Wednesday 2 November 2016

Ucapan Perbahasan Belanjawan Negeri Selangor Tahun 2017 Peringkat Dasar pada 2 November 2016


Ucapan Perbahasan Belanjawan Negeri Selangor Tahun 2017 Peringkat Dasar oleh ADN Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong pada 2 November 2016 (Rabu) di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam:

Terima kasih kepada Puan Speaker atas peluang yang diberikan kepada saya untuk turut serta dalam perbahasan Ucapan Belanjawan 2017 Negeri Selangor yang dibentangkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar.

Puan Speaker, Dato’ Menteri Besar yang bersedia membelanjakan sejumlah RM3.45 billion pada tahun 2017 bagi melaksanakan semua perancangan dan agenda Kerajaan Negeri pasti akan mendapatkan sambutan yang baik di kalangan rakyat Selangor. Anggaran perbelanjaan meningkat sebanyak RM57 juta berbanding dengan Belanjawan 2016 yang membelanjakan RM2.88 billion akan memanfaatkan semua lapisan masyarakat dan seterusnya memberi kesan gandaan kepada aktiviti ekonomi di Selangor.

Tahniah kepada Kerajaan Negeri yang amat prihatin dengan memperkenalkan Skim Peduli Sihat. Saya amat bangga dengan rasa kepedulian Kerajaan Negeri terhadap perkhidmatan kesihatan. Putrajaya yang mempunyai sumber pendapatan yang besar patut mencontohi rasa kepedulian Kerajaan Negeri dengan menyediakan perkhidmatan kesihatan yang secukupnya kepada rakyat terutamanya di kawasan luar bandar.

Kita sedia maklum janji Putrajaya membina hospital kedua Tanjong Karang pada 18 Februari 2013 masih belum ditunaikan. Selain daripada hospital kedua Tanjong Karang, Putrajaya juga mengabaikan kerja-kerja naik taraf hospital Kuala Kubu Bharu yang dibina pada tahun 1936. Saya telah meneliti Belanjawan 2017 Malaysia dan mendapati Kerajaan Persekutuan tidak memperuntukan satu sen untuk menaik taraf Hospital Kuala Kubu Bharu.

Untuk makluman Dewan yang mulia ini, Daerah Hulu Selangor tidak mempunyai hospital kerajaan atau swasta yang lain selain daripada Hospital Kuala Kubu Bharu. Sekiranya Putrajaya memiliki rasa kepedulian seperti Kerajaan Negeri maka Hospital Kuala Kubu Bharu bukanlah seperti keadaan sekarang yang serba kurang. Ramai penduduk Hulu Selangor terpaksa bersusah payah pergi ke Hospital Selayang atau Hospital Sungai Buloh yang dilengkapi dengan kemudahan pembedahan dan perubatan.

Kepedulian Kerajaan Negeri bagi membantu pesakit bukan setakat melalui Skim Peduli Sihat tetapi juga melalui perkhidmatan bas percuma. Laluan perkhidmatan Bas Smart Selangor di kawasan Majlis Daerah Hulu Selangor telah mengubah laluan asalnya dengan menambah tempat perhentian di Hospital Kuala Kubu Bharu dan Klinik Kesihatan Rasa. Ini telah memudahkan pesakit miskin yang selama ini terpaksa menggunakan perkhidmatan kereta sewa untuk tujuan ulang-alik ke tempat pemeriksaan kesihatan. Saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang cukup peduli terhadap pesakit yang kurang kemampuan.

Puan Speaker, kes-kes pencemaran sungai yang menyebabkan loji rawatan air terpaksa ditutup telah memberikan kesan buruk yang sangat besar kepada rakyat Selangor. Saya teringat Jabatan Alam Sekitar (JAS) pernah melancarkan kempen “hentikan pencemaran sungai” pada tahun 2013. Adakah JAS masih bertindak tegas dengan menguatkuasa Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 terhadap aktiviti yang boleh mengakibatkan pencemaran sungai? 

Tadi YB Semenyih berkata, kilang haram dan kawasan perindustrian berdekatan dengan sungai. Saya ingin memaklumkan dewan yang mulia ini bahawa semua kilang haram dan kawasan perindustrian ini diwujudkan sebelum pakatan mentadbir negeri Selangor dan juga mendapat ulasan yang baik daripada JAS. Jangan salahkan Kerajaan Negeri sekarang.

Ramai orang menganggap masalah pencemaran tidak dapat diselesaikan kerana JAS yang kurang komitmen. JAS perlu mengesan dan mengambil tindakan awal sebelum pencemaran berlaku bagi mengelakkan tomahan bahawa JAS kurang peduli terhadap aduan pencemaran.

Putrajaya harus memandang serius perkara ini dan bukannya mengurangkan perbelanjaan aktiviti pengawasan dan penguatkuasaan JAS sebanyak RM28.5 juta atau 27% pada tahun depan. Oleh sebab kita tidak boleh berkompromi dalam perkara berkaitan pencemaran maka saya mohon Kerajaan Negeri berbincang dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar supaya JAS memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk Selangor termasuk sentiasa memastikan pegawai JAS menghadiri mesyuarat tertinggi peringkat daerah dan juga mewujudkan lebih banyak cawangan bagi memudahkan kerja-kerja pemantauan. Sebagai contoh, daerah Hulu Selangor masih tidak mempunyai cawangan JAS walaupun kilang perindustrian semakin bertambah dan Sg Selangor yang membekalkan 60% sumber air mentah juga terletak di daerah tersebut. Kita perlu melindungi air Sg Selangor dari pencemaran.

Puan Speaker, saya menyambut baik langkah proaktif Kerajaan Negeri bagi menyediakan perkhidmatan air yang efisyen termasuk mengurangkan kadar Air Tidak Berhasil (NRW) dan menggantikan paip-paip lama. Syarikat lama iaitu SYABAS menggunakan masa 5 tahun bagi mengurangkan kadar NRW sebanyak 6% daripada 38% kepada 32% pada tahun 2010. Kerajaan Negeri yang meletakkan sasaran untuk mengurangkan kadar NRW sebanyak 6% juga iaitu daripada 35% kepada 29% tetapi dalam masa 3 tahun. Persoalan sekarang ialah bolehkah syarikat baru iaitu Air Selangor mencapai sasaran tersebut.

Rakyat telah lama menunggu penggantian paip lama dan tahun 2016 sepatutnya merupakan tahun yang memberikan harapan kepada mereka. Akan tetapi jadual kerja penggantian paip banyak kali ditunda telah mengecewakan rakyat. Sebagai contoh, salah satu daripada 84 kawasan hotspot iaitu Kg Asam Kumbang di Kuala Kubu Bharu telah 4 kali tunda tarikh kerja penggantian paip lama iaitu dari Februari 2016, April 2016, Julai 2016 ke November 2016. Saya tidak pasti kerja penggantian paip lama di Kg Asam Kumbang akan dilaksanakan dalam bulan ini atau ditunda lagi. Apa yang saya pasti ialah penduduk yang mengalami gangguan bekalan air akibat paip lama yang belum diganti sangat kecewa kerana masih tidak dapat menikmati bekalan air yang mencukupi sepanjang masa.

Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri perlu memberikan penjelasan yang lebih terperinci mengenai kerja-kerja penggantian paip lama bagi menyakinkan rakyat.

Puan Speaker, usaha Kerajaan Negeri memperuntukan RM18 juta untuk sektor pertanian dengan tumpuan pembangunan kemudahan R&D dan latihan untuk warga tani adalah tepat pada masanya. Warga tani di Selangor memang memerlukan latihan untuk meningkatkan hasil tanaman.  Cuma latihan kemahiran pertanian yang diberikan kepada warga tani biarlah lebih mesra alam dan bukan semata-mata mengurangkan kos pengeluaran pertanian tetapi menimbulkan kacauganggu kepada penduduk yang berhampiran.

Selangor adalah negeri yang mempunyai penduduk paling ramai dan kadar pertumbuhan penduduk tahunan hampir 3%. Hakikatnya taman perumahan semakin mendekati kawasan pertanian dan menimbulkan isu yang perlu diatasi.

Warga tani di Malaysia telah lama digalakkan oleh MARDI untuk menggunakan baja organik terutamanya tahi ayam mentah untuk tanaman mereka. Tahi ayam mentah adalah baja organik yang termurah bagi warga tani. Akan tetapi isu bau busuk dan kebanjiran lalat akibat penggunaan baja tersebut di kebun sayur telah menganggu keselesaan penduduk malahan pelancong perlu dipandang serius oleh Kerajaan Negeri.

Saya difahamkan terdapat juga baja tahi ayam yang telah diproses dalam pasaran. Akan tetapi warga tani masih memilih tahi ayam mentah sebagai baja kerana faktor kos. Sudah tiba masanya Kerajaan Negeri melalui R&D bagi mencari cara penyelesaian menyeluruh terhadap baja tanaman yang harganya setanding dengan baja tahi ayam mentah. Negara lain seperti Thailand tidak pernah menggalakkan petani menggunakan tahi ayam mentah sebagai baja. Pertanian Thailand yang dasarnya tanpa menggunakan baja tahi ayam pun sangat berjaya di peringkat antarabangsa.

Saya mohon Program Ladang Smart Selangor dan Kebun Rakyat adalah program tanpa baja tahi ayam mentah. Ladang Smart Selangor dan Kebun Rakyat yang tidak berbau buruk dan tanpa lalat juga boleh dibangunkan sebagai satu destinasi eko pelancongan memandangkan eko pelancongan semakin digemari oleh penduduk bandar.

Puan Speaker, saya mengakhiri ucapan dengan menyokong Belanjawan 2017 yang bertemakan Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri ini. Sekian. Terima kasih. 

No comments:

Post a Comment