Sunday 7 July 2019

Cadangan menamakan semula Jalan Barat di Petaling Jaya kepada Jalan V. David


Kenyataan media Ahli Dewan Negeri Selangor Kawasan Kuala Kubu Baru merangkap Pengerusi Wanita DAP Selangor, Lee Kee Hiong pada 7 July 2019:

Saya telah menghantar pertanyaan mulut kepada Dewan Negeri Selangor  untuk mengetahui samada Kerajaan Negeri Selangor berhasrat menamakan semula Jalan Barat di Petaling Jaya kepada Jalan V. David bagi mengenang jasa dan bakti mendiang David S. Vethamuthu.

Pihak kesatuan pekerja telah lama meminta penamaan semula Jalan Barat di Petaling Jaya kepada Jalan V. David,  namun tidak mendapat maklumbalas dari pihak kerajaan Selangor.

V. David merupakan bekas Anggota Parlimen Damansara pada 1978 sebelum menjadi Ahli Parlimen Puchong selama dua penggal yang dimenanginya pada pilihan raya umum 1986 dan 1990.

Berikutan pengumuman Menteri Besar YAB Amirudin Shari bahawa Jalan Semangat telah dinamakan semula kepada Jalan Profesor Khoo Kay Kim, saya berharap kerajaan negeri boleh turut menamakan semula Jalan Barat kepada Jalan V. David.

Hasil perjuangan mendiang V. David yang kita semua nikmati hari ini antaranya adalah cuti umum pada Hari Pekerja. Sumbangan dan bakti mendiang kepada golongan pekerja dan negara harus diiktiraf.

Pertanyaan mulut saya telah dikemukakan melalui Portal Dewan Negeri Selangor dan dijangka akan menerima jawapan dari kerajaan negeri apabila Dewan Negeri Selangor  kembali bersidang pada 29 Julai ini.

Saya memang menyokong sepenuhnya cadangan menamakan semula Jalan Barat dengan nama baru iaitu Jalan V. David kerana semangat perjuangan mendiang V. David yang tinggi menegakkan keadilan patut dijadikan teladan oleh kita semua.

Penamaan semula nama jalan sedia ada kepada nama tokoh negara merupakan kebiasaan di negara ini, ia merupakan satu cara kita menyanjungi bakti dan jasa tokoh yang telah meninggalkan kita. Saya berharap Kerajaan Negeri Selangor boleh memenuhi permintaan ini secepat mungkin.

No comments:

Post a Comment