Wednesday 1 April 2015

Ucapan Ahli Dewan Negeri Selangor Kawasan Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong


Ucapan Ahli Dewan Negeri Selangor Kawasan Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong semasa membahas Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih Serta Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan DYMM Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada hari Rabu, 1hb April 2015:

Terima kasih Tuan Timbalan Speaker. Titah Ucapan DYMM Sultan Selangor yang mahu agar perbahasan di dalam Dewan ini dapat ditumpukan kepada soal pembangunan dan cabaran-cabaran masa hadapan bagi merealisasikan aspirasi rakyat.

Merealisasikan aspirasi rakyat adalah penting akan tetapi YB Semenyih tidak faham. Itu sebabnya YB Semenyih menolak pilihanraya kerajaan tempatan yang bertujuan untuk memulihkan sistem demokrasi negara kita dengan memberi hak undi ketiga kepada penduduk tempatan memilih Ahli majlis masing-masing.

Tuan Timbalan Speaker, saya yakin Negeri Selangor yang termaju akan terus maju di bawah pentadbiran Dato’ Menteri Besar yang mengamalkan pendekatan kerja secara hands-on dan lebih responsif terhadap permasalahan rakyat.

Pembangunan di Negeri Selangor yang bersifat pembangunan berancang bukan sahaja tertumpu di bandar, sebaliknya ia meliputi kawasan luar bandar. Kawasan luar bandar yang didominasi guna tanah pertanian telah berubah berikutan kawasan perindustrian dan kawasan perumahan baru diwujudkan.

Mengikut Laporan Tinjauan bagi Kajian Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035, tumpuan pertumbuhan dan perancangan kawasan industri baru adalah di Daerah Hulu Selangor, Kuala Langat dan Sepang. Keperluan tanah perindustrian diketiga-ketiga daerah tersebut dijangka meningkat dengan pertambahan sebanyak 1,459.60 hektar di Hulu Selangor, 1,426 hektar di Kuala Langat dan 1,095.60 hektar di Sepang pada tahun 2035 berbanding dengan tahun 2010.

Tuan Timbalan Speaker, bertambahnya aktiviti perindustrian di kawasan luar bandar juga menyebabkan permintaan perumahan meningkat. Ini adalah satu usaha yang baik bagi pertumbuhan ekonomi di kawasan luar bandar. Walau bagaimanapun, kita jarang memberi perhatian kepada pengusaha-pengusaha pertanian terutamanya penternak secara kecil-kecilan yang sekian lama wujud di kawasan persekitaran perindustrian dan perumahan dan akibatnya pula seolah-olahnya ternakan menjadi satu kacau ganggu dan tidak mesra alam di kawasan industri dan taman perumahan.

Saya mengambil contoh lembu berkeliaran di kawasan perindustrian Zurah dan kawasan perumahan Taman Keruing Rasa, Hulu Selangor yang menyebabkan tahi lembu di atas jalan dan menimbulkan ketidakselesaan kepada pemilik kilang, penduduk dan pengguna jalanraya.

Cabaran yang dihadapi sekarang adalah samada Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau Selangor 1971 mempunyai peruntukan yang cukup untuk penguatkuasa mengambil tindakan bagi mengatasi masalah yang kononnya dikatakan kacau ganggu dan tidak mesra alam tersebut. Selain daripada itu, adakah Kerajaan Negeri menyediakan kawasan penempatan semula yang mencukupi kepada pengusaha ternakan lembu selama ini.

Tuan Timbalan Speaker, Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau Selangor 1971 tidak pernah dikemaskini sejak Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau (Pindaan) 1978 diluluskan dan berkuatkuasa pada 1 haribulan Januari 1979.

Enakmen sedia ada ini selain masih menggunakan bahasa Melayu lama kini tidak memenuhi keperluan semasa dalam pengawalan penternakan lembu dan kerbau di Negeri Selangor.

Oleh itu, saya memohon supaya undang-undang ini dikaji semula dan dipinda untuk menepati keperluan semasa dalam pentadbiran dan pengawalan penternakan lembu dan kerbau di Negeri Selangor bagi memastikan ternakan lembu ditetapkan di lokasi yang bersesuaian dan menggunakan ternakan moden yang tidak mencemarkan.

Di samping itu, Kerajaan Negeri perlu mengambil langkah bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh penternak-penternak lembu yang ingin berpindah dari kawasan asal ke kawasan penternakan khas yang diwujudkan.

Tuan Timbalan Speaker, selain daripada ternakan lembu yang perlu diberikan perhatian, ternakan ayam secara komersial yang semakin berkembang di kawasan luar bandar juga merupakan cabaran kepada Kerajaan Negeri.

Saya menyokong usaha kerajaan menggalakkan penggunaan teknologi baru seperti penggunaan ‘Sistem Reban Tertutup’ untuk ternakan ayam. Akan tetapi, bagaimana hendak memastikan penternakan ayam itu tidak menjejaskan kualiti hidup penduduk yang rumahnya berhampiran dengan reban ayam adalah satu cabaran yang besar.

Tuan Timbalan Speaker, penduduk-penduduk di Kerling, Hulu Selangor membantah MDHS yang memberikan kelulusan Kebenaran Merancang kepada sebuah syarikat untuk membina dua bangunan reban ayam tertutup yang jaraknya hanya 500 meter dari kawasan rumah di mukim Kerling tanpa mengambil kira pandangan penduduk terlebih dahulu.  Penduduk-penduduk di Hulu Selangor telah berkali-kali menghadapi masalah bau busuk dan pembiakan lalat apabila terdapat aktiviti penternakan ayam secara komersial dilakukan. Mereka tahu lalat yang boleh terbang sejauh 20km akan menjejaskan kualiti hidup mereka.

Enakmen Perladangan Unggas (Negeri Selangor) 2007 tidak dapat menyakinkan penduduk apabila zon penampan yang ditetapkan hanya sekurang-kurangnya 200 meter antara reban ayam dengan penempatan terdekat tanpa mengira bilangan ternakan bagi satu pusingan.

Penduduk berpendapat syarat Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Selangor kepada pengusaha adalah lebih munasabah iaitu reban ayam perlu dibina sekurang-kurangnya 10km dari kawasan pembangunan.

Selain daripada itu, penduduk juga bertanya samada tanah pertanian yang merupakan ladang kelapa sawit atau tanaman lain sesuai ditukarkan sebagai kawasan penternakan komersial iaitu melebihi 30,000 ekor bagi satu pusingan tanpa memohon tukar syarat tanah.

Dengan ini, saya memohon Kerajaan Negeri membuat pindaan terhadap seksyen yang menyentuh lokasi ladang dalam Enakmen Perladangan Unggas (Negeri Selangor) 2007 dan pada masa yang sama menentukan beberapa kawasan khas yang sesuai untuk penternakan ayam secara komersial untuk mengelakkan sebarang kawasan pertanian boleh dijadikan sebagai kawasan penternakan ayam secara komersial.

Tuan Timbalan Speaker, permintaan perumahan akan bertambah memandangkan penduduk Negeri Selangor dijangka akan mencecah sembilan juta orang pada tahun 2035. Pelbagai projek perumahan dilaksanakan termasuk membangunkan semula projek perumahan terbengkalai bagi menampung permintaan perumahan. Terdapat 8 projek perumahan yang disenaraikan sebagai terbengkalai adalah projek pembesaran kampung. Adakah projek pembesaran kampung menjadi perumahan terbengkalai kerana Kerajaan Negeri menolak permohonan pelupusan secara pemberimilikan tanah pada akhir tahun 2008 atau sebab-sebab lain? Dengan ini saya memohon agar Kerajaan Negeri meneliti semula projek pembesaran kampung supaya projek yang mempunyai potensi boleh dilaksanakan.

Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat projek pembesaran kampung yang telah dapat kelulusan teknikal untuk dilaksanakan dan telah mempunyai pemohon yang memerlukan rumah. Sekiranya Kerajaan Negeri boleh meneruskan projek pembesaran kampung dengan pendekatan baru maka anak kampung tersebut akan berpeluang memiliki rumah di kawasan penempatan yang lebih teratur dan sistematik.  

Tuan Timbalan Speaker, pencemaran sungai sering berlaku dan menyebabkan terputusnya bekalan air yang merunsingkan penduduk. Masalah pencemaran perlu diatasi tanpa melengkahkan masa. Adakah Kerajaan Negeri sedang berusaha untuk mengatasi pencemaran sungai dengan mewartakan kawasan rizab sungai sebagai zon perlindungan bagi tujuan kawalan fizikal dan kualiti air sungai?

Saya ingin memaklumkan kepada dewan yang mulia ini bahawa terdapat kawasan berhampiran rizab sungai diwartakan sebagai Kawasan Perusahaan Kuala Kubu Bharu melalui GN 1906 bertarikh 24 Nov 1983. Sekiranya pewartaan tersebut masih berkuatkuasa maka aktiviti berisiko tinggi yang menyumbang kepada pencemaran terhadap Sungai Selangor akan berlaku.

Dengan ini, saya memohon Kerajaan Negeri menyemak dengan segera status tanah yang berhampiran dengan sungai yang airnya akan mengalir ke loji rawatan air. Ini adalah penting bagi memastikan tiada aktiviti berisiko tinggi dibenarkan di kawasan berhampiran sungai demi menjamin perkhidmatan air terawat yang lebih efisien.

Tuan Timbalan Speaker, Saya pernah berucap agar Ahli EXCO Kerajaan Selangor perlu mengisytiharkan harta mereka secara terbuka dalam perbahasan menjunjung kasih ke atas Titah Ucapan DYMM Sultan Selangor pada tahun lepas. Malangnya, Dato’ Menteri Besar pada ketika itu tidak memberi jawapan langsung dalam penggulungan perbahasannya.  Selepas itu juga Ahli EXCO Kerajaan Selangor tidak membuat sebarang pengsytiharan harta secara terbuka.

Adalah harapan saya bahawa Dato’ Menteri Besar yang baru ini akan mengarahkan Ahli EXCO mengisytiharkan harta mereka secara terbuka sebagai salah satu cara membuktikan Kerajaan Selangor mengamalkan tadbir urus yang baik, integriti dan akauntabiliti.

Pada halnya, pengisytiharan harta telah disarankan sebagai salah satu indikator untuk menilai ketelusan bahagian Eksekutif sesebuah kerajaan oleh Transparency International yang tertulis dalam Transparency International Souce Book 2000 bab ke 7. Sekiranya EXCO Selangor mengambil berat saranan ini dan melaksanakannya maka pentadbiran Kerajaan Selangor akan menuju ke arah bertaraf dunia pertama.

Sekali lagi saya ingin mencadangkan agar Kerajaan Selangor menginstitusikan dasar pengisytiharan harta ini melalui suatu enakmen negeri bagi memastikan legasi tadbir urus yang baik akan berkekalan di Selangor.

Sekian, saya menjunjung kasih titah ucapan DYMM Sultan Selangor.

No comments:

Post a Comment