Tuesday 14 November 2017

Teks ucapan perbahasan Usul Bajet Peruntukan Pembangunan 2018 oleh Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Bharu di Dewan Negeri Selangor pada 13 Nov 2017

Teks ucapan perbahasan Usul Bajet Peruntukan Pembangunan 2018 oleh Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong di Dewan Negeri Selangor pada 13 Nov 2017:

Terima kasih Puan Speaker yang memberikan peluang kepada saya untuk membahas Usul Bajet Peruntukan Pembangunan 2018. Saya mulakan dengan muka surat Vot P01 PK 3 Usahawan. Saya ingin menyentuh Program Usahawan India Selangor yang merupakan satu program yang masuk tahun kedua untuk melahirkan usahawan India.

Pengumuman Dato Menteri Besar dalam Belajawan 2018 bahawa peruntukan untuk program ini akan dinaikkan dari RM1 juta ke RM3 juta merupakan berita yang baik kepada kaum India yang berminat menjadi usahawan.

Saya berharap Kerajaan boleh mengambil sikap yang lebih terbuka untuk mengendalikan peruntukan tersebut dengan melibatkan lebih banyak NGOs supaya lebih ramai orang India dapat menyertai latihan yang diberikan. Kerajaan Negeri sepatutnya memperluaskan program ini ke semua daerah dan mencontohi cara Jawatankuasa Tetap Pendidikan yang mengendalikan bantuan kepada SJKC, SJKT dan Sekolah Agama Rakyat iaitu terdapat borang permohonan, fasa demi fasa, tarikh tutup yang mempelawakan NGOs memohon dan mengadakan mesyuarat dengan Ahli Dewan Negeri.

Seterusnya saya merujuk kepada Vot yang sama PK 4 Program Kebudayaan. Dato Menteri Besar telah mencadangkan beberapa inisiatif baru untuk dilaksanakan dalam tahun 2018. Saya ingin menyentuh program-program pembangunan bakat muda termasuk kegiatan penulisan kreatif yang diilhamkan oleh karya Allahyarham Rehman Rashid.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas usaha mengenang Allahyarham Rehman Rashid dengan cara yang sangat bermakna ini.

Allahyarham Rehman Rashid adalah penduduk Kuala Kubu Bharu sejak 1992. Saya ingin menceritakan sedikit kecemerlangan Allahyarham Rehman Rashid. Allahyarham telah menghasilkan 4 buah buku sepanjang hayat dia. Bukunya “A Malaysian Journey” diulang cetak beberapa kali sehingga menjadi satu fenomena penulisan. Buku ini mendapat 5 bintang rating di Amazon.com. Seterusnya Allahyarham menghasilkan buku Peninsula dan Small Town pada tahun 2016 yang menggunakan gaya dan bahasa yang bermutu tinggi dan sentiasa memberi cabaran kepada pembacanya.

Saya harap Kerajaan Negeri boleh memilih KKB sebagai salah satu tempat untuk mengadakan program yang berkaitan dengan Allahyarham Rehman Rashid. Ini adalah kerana Persatuan Sejarah Kuala Kubu juga bercadang membina Sanggar Sastera Rehman Rashid yang akan bergerak wadah keilmuan yang padu untuk menghasilkan anak-anak muda yang serba versatile dan berkebolehan.

Puan Speaker, saya merujuk kepada Vot yang sama PK6 Program Pemberdayaan Wanita dan Keluarga. Saya ingin memaklumkan dewan yang mulia ini bahawa peruntukan untuk perkhidmatan mammogram dan vaksin HPV secara percuma telah dimansuhkan dalam Bajet Kerajaan Persekutuan 2018.

Kita bersyukur di Negeri Selangor yang mana kesihatan golongan wanita sentiasa diberi keutamaan yang tinggi. Sejak Kerajaan Negeri memperkenalkan pemeriksanaan Mammogram secara percuma di Selangor, lebih daripada 30,456 orang yang berumur 35 tahun ke atas telah menerima manfaat daripada inisiatif ini. Berbanding dengan Kerajaan Persekutuan yang memansuhkan peruntukan untuk mammogram, Kerajaan Negeri pula meningkatkan peruntukan daripada RM 1 juta ke RM 2 juta bagi tahun 2018 untuk pemeriksanaan mammogram secara percuma.
Saya ingin mengemukakan 3 cadangan kepada Kerajaan Negeri untuk memperkukuhkan dan melengkapi Dasar Wanita Selangor iaitu:

1. Memberi peruntukan bagi membantu bangunan milik kerajaan yang memberikan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak yang berkualiti sebagai langkah pertama Kerajaan Negeri dalam menggalakkan setiap bangunan milik kerajaan mempunyai perkhidmatan penjagaan kanak-kanak.

2. Buat masa kini, kebanyakan bangunan Kerajaan Negeri tidak menyediakan kemudahan bilik laktasi untuk golongan ibu yang bekerja. Saya ingin mengucapkan syabas kepada Kerajaan Negeri kerana menyediakan sebuah bilik laktasi di bangunan SUK. Saya berharap Kerajaan Negeri memberi peruntukan bagi membantu jabatan/agensi Kerajaan yang lain untuk mencontohi langkah yang progresif ini.

3. Dalam usaha untuk menarik lebih ramai wanita untuk masuk semula pasaran kerja, Kerajaan Negeri boleh memberi “soft protection” di mana ibu hamil boleh mendaftarkan diri dengan Kerajaan Negeri. Sekiranya wanita tersebut kembali kerja dengan majikan/syarikat, Kerajaan Negeri boleh memberikan susu dan pampers selama 6 bulan.

Perkara seterusnya ialah PK13 Pembangunan Muzium-muzium Daerah yang tidak diperuntukan wang. Ini adalah tahun keempat saya membangkitkan perkara yang sama ini supaya pihak kerajaan boleh mengambil berat pembangunan muzium-muzium daerah memandangkan muzium adalah pemegang amanah warisan negara yang tidak ternilai.

Puan Speaker, Negeri Selangor mempunyai 9 Daerah dan setakat ini terdapat 4 buah muzium di 3 daerah. Saya rasa sudah sampai masanya pihak kerajaan memberikan perhatian kepada daerah Hulu Selangor yang kaya dengan sejarahnya tetapi belum mempunyai sebuah muzium untuk menyimpan bahan-bahan sejarah yang menceritakan kegemilangan Hulu Selangor dari tahun 1780 hingga tahun 1931.

Untuk makluman dewan yang mulia ini, terdapat sedikit bahan-bahan sejarah Hulu Selangor yang didermakan oleh pencinta-pencinta sejarah disimpan di Perpustakaan Daerah yang terletak di Kuala Kubu Bharu buat masa ini. Sekiranya terdapat satu muzium sejarah di daerah maka saya pasti ramai pencinta-pencinta sejarah akan menderma bahan sejarah daerah Hulu Selangor bagi pengisian muzium.

Inilah kali keempat saya merayu kepada pihak kerajaan di dewan mulai ini supaya mewujudkan sebuah muzium sejarah di daerah Hulu Selangor. Tahun ini merupakan Tahun Melawat Hulu Selangor dan saya nampak kekurangannya yang mana tiada ada muzium untuk mengenali sejarah Hulu Selangor kepada pelancong. Kebanyakan penduduk Hulu Selangor mencadangkan Rumah DO yang usang dan terbiar dijadikan muzium kerana rumah tersebut memang unik dan bersejarah.

Saya memohon pihak kerajaan sekali lagi mempertimbangkan Rumah DO yang lama ini dibaikpulih dan dibuka semula sebagai muzium seperti mana Muzium Insitu Jugra yang dibuka pada tahun 2012 pada asalnya juga adalah sebuah balai polis daerah yang lama.

Saya merujuk muka surat 212 Vot P12 Kod projek 04801 Menaiktaraf Persimpangan dan Mengganti Jambatan di Jalan Kuala Kali – Rasa (B115) ke Laluan Persekutuan 1, Seksyen 441.00 yang mana peruntukannya adalah RM500 ribu.

Saya mengucapkan terima kasih kerana sekurang-kurangnya projek itu dah boleh kick off. Saya cuma minta penjelasan pihak kerajaan mengenai skop kerja RM500 ribu ini supaya rakyat mengetahui simpang yang bahaya ini akan diselesaikan oleh Kerajaan Negeri yang peduli rakyat.

Akhir sekali, saya merujuk muka surat 246 Vot P17 PK 8 Pembangunan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang jumlah peruntukannya adalah RM2.07 juta.

Saya berharap Kerajaan Negeri lebih mengambil perhatian membantu penternak lembu kerana kita sering mendapat aduan bahawa lembu berkeliaran di jalan dan kawasan perumahan. Bila Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hendak mengambil tindakan terhadap penternak maka mereka merayu Kerajaan Negeri bagi tempat untuk mereka menternak. Saya nampak TKPM ayam pedaging tidaklah begitu mendesak kerana telah banyak syarikat swasta melibatkan diri dalam industri ayam ini dengan tanah sendiri. Saya harap Kerajaan Negeri memantau dan mengkaji semula TKPM supaya prestasinya adalah memuaskan.

Saya setuju dengan YB Kota Anggerik yang memohon Kerajaan Negeri memberi perhatian kepada makanan protein yang lain seperti puyuh. Saya harap Kerajaan Negeri boleh membangunkan pelbagai makanan protein yang lain seperti itik, angsa dan ayam belanda supaya kita tidak terlalu bergantung kepada ayam pedaging.

Sekian.


Saya menyokong usul ini.

No comments:

Post a Comment