Thursday 13 December 2018

Teks ucapan pembahasan Belanjawan Selangor 2019 Peringkat Jawatankuasa B02 Pelbagai Perkhidmatan – Perbendaharaan Negeri Selangor


Teks ucapan pembahasan Belanjawan Selangor 2019 Peringkat Jawatankuasa B02 Pelbagai Perkhidmatan – Perbendaharaan Negeri Selangor oleh ADN Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 29 November 2018:

Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya merujuk kepada muka surat 60 kod objek 42000. Saya mulakan dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Tuan Pengerusi, saya amat kecewa peruntukan yang disalurkan telah berkurangan sebanyak RM516,150.00 pada tahun ini berbanding pada tahun lepas. Saya telah berkesempatan menghadiri Persidangan World Library and Information Congress Ke-84 yang diadakan pada 25-30 Ogos 2018 bertempat di KLCC Convention Centre yang mana persidangan ini dibuat julung kalinya di Malaysia.

Saya ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada PPAS kerana berjaya menduduki 3 tempat
 terbaik daripada 122 poster yang dipertandingkan. Manakala tahun lalu semasa congress ini diadakan di Poland, PPAS telah menjadi pemenang poster terbaik.

Selain daripada itu, PPAS juga dipilih oleh persidangan kali ini sebagai salah satu perpustakaan yang dilawati oleh delegasi dari seluruh dunia. Dengan kejayaan tersebut maka mereka perlukan peruntukan untuk menyokong aktiviti-aktiviti mereka. Dengan ini saya juga meminta Kerajaan Negeri memberikan sokongan sepenuhnya kepada PPAS. Saya ingin membangkitkan satu isu lagi di sini, iaitu sehingga kini Bas Smart Selangor masih belum memperluaskan perkhidmatannya ke Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam yang mana bilangan pengunjung semakin meningkat dan permintaan terhadap pengangkutan awam sememangnya diperlukan. Selain itu Perpustakaan Bergerak Smart Selangor perlu ditambah bilangan bagi memberikan peluang kepada semua rakyat meliputi terutamanya 2 daerah yang belum menerima perkhidmatan itu.

Untuk makluman dewan ini, Pustaka Bergerak ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada keahlian dan pinjaman buku. Saya difahamkan bahawa 7 unit Smart Selangor Mobile Library ini memberi perkhidmatan di 6 daerah dengan memberi tumpuan di kawasan miskin bandar dan PPRT (Projek Perumahan Rakyat Termiskin). Sebanyak 90 lokasi perumahan kos rendah yang melibatkan 6 daerah telah diberikan perkhidmatan Pustaka Bergerak ini.

Satu daripada 7 unit telah dikhususkan untuk memenuhi jemputan program-program bagi tujuan promosi seperti Hari Tanpa Kenderaan, jemputan sekolah dan juga acara-acara anjuran Kerajaan Negeri.

PPAS yang telah dinaiktaraf dengan konsep rebranding didapati meningkatnya statistik penggunanya. Sebelum dinaik taraf pengguna sehari hanya 5 orang. Manakala setelah dinaik taraf, jumlah pengunjung ialah antara 50-100 orang sehari. Maka Kerajaan Negeri wajar memberi perhatian peruntukan ini supaya perpustakaan ini dapat memberikan perkhidmatan kepada lebih ramai orang lagi. Sehingga kini 50 perpustakaan daripada 104
perpustakaan telah dinaik taraf.

Perkara kedua yang saya hendak bangkitkan ialah berkenaan Invest Selangor Berhad. Tuan Pengerusi, Dato’ Menteri Besar telah menyatakan aeroangkasa yang berada di Subang yang telah mengumumkan oleh Kementerian Kewangan akan menguntungkan rakyat negeri Selangor. Peranan Invest Selangor adalah sangat penting bagi memastikan hal ini benar-benar menguntungkan negeri Selangor. Saya berharap Invest Selangor boleh memaklumkan perancangannya bagi menarik pelabur aeroangkasa.

Saya melawat kilang UMW Aeroangkasa Sdn. Bhd. di Serendah pada bulan lepas. Saya kagum dengan kilang yang berteknologi ini kerana tidak banyak negara yang membuat selongsong kipas kapal terbang boeng 787.

Akan tetapi jalan-jalan di sekitar perindustrian ini perlu diselenggarakan dengan baik. Saya mencadangkan Invest Selangor menjadi unit penyelarasan yang mengambil berat tentang penyelenggaraan jalan-jalan di kawasan perindustrian termasuk mempercepatkan proses penyerahan jalan kepada agensi kerajaan bagi meningkatkan imej Selangor dan negara ini. Ini bukan sahaja di kawasan perindustrian Sungai Choh dan Serendah, jalan-jalan di kawasan perindustrian MIEL Batang Kali juga perlu diberikan perhatian memandangkan keadaan jalan adalah teruk juga.

Sekian sahaja Tuan Pengerusi, terima kasih.

No comments:

Post a Comment