Paras air di Empangan Sg. Selangor dan Empangan Sg Tinggi menurun dengan kadar yang mendadak amat membimbangkan rakyat Selangor. Kedua-kedua empangan ini membekalkan sumber air mentah bagi memenuhi 61% daripada permintaan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Maklumat yang terkini iaitu pada 26 Julai 2014 menunjukkan peratus takungan air kedua-dua empangan tersebut masing-masing pada 35.14% dan 49.29%. Ini adalah lebih rendah daripada tahap yang terendah semasa catuan air dilaksanakan pada bulan Mac dan April yang lalu.
Pada awal bulan April, peratus takungan air terendah Empangan Sg. Selangor dan Empangan Sg. Tinggi masing-masing adalah 36.39% dan 60.97%.
Dengan keadaan sedemikian, Kerajaan Selangor perlu menjelaskan samada Selangor akan menghadapi satu krisis air yang lebih besar berbanding dengan krisis air yang dihadapi pada bulan Mac dan April yang lalu.
Sekiranya Kerajaan Selangor berpendapat paras air yang lebih rendah di kedua-dua empangan ini tidak akan menjadi satu krisis air, maka rakyat Selangor berhak mengetahui kenapa catuan air dibenarkan pada bulan Mac dan April yang lalu sedangkan paras air pada masa itu adalah lebih tinggi daripada sekarang. Adakah langkah catuan air pada masa itu adalah satu kesilapan Kerajaan Selangor?
Alasan yang diberikan oleh Kerajaan Selangor semasa mengambil keputusan untuk mengurangkan pelepasan air daripada Empangan Sg. Selangor dengan melaksanakan catuan air pada Mac dan April ialah untuk mengelakkan empangan daripada kering. Kerajaan Selangor juga mengatakan sekira empangan menjadi kering, kesannya akan menjadi lebih serius lagi dan gangguan bekalan air lebih berskala besar.
Penjelasan daripada Kerajaan Selangor adalah perlu memandangkan Kerajaan Selangor merupakan pihak yang bertanggung jawab dalam mengawal sumber air di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya.
No comments:
Post a Comment