Monday, 4 November 2019

Ucapan Perbahasan Belanjawan Negeri Selangor Tahun 2020 Peringkat Dasar oleh ADN Kuala Kubu Bharu pada 04 November 2019



Ucapan Perbahasan Belanjawan Negeri Selangor Tahun 2020 Peringkat Dasar oleh ADN Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong pada 04 November 2019 (Isnin) di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam:

Terima kasih kepada Tuan Speaker atas peluang yang diberikan kepada saya untuk turut serta dalam perbahasan Ucapan Belanjawan 2020 Negeri Selangor yang dibentangkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar.

Tuan Speaker, saya mengucapkan tahniah kepada Dato’ Menteri Besar yang berikrar untuk menyumbangkan sejumlah 30% daripada KDNK negara menjelang 2030 berbanding dengan 23% ketika ini. Ayat pertama yang muncul di fikiran saya bila Dato’ Menteri Besar sebut ini adalah “Selangor, negeri paling maju di Malaysia”.

Sebagai negeri yang paling maju, saya bersetuju dengan Dato’ Menteri Besar iaitu kemajuan dan pembangunan perlulah disusuli dengan inisiatif-inisiatif jangka panjang yang berkesan dan pembangunan tidak berertinya mengorbankan alam sekitar atau menyisihkan kumpulan masyarakat tertentu.

Tuan speaker, Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan tidak pernah meminggirkan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam apa juga bentuk perancangan dan pembangunan negeri Selangor. Dasar-dasar yang digubal atau dikemas kini juga sentiasa mengambil kira akan keperluan golongan ini. Negeri Selangor telah menjadi negeri contoh dan rujukan negeri lain
berkaitan perancangan dan perlaksanaan program pembangunan untuk golongan OKU.

Saya ingin menyentuh satu perkara yang menjadi kekangan yang sangat besar kepada OKU dan penjaga OKU iaitu pelekat
parkir khas untuk OKU. Kita tahu hanya kenderaan yang mempunyai pelekat OKU sahaja yang dibenarkan meletak kenderaan di petak parkir OKU. Isu sekarang adalah adakah semua Pihak Berkuasa Tempatan menyediakan pelekat khas untuk OKU atau penjaga OKU memohon pada bila-bila masa?

Saya ingin memaklumkan kepada Dewan yang mulia ini, hanya OKU yang tertentu sahaja mampu memandu kereta. Lebih ramai OKU yang memerlukan penjagaan sepenuh dari orang lain. Dengan erti kata yang lebih mudah, pelekat khas OKU ini lebih diperlukan oleh kenderaan penjaga OKU yang membawa OKU bersama ke mana-mana juga untuk berbagai urusan.  Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri perlu memastikan semua Pihak Berkuasa Tempatan menyediakan pelekat khas untuk OKU atau penjaga OKU. Kerajaan Negeri juga perlu memastikan pelekat khas yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan boleh diguna pakai di seluruh petak parkir Negeri Selangor dan tidak terhad kepada kawasan Pihak Berkuasa Tempatan yang mengeluarkannya pelekat tersebut. Ini akan memudahkan kepada semua OKU atau penjaga OKU untuk menjalankan urusan seharian di mana-mana tempat di Negeri Selangor.

Tuan Speaker, Skim Bantuan Khas AnIS Selangor yang telah dimulakan oleh Kerajaan Negeri telah menjadi satu titik tolak ke arah pemberdayaan golongan OKU di Negeri Selangor. Sebagai sebuah negeri perintis untuk skim seperti ini, ianya ‘dicemburui’ oleh golongan OKU di negeri lain. Betapa bertuahnya golongan ini apabila Kerajaan Negeri Selangor sentiasa mengambil berat akan hal kebajikan mereka.

Peruntukan RM500 ribu dalam Belanjawan Selangor 2020 untuk Bantuan AnIS sangat dihargai. Bantuan seperti ini sangat membantu OKU dan penjaga OKU dalam memenuhi keperluan mereka yang kita semua sedia maklum agak mahal dan membebankan bagi keluarga yang kurang berkemampuan. Tanpa meletakkan sebarang syarat pendapatan penjaga, hal ini sangat dialu-alukan oleh penjaga OKU. Namun salah satu syarat yang tertera untuk melayakkan permohonan Bantuan AnIS ini ialah berumur 18 tahun ke bawah sahaja.

Saya meminta Kerajaan Negeri mengkaji semula had
kelayakan umur bagi permohonan bantuan tersebut. Sewajarnya tiada kelayakan had umur diletakkan sebagai syarat permohonan. Anak istimewa tetap anak istimewa dan kecacatan mereka tidak boleh pulih walaupun mereka semakin meningkat dewasa. Bahkan keperluan golongan OKU ini semakin meningkat dan semakin mahal seiring dengan pertambahan usia mereka. OKU yang berusia lebih 18 tahun juga perlu menjalani terapi yang berterusan bagi meningkatkan kualiti hidup seharian mereka. Mereka juga memerlukan peralatan dan keperluan lain seiring dengan pertambahan umur yang pastinya tidak sesuai menggunakan peralatan yang tidak sepadan dengan usia mereka. Sebagai contoh, jika dulu OKU ini memerlukan kerusi roda kanak-kanak yang khusus, kini kerusi roda dewasa yang khusus yang bukan murah harganya. Jika dulu setin susu khas boleh tahan seminggu, kini mungkin setin susu khas untuk tiga hari. Oleh yang demikian saya mencadangkan had kelayakan umur ini dimansuhkan sebagai satu cara membantu OKU menjalani kehidupan yang lebih baik lagi pada masa akan datang.

Tuan Speaker, ucapan Dato’ Menteri Besar ada menyebut Selangor akan terus menganjurkan Selangor International Cyber Games 2020. Cyber Games ini telah diilhamkan oleh Dato’ Menteri Besar pada 6 tahun yang lalu dan sekarang Selangor adalah peneraju bidang E Sukan di Malaysia.

Semalam, Dato’ Menteri Besar dalam twitter berkata bahawa Kerajaan Negeri serius dalam membangunkan industri E Sukan. Beliau akan memastikan sentiasa terdapat bakat baru yang mampu diketengahkan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Komuniti E Sukan adalah sangat besar di Malaysia.
Malaysia pernah menang dalam pertandingan antarabangsa seperti Dota 2 dan Counter Strike Global Offensive. Kalau E Sukan boleh dimajukan dan diperkembangkan di Selangor maka ramai bakat E Sukan dapat dicungkil dan boleh bersaing di arena antarabangsa.

Pusat E Sukan adalah tempat yang penting bagi pemain berlatih untuk pertandingan kerana pusat E Sukan mempunyai komputer yang cukup dan berpretasi tinggi untuk satu pasukan yang biasanya terdiri daripada 4 hingga 6 orang berlatih. Pusat E Sukan juga boleh mengadakan kejohanan kecil bagi peminat E Sukan. Kejohanan kecil inilah yang merupakan cara yang baik untuk pasukan profesional mencari bakat baru. Dengan ini, saya mendesak Kerajaan Negeri bagi memastikan semua Pihak Berkuasa Tempatan di Negeri Selangor mewujudkan lesen perniagaan kategori E Sukan supaya pihak swasta boleh sama-sama membangunkan sukan ini.

Pertandingan E Sukan diadakan di seluruh dunia dan kebanyakan pertandingan yang besar diadakan di Amerika Syarikat, Germany dan China. Oleh itu, kalau pemain E Sukan ingin menonton atau melayakkan diri dalam pertandingan dunia, mereka terpaksa berdepan dengan komputer pada waktu selepas jam 12 tengah malam disebabkan zon masa negara yang beza. Contohnya masa New York pada jam 3 petang adalah jam 3 pagi di Malaysia. Pasukan Malaysia yang mengambil bahagian dalam The International 2017: Southeast Asia Qualifier pada tahun 2017 yang lalu kena berada di depan komputer pada jam 11 malam.

Oleh itu, Pihak Berkuasa Tempatan perlu mempertimbangkan bagaimana membenarkan Pusat E Sukan beroperasi 24 jam supaya anak Selangor boleh mengambil bahagian dalam pertandingan antarabangsa.

Tuan Speaker, sebelum saya mengakhiri ucapan perbahasan, saya menyahut cadangan yang baik daripada Dato’ Menteri Besar iaitu meningkatkan elaun bulanan Ketua Komuniti India. Mereka akan menerima elaun bulanan yang sama dengan Ketua Kampung Tradisi dan Ketua Kampung Baru Cina iaitu sebanyak RM1,200 mulai Januari 2020. Dengan peningkatan elaun bulanan ini, saya harap Kerajaan Negeri boleh mewujudkan struktur organisasi di semua kawasan komuniti India bagi membentuk jawatankuasa untuk ahli-ahlinya berfungsi dan berkhidmat seperti AJK MPKK di Kampung Tradisi dan Kampung Baru Cina.

Tuan Speaker, saya mengakhiri ucapan dengan menyokong Belanjawan Selangor 2020. Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment