Teks ucapan perasmian oleh YDP
MDHS, Tuan Mohamad Zain bin A Hamid di Pesta Seni Antarabangsa KKB 2016 pada 3
Disember 2016:
SELAMAT datang ke pekan kami,
Kuala Kubu Bharu. Disember tiba dan
angin Timur Laut membawa bersama hujan di kaki banjaran Titiwangsa. Pun begitu Kuala Kubu Bharu ini cukup indah
ketika hujan turun. Suasana sejuk dan
nyaman, titis airnya mendesah dan memukau fikiran. Alam ternyata indah dan itulah lukisan tuhan
yang tiada taranya. Maka nikmatilah,
terjemahkan dalam karya yang menggugah.
Kami warga
penduduk Kuala Kubu Bharu ingin sekali mengalu-alukan saudara-saudara kami,
pelukis, pengkarya dan pencandu karya seni hadir di pekan kecil kami ini. Kuala Kubu Bharu dibina semula pada
tahun-tahun 1930 an setelah banjir berulang kali melanda Kuala Kubu yang
lama. Bangunan-bangunan di pekan ini
dibina terancang dengan taman-taman dan pohon-pohon seolah-olah tersedia kepada
burung-burung dan hidupan liar menikmatinya.
Pertama kali ditugaskan ke Kuala Kubu Bharu, saya terpikat dengan
kicauan burung-burung setiap pagi.
Sentiasa riang dan bersemangat untuk meneruskan hidup. Namakan sahaja apa burung yang ada, enggang,
maskot festival ini – burung kunyit atau nama lainnya dendang selayang, merbah
lekir, kelicap, murai batu, raja udang dan banyak lagi yang mungkin saya tak
terfikir namanya. Itulah jasa Charles
Reade, perancang bandar yang menjadikan Kuala Kubu Bharu ini seperti yang kita
lihat sekarang. Sebuah kawasan cagar
alam yang terpulihara. Sesuai dengan tema
festival ini Cagar Seni di Perbukitan.
Namun sebuah
bandar dan taman-taman yang indah dan semulajadi tidak sempurna tanpa tamaddun
pemikiran manusia. Sebuah bangunan tanpa
pengisian akhirnya akan menjadi monumen tanpa apa-apa pengertian. Festival Seni Antarabangsa KKB ini antara
usaha berterusan untuk menjadikan pekan kecil ini sebuah pekan yang hidup
dengan kegiatan pemikiran selain menjadi tempat persinggahan kepada pengkarya,
pelukis, penulis dan pengarca. Kuala
Kubu Bharu rumah kedua anda untuk berkarya dan kami akan menyediakan
persekitaran yang mesra pengkarya, pelukis, pengarca dan penulis. Mudah-mudahan sebuah pekan kecil yang
sempurna dengan perpustakaan, galeri sejarah, galeri seni dan sastera, mungkin
sebuah muzium peringatan atau galeri alam sekitar boleh sahaja ditubuhkan.
Kami
mengharapkan pekan kecil kami ini akan terus makmur, kegiatan seni boleh sahaja
menjadi produk pelancongan yang tidak mungkin boleh didapati di pekan-pekan
lain di seluruh negara. Kami
mengharapkan pekan kecil ini menjadi pekan yang kedai-kedai kopinya menjadi
tempat seniman melepaskan lelah dan bersembang menajamkan pemikiran. Kami mengharapkan pada tahun-tahun akan
datang pekan kecil ini menjadi persinggahan tetap pengkarya, pelukis dan
pengarca setiap dwitahunan. Menghasilkan
karya yang tak terucap nilainya dan diperkatakan sepanjang zaman. Kami mengharapkan nama Kuala Kubu Bharu
sentiasa terukir di bibir dan di hati kalian.
Siapa kata
Bukit Kutu tak tinggi,
Langkah lelah badan tak terbawa;
Biar jauh
tuan terbang pergi,
Kuala Kubu Bharu kekal dalam jiwa.
Hujan pagi,
hujan petang,
Burung kunyit terbang sepasang;
Tertunggu-tunggu
tuan datang,
Bagai
menanti laut pasang.
No comments:
Post a Comment