wanita Berdaya (PWB) yang telah membantu meningkatkan taraf hidup golongan wanita pada peringkat akar umbi di Negeri Selangor. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi perhargaan kepada Dato’ Menteri Besar yang meningkatkan peruntukan setiap PWB daripada RM 30 ribu setahun kepada RM 50 ribu setahun.

Kejayaan PWB dalam masyarakat tidak dapat dinafikan. Program pemberdayaan golongan wanita yang dianjurkan oleh PWB telah memberi manfaat kepada lebih daripada 30,000 wanita setiap tahun.

Di sini, saya ingin mengemukakan satu cadangan kepada Kerajaan Negeri supaya PWB dapat berkembang maju dan mencapai matlamat sepenuhnya.

Cadangan saya ialah satu mekanisme tertentu perlu diwujudkan bagi memastikan kualiti dan rangka kerja program-program PWB diselaraskan di setiap DUN. Ini adalah kerana setiap individu wanita mempunyai potensi dan kemahiran yang unik. Oleh itu, program-program yang dilaksanakan hendaklah bersifat inklusif serta mencerminkan peranan wanita dalam masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang ataupun sosio ekonomi dan membantu wanita meningkatkan pendapatan isi rumah. Buat masa kini, saya mendapati kebanyakan program PWB hanya menumpukan kepada beberapa bidang sahaja, seperti kelas masakan dan jahitan.

Puan Speaker, saya juga merakamkan tahniah kepada Kerajaan Negeri atas penubuhan Institut Wanita Berdaya (IWB) pada bulan lepas. Pihak IWB telah berjaya merangkakan Dasar  Wanita Selangor dan Pelan Tindakan (2017 – 2020) yang terdiri daripada lima titik tumpuan dan tujuh matlamat serta lima program utama untuk merencana pembangunan wanita secara holistik.

IWB memainkan peranan yang penting untuk meningkatkan martabat kaum wanita serta mewujudkan keadilan sosial dalam masyarakat. Kini, IWB boleh bertindak sebagai penyelaras semua program PWB. Tindakan ini akan memudahkan IWB mengkaji keperluan serta menetapkan satu piawaian yang komprehensif bagi program PWB di setiap DUN selaras dengan Dasar Wanita Selangor. Saya berharap piawaian ini juga termasuk satu program khas yang menawarkan kursus latihan vokasional oleh pakar-pakar yang mempunyai kemahiran dalam bidang tertentu untuk membantu golongan ibu kembali semula ke dalam pasaran kerja.
Selain daripada itu, saya ingin mencadangkan supaya IWB mengadakan perbincangan dengan semua Ahli Dewan Negeri secara berkala agar keperluan wanita di peringkat akar umbi dapat dikenal pasti dengan tepat.

Puan Speaker, Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, pada tahun 2016, hanya 54.3% wanita yang berumur antara 15 dan 64 (definisi umur bekerja) berada dalam tenaga kerja di Malaysia.

Ini jelas menunjukkan bahawa kebanyakan wanita di Malaysia tidak mempunyai kuasa ekonomi yang kukuh. Oleh itu, saya berharap Kerajaan Negeri dapat mewujudkan dasar-dasar ekonomi yang menggalakkan keusahawanan dan pemilikan aset di kalangan wanita.

Antara inisiatif-inisiatif keusahawanan yang boleh memanfaatkan wanita adalah termasuk:

1. Menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Malaysia, hanya 19.7% usahawan kecil dan sederhana (Small Medium Enterprise  - SME) dimiliki oleh wanita. Oleh itu, pelan tindakan untuk menubuhkan koperasi wanita sepertimana yang digariskan dalam Dasar Wanita Selangor perlu disegerakan. Koperasi wanita pasti akan mempromosikan SME dan mewujudkan jaringan keusahawanan di kalangan wanita.

2. Selaras dengan matlamat Smart Selangor juga, adalah tepat masanya untuk Kerajaan Negeri mengambil inisiatif yang akan membantu golongan wanita untuk mengembangkan perniagaan dengan platform digital. Pendedahan kepada teknik pemasaran digital yang efektif, praktikal dan relevan kepada pengguna semasa perlu diberikan kepada golongan wanita. Ruang digital ini bakal memudahkan golongan wanita menjalankan perniagaan secara sambilan atau sepenuh masa.

3. Pendidikan kewangan di kalangan wanita adalah penting untuk menarik lebih ramai wanita menceburi bidang keusahawan. Kerajaan Negeri hendaklah mengkaji kaedah untuk mendedahkan lebih ramai orang wanita kepada hak and tanggungjawab kewangan, seperti amalan berjimat cermat, pelaburan kewangan dan sebagainya.

4. Jalinan kerjasama antara Institusi yang berkongsi nilai serta matlamat pembangunan yang sama seperti Bank Negara Malaysia, SME Bank, MDEC dan Kerajaan Negeri adalah penting bagi merealisasikan perkasaan golongan wanita dalam bidang keusahawan. Aktiviti hubungan dan kerjasama strategik bakal menghasilkan impak dan manfaat yang maksimum kepada golongan wanita di Negeri Selangor.


Puan Speaker, saya mengakhiri ucapan dengan menyokong Belanjawan 2018 yang membangun bangsa dan memakmur negeri Ini. Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment