Sunday 4 December 2016

Teks ucapan perasmian oleh YDP MDHS di Pesta Seni Antarabangsa KKB 2016


Teks ucapan perasmian oleh YDP MDHS, Tuan Mohamad Zain bin A Hamid di Pesta Seni Antarabangsa KKB 2016 pada 3 Disember 2016:

SELAMAT datang ke pekan kami, Kuala Kubu Bharu.  Disember tiba dan angin Timur Laut membawa bersama hujan di kaki banjaran Titiwangsa.  Pun begitu Kuala Kubu Bharu ini cukup indah ketika hujan turun.  Suasana sejuk dan nyaman, titis airnya mendesah dan memukau fikiran.  Alam ternyata indah dan itulah lukisan tuhan yang tiada taranya.  Maka nikmatilah, terjemahkan dalam karya yang menggugah.

Kami warga penduduk Kuala Kubu Bharu ingin sekali mengalu-alukan saudara-saudara kami, pelukis, pengkarya dan pencandu karya seni hadir di pekan kecil kami ini.  Kuala Kubu Bharu dibina semula pada tahun-tahun 1930 an setelah banjir berulang kali melanda Kuala Kubu yang lama.  Bangunan-bangunan di pekan ini dibina terancang dengan taman-taman dan pohon-pohon seolah-olah tersedia kepada burung-burung dan hidupan liar menikmatinya.  Pertama kali ditugaskan ke Kuala Kubu Bharu, saya terpikat dengan kicauan burung-burung setiap pagi.  Sentiasa riang dan bersemangat untuk meneruskan hidup.  Namakan sahaja apa burung yang ada, enggang, maskot festival ini – burung kunyit atau nama lainnya dendang selayang, merbah lekir, kelicap, murai batu, raja udang dan banyak lagi yang mungkin saya tak terfikir namanya.  Itulah jasa Charles Reade, perancang bandar yang menjadikan Kuala Kubu Bharu ini seperti yang kita lihat sekarang.  Sebuah kawasan cagar alam yang terpulihara.  Sesuai dengan tema festival ini Cagar Seni di Perbukitan.

Namun sebuah bandar dan taman-taman yang indah dan semulajadi tidak sempurna tanpa tamaddun pemikiran manusia.  Sebuah bangunan tanpa pengisian akhirnya akan menjadi monumen tanpa apa-apa pengertian.  Festival Seni Antarabangsa KKB ini antara usaha berterusan untuk menjadikan pekan kecil ini sebuah pekan yang hidup dengan kegiatan pemikiran selain menjadi tempat persinggahan kepada pengkarya, pelukis, penulis dan pengarca.  Kuala Kubu Bharu rumah kedua anda untuk berkarya dan kami akan menyediakan persekitaran yang mesra pengkarya, pelukis, pengarca dan penulis.  Mudah-mudahan sebuah pekan kecil yang sempurna dengan perpustakaan, galeri sejarah, galeri seni dan sastera, mungkin sebuah muzium peringatan atau galeri alam sekitar boleh sahaja ditubuhkan.

Kami mengharapkan pekan kecil kami ini akan terus makmur, kegiatan seni boleh sahaja menjadi produk pelancongan yang tidak mungkin boleh didapati di pekan-pekan lain di seluruh negara.  Kami mengharapkan pekan kecil ini menjadi pekan yang kedai-kedai kopinya menjadi tempat seniman melepaskan lelah dan bersembang menajamkan pemikiran.  Kami mengharapkan pada tahun-tahun akan datang pekan kecil ini menjadi persinggahan tetap pengkarya, pelukis dan pengarca setiap dwitahunan.  Menghasilkan karya yang tak terucap nilainya dan diperkatakan sepanjang zaman.  Kami mengharapkan nama Kuala Kubu Bharu sentiasa terukir di bibir dan di hati kalian.

Siapa kata Bukit Kutu tak tinggi,
              Langkah lelah badan tak terbawa;
Biar jauh tuan terbang pergi,
              Kuala Kubu Bharu kekal dalam jiwa.

Hujan pagi, hujan petang,
              Burung kunyit terbang sepasang;
Tertunggu-tunggu tuan datang,
                             Bagai menanti laut pasang. 

No comments:

Post a Comment