Wednesday, 26 July 2017

DAP minta ROS siasat MCA Selangor juga




Jika Jabatan Pendaftaran (ROS) boleh mengarahkan DAP membuat pemilihan semula berdasarkan "berita palsu", tidak ada sebab mengapa mereka tidak boleh menyiasat MCA Selangor yang didakwa menerima dana yang ada kaitan dengan 1MDB.
Anggota Dewan Undangan Negeri Kampung Tunku, Lau Weng San, berkata penyaluran dana berkenaan pernah dilaporkan media dan "diakui benar" oleh bekas pemimpin MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.
Dr Chua pernah menjadi Pengerusi MCA Selangor suatu ketika dulu.
Kata Lau, sebelum ini dana sebanyak RM10 juta didakwa disalurkan ke akaun MCA Selangor pada 2013 sebagai sebahagian daripada persediaan parti itu menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13.
Katanya, wang berkenaan berpunca daripada akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Oleh kerana tuduhan ini adalah serius - dan pernah diakui benar oleh Dr Chua sekitar 2015 - maka saya meminta ROS menyiasat MCA Selangor," katanya kepada media di Pejabat ROS Selangor di Shah Alam hari ini.
Lau yang juga bendahari DAP Selangor sebelum itu menyerahkan surat kepada ROS bagi meminta pihak berkenaan menyiasat MCA Selangor.
"(Sebelum ini) ada orang dakwa DAP jalankan pemilihan parti secara tidak jujur dan tidak mengikut peraturan yang sepatutnya.
"Kami menyangkal dakwaan itu kerana ia berpunca daripada laporan palsu Utusan Malaysia, malahan kes tersebut telah dibicarakan di mahkamah," katanya merujuk kepada laporan akhbar itu pada 18 Ogos 2013.
Boleh gugat keutuhan
Selepas dibicarakan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Utusan Malaysia membayar RM250,000 kepada Lim selepas mendapati identiti Father Augustus Chen itu tidak pernah disahkan.
ROS pula pada 7 Julai mengarahkan DAP membuat pemilihan semula anggota jawatankuasa eksekutif pusatnya kerana pemilihan yang dibuat pada 2013 dianggap tidak sah.
DAP kemudian mendakwa keputusan ROS itu dibuat berdasarkan "berita palsu" yang merujuk kepada pendedahan dibuat Father Augustus Chen berkenaan.
Kata Lau, jika ROS boleh mengarahkan DAP menjalankan pemilihan semula berdasarkan "berita palsu" yang dibuktikan mahkamah, maka ROS juga perlu mengambil tindakan yang sama terhadap MCA Selangor.
Katanya, siasatan boleh dibuat mengikut Seksyen 2A dan Seksyen 14(2)(db) Akta Pertubuhan.
"Kedua-dua seksyen itu merupakan peruntukan besar yang membolehkan ROS menjalankan siasatan dan sekaligus memerintah MCA memberi penjelasan sama ada perkara itu sebenar atau tidak.
"Barangkali wang ini diterima daripada unsur yang tidak diketahui atau wang yang disalurkan dari pasaran gelap.
"Ia adalah elemen jenayah yang boleh menggugat keutuhan dan kestabilan demokrasi berparlimen," katanya.
MCA Selangor juga, kata Lau, perlu menjelaskan sama ada dana yang mereka terima itu berpunca daripada dana 1MDB.
"Jika tidak, MCA perlu jelaskannya," kata Lau.
Awal Jun lalu, portal Sarawak Reportmendakwa MCA Selangor menerima RM10 juta daripada Najib, tetapi bendaharinya Datuk Loo Kooi Thiam menafikan dakwaan tersebut.
Loo berkata tidak ada rekod transaksi dalam penyata bank MCA Selangor menunjukkan bahawa parti itu tidak menerima wang seperti yang didakwa itu.
Source: https://www.malaysiakini.com/news/389872

No comments:

Post a Comment