Wednesday 8 April 2015

Ucapan ADUN KKB Membahas Penyata Jawatankuasa Pilihan Mengenai Pejabat Daerah dan Tanah (JP-PADAT)


Ucapan Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong semasa membahas Penyata Jawatankuasa Pilihan Mengenai Pejabat Daerah dan Tanah (JP-PADAT) yang dibentangkan sebagai Kertas Mesyuarat Bil 5 Tahun 2015 pada 8 April 2015:

Terima kasih Puan Speaker, Saya ingin berbahas penyata JP-PADAT berhubung masalah-masalah yang dihadapi oleh Pejabat Daerah dan Tanah di Selangor.

Salah satu penyata JP-PADAT pada tahun lepas pernah mencadangkan agar pentadbiran Pejabat Tanah dan Daerah diasingkan supaya kedua-dua pejabat ini dapat berfungsi dengan lebih efektif dan efisyen dalam menjalankan tugas masing-masing. Walau bagaimanapun cadangan ini telah ditolak oleh Kerajaan Negeri.

Tahun ini JP-PADAT tidak lagi mengemukakan cadangan pengasingan pentadbiran tetapi mencadangkan Jawatankuasa Tanah Daerah ditubuhkan dengan melibatkan Ahli Dewan Negeri kawasan, Ahli Parlimen kawasan dan/atau Penyelaras DUN kawasan.

Puan Speaker, jawatankuasa yang sedia ada yang melibatkan wakil rakyat kawasan dan Penyelaras DUN kawasan adalah Jawatankuasa Tindakan Daerah (JKTD). Saya pernah bertanya dalam sesi soal jawab di dewan yang mulia ini mengenai mesyuarat JKTD. Jawapan yang diberikan oleh Dato’ Menteri Besar pada ketika itu adalah seperti berikut:-

“Seksyen Agihan dan Pembangunan, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah menetapkan supaya JKTD yang merupakan jawatankuasa tertinggi di peringkat daerah bermesyuarat sekurang-kurangnya sebulan sekali. Ini adalah bagi memastikan masalah berkaitan di peringkat daerah dapat dibincangkan dan diselesaikan bersama antara agensi an jabatan teknikal berkaitan. Melalui mesyuarat ini, pihak Pentadbiran Tanah/Daerah boleh membuat laporan hasil daripada mesyuarat ini (sekiranya perlu) kepada pihak Kerajaan Negeri untuk makluman dan tindakan selanjutnya.”

Malangnya jawapan dalam Dewan yang mulia ini tidak diturunkan kepada setiap daerah secara rasmi maka terdapat Pejabat Daerah yang masih berjadual bermesyuarat sekali dalam 2 bulan pada tahun ini. 

Mesyuarat JKTD yang sedia ada adalah bertumpu kepada kerja-kerja pembangunan yang mengunakan peruntukan yang disalurkan, Laporan daripada JKR, JPS, pihak polis, jabatan kesihatan dan lain-lain jabatan yang hadir. Ia jarang membincangkan isu-isu tanah. Ini menyebabkan kebanyakan penemuan dalam penyata ini adalah berkaitan dengan urusan tanah seperti pembangunan tanah, pemberian hak milik tanah, menguatkuasa undang-undang, pungutan cukai dan hasil berkaitan tanah.

Puan Speaker, Saya ingin membangkitkan 7 isu tanah yang tidak disebut dalam penemuan JP-PADAT iaitu:-

1)   Lot tanah ditepi kuari batu dibenarkan tukar syarat tanah kepada kegunaan kediaman menyebabkan tiada zon penampan antara industri berat dengan kediaman. Biasanya zon penampan tersebut adalah sejauh 500 meter

2)   Penternakan ayam secara komersial di tanah pertanian tanpa menukar syarat tanah menyebabkan penternakan ayam boleh dijalankan di merata-rata tempat dan berhampiran kawasan kediaman penduduk. Penduduk tidak mempunyai sebarang masalah jika bersebelahan dengan tanaman sekiranya ia tidak menggunakan tahi ayam basah sebagai baja. Tetapi penduduk akan membantah sekeras-kerasnya jika bersebelahan dengan reban ayam.


3)   Sindiket penjualan tanah kerajaan yang palsu terutamanya di Hulu Selangor masih bergiat aktif di era teknologi maklumat ini.

4)   Tanah kosong tetapi gunakan gambar rumah orang lain untuk membuat permohonan tanah kerana dasar Kerajaan Negeri yang hanya mempertimbangkan permohanan geran jika  terdapat bangunan kediaman.


5)   Balairaya yang dibina di tanah hak milik individu sebelum tahun 2008 yang kebanyakannya berlaku di Daerah Sabak Bernam masih belum mempunyai cara penyelesaiannya.

6)   Seluruh kampung yang rumah kediaman mereka dalam hak milik tanah individu. Kampung-kampung tersebut adalah Kg Baru Hasan di Ulu Bernam, Kg Bagan Sg Yu, Kg Baru Pasir Penambang di Kuala Selangor dan lain-lain.

Puan Speaker, isu ke 7 adalah isu yang hangat dibincangkan di Hulu Selangor iaitu JKKK Kg Melayu Rasa sebagai pemaju membangunkan 287 unit rumah di atas lot tanah di Jalan Ampang Pecah Rasa sejak akhir tahun 2014. Risalah penjualan diedarkan kepada orang ramai dan papan tanda yang sangat baru didirikan dengan menulis pengerusi dan JKKK Kg Melayu Rasa sebagai Pemaju. Maklumat cukup lengkap dalam papan tanda tersebut sehingga kelulusan daripada MDHS juga ditulis. Kalau membuat lawatan tapak boleh nampak 5 atau 6 buah rumah sedang dibina.

Persoalan sekarang ialah adakah Kerajaan Negeri membenarkan mana-mana JKKK untuk memajukan lot tanah tertentu. Dalam kes Kg Melayu Rasa pula, siapa yang berani menggunakan nama JKKK tersebut memandangkan Pengerusi JKKK tersebut, En Sahyar bin Hassan telah membuat laporan polis malam tadi bahawa pihak JKKKnya tidak terlibat dalam pembanguanan projek perumahan tersebut. Adakah ini satu skandal?

Puan Speaker, saya yakin ada lagi banyak masalah tanah yang dihadapi oleh Pejabat Daerah dan Tanah. Maka biarlah wakil rakyat menyumbang idea dan pandangan dalam Jawatankuasa Tanah Daerah yang disarankan oleh JP-PADAT bagi memenuhi kehendak dan ekspetasi yang tinggi daripada berbagai pihak.

Dalam keadaan yang sedemikian, saya berpendapat saranan JP PADAT iaitu menubuhkan Jawatankuasa Tanah Daerah adalah wajar.

Sekian. Kuala Kubu Bharu menyokong usul ini.

No comments:

Post a Comment